BPMS Selepas Menang PRU14



oleh: Alang Ibn Shukrimun
22 Syaaban 1439/8 Mei 2018

IBRAH PEMBUKAAN KOTA MEKAH

Kurang 24 jam lagi sebelum rakyat Malaysia menunaikan kewajipan untuk mengundi. Sepatutnya tempoh ini adalah tempoh bertenang dan bersedia. Walaupun masih ramai lagi petugas yang berhempas pulas menyempurnakan tugasan saat akhir.

Rasanya tidak mahu lagi mengulas berkenaan isu semasa, menjawab tohmahan ataupun menerangkan tawaran PAS. Cukuplah dengan apa yang tersebar. Kemungkinan besar semua sudah membuat pilihan.

Secara peribadi, saya merasakan PAS bakal mencipta sejarah yang besar untuk PRU kali ini. Entah kenapa, keyakinan itu sangat tinggi. Seolah-olah nusrah dan futuh itu kian menghampiri.

Walaubagaimanapun, belum ada lagi tulisan yang menggambarkan keadaan perjuangan Islam pasca kemenangan. Justeru tulisan kali ini khusus untuk mengajak pembaca menyoroti kemenangan perjuangan Islam pada pembukaan Kota Mekah tahun ke lapan hijrah. Supaya ibrahnya diambil oleh pejuang Islam, dan informasinya dihayati oleh penyokong perjuangan Islam.



BABAK 1: HARI MARHAMAH


Sebelum pembukaan kota Mekah berlaku, pemimpin Quraisy Abu Sufyan bin Harb telah datang menemui Rasulullah SAW meminta perdamaian. Beliau tahu Quraisy tidak dapat lagi menghadapi kemaraan umat Islam.

Nabi menerima perdamaian itu dengan meletakkan beberapa syarat. Namun semangat berkobar-kobar umat Islam mahu membalas pengkhianatan janji Quraisy menyebabkan Saad bin Ubadah menyatakan kata-kata keras di hadapan Abu Sufyan:

اليوم يوم الملحمة. اليوم تستحل الكعبة

"Hari ini adalah hari peperangan! Hari ini Kaabah akan ditawan!"

Apabila Nabi SAW mendapat tahu perkara ini, bagibda membalas:

بل اليوم يوم المرحمة. اليوم تكسو الكعبة

"Sebenarnya hari ini hari kerahmatan.. hari ini dipasang kelambu Kaabah.."

Itulah yang berlaku pada peristiwa Fath Mekah. Umat Islam masuk tanpa sebarang peperangan. Kaabah dibuka dalam keadaan aman. Apabila dihimpun pembesar-pembesar Quraisy yang sebelum ini begitu kuat melawan Islam, Nabi SAW menyatakan pada mereka:

اذهبوا فأنتم الطلقاء

"Pergilah.. kalian telah dibebaskan."

Keadaan ini telah membuatkan orang berbondong-bondong memeluk Islam. Kemenangan Islam tidak sedikitpun digunakan bagi membalasa dendam kejahatan yang selama ini dilakukan Quraisy.


BUKAN POLITIK BALAS DENDAM

Itulah keadaan bila PAS diberi mandat oleh rakyat. Politik balas dendam tidak akan dipraktiskan. Tidak akan berlaku pecat memecat. Tidak akan disekat bantuan itu dan ini. Tidak akan mudah mengheret orang ke penjara. Kerana hari itu adalah hari kerahmatan.

Matlamat dari mengejar kekuasaan dalam pilihanraya adalah untuk mempraktiskan Islam. Supaya lebih ramai tertarik dengan kebaikan Islam. Kejahatan dibalas dengan kebaikan, semoga pintu hati mereka terbuka untuk menerima Islam.


BABAK 2: BERIKAN AMANAH KEPADA AHLINYA

Baginda SAW menyatakan hasrat untuk memasuki Kaabah bagi menunaikan solat.  Kunci Kaabah dipegang oleh seorang pembesar Quraisy bernama Uthman bin Talhah. Pada awalnya Uthman enggan membuka Kaabah, memaksa Saidina Ali merampas kunci secara keras daripada beliau.

Selesai solat, timbul persoalan di kalangan orang Islam; kepada siapakah kunci ini perlu diserahkan?  Siapakah yang layak memegang jawatan tersebut?

Lalu turun ayat al-Quran:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها

Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada mereka yang selayaknya. [An-Nisa:58]

Sejurus selepas itu, Rasulullah minta diserahkan kembali kepada Uthman bin Talhah. Pergilah Saidina Ali menyerahkannya dengan penuh sopan.

Sebaik mendengar penerangan dari Saidina Ali tentang apa yang berlaku, terus Uthman pergi mendapatkan Rasulullah dan melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan baginda SAW.

BUKAN POLITIK KEPENTINGAN DAN KRONI

Itulah ajaran Islam. Tidak semestinya jawatan dalam pemerintahan Islam diserahkan kepada kroni-kroni dan penyokongnya sahaja. Jawatan bukan harta ghanimah yang boleh dibahagikan. Ia adalah amanah yang perlu diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Apabila PAS mengambil alih kerajaan, kakitangan awam tidak perlu bimbang. Selagi mereka bekerja dengan baik dan profesional, mereka akan kekal memegang jawatan. Walaupun mereka bukan penyokong PAS, perbezaan politik tidak akan menjadi sebab diskriminasi.

Bahkan PAS menawarkan pembentukan sebuah kerajaan teknokrat. Kepada kakitangan kerajaan yang memiliki kompetensi tinggi dalam kerjaya, akan diberi laluan untuk berada posisi di peringkat eksekutif negara dan negeri. Supaya kepakaran mereka digunakan bagi memajukan negara dan negeri. PAS tidak kemaruk kuasa.

Matlamat PAS hanyalah untuk membawa kesejahteraan mengikut lunas-lunas agama. Menunaikan kewajipan sebagai khalifah Allah di muka bumi. Agar kerahmatan Islam dirasai sekalian makhluk.

BABAK 3: PEMBAHAGIAN GHANIMAH HUNAIN

Pembukaan Kota Mekah membimbangkan kabilah arab sekitar. Sebelum Islam menjadi semakin kuat, kabilah Thaqif dan Hawazin mengambil langkah untuk memerangi umat Islam di Mekah.

20 hari selepas pembukaan Mekah, meletus peperangan Hunain antara Islam dan pakatan Thaqif-Hawazin. Perang berkesudahan dengan kemenangan milik umat Islam. Harta ghanimah yang diraih sangat banyak, kerana tentera musuh mengeluarkan seluruh harta mereka ke medan perang penentu hidup dan mati musyrikin arab.

Daripada peruntukan satu perlima harta yang diperuntukkan kepada baitulmal, Rasulullah SAW banyak mengagihkannya kepada penduduk Mekah. Kebanyakannya berstatus muallaf. Ada yang menerima 100 ekor unta. Ada yang lebih daripada itu! Seekor unta sahaja sudah menyamai harga kereta di zaman kita.

Perkara ini menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ansar. Mereka mula mengungkit, bahawa merekalah yang selama ini banyak berkorban memenangkan Islam. Tetapi orang lain pula dapat habuan besar. Timbul cakap-cakap yang tidak elok terhadap batang tubuh Rasulullah SAW.

Keluhan ini pantas sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Tanpa berlengah, baginda mengumpulkan kalangan ansar di satu tempat untuk menyelesaikan masalah. Berbicara hati ke hati.

Sabda Rasulullah SAW memulakan bicara:
يا معشر الأنصار : ما قالة ، بلغتني عنكم ، وجدة وجدتموها علي في أنفسكم ؟


"Wahai sekalian Ansar. Apakah berita yang telah sampai kepadaku tentang kalian?  Tentang sesuatu yang kalian tanggapi mengenai diriku?"

ألم آتكم ضلالا فهداكم الله ، وعالة فأغناكم الله ، وأعداء فألف الله بين قلوبكم


"Bukankah aku datang sebelum ini dalam keadaan kalian sesat, lalu Allah memberikan hidayah kepada kalian? Dan kalian miskin lalu Allah mengurniakan kekayaan? Dan bermusuhan lalu Allah menautkan hati antara kalian?"

Jawab Ansar:
"Benar wahai Rasulullah. Bagi Allah dan Rasul segala kurnia dan kelebihan."

Baginda membalas:
ألا تجيبونني يا معشرالأنصار ؟ قالوا : بماذا نجيبك يا رسول الله ؟ لله ولرسوله المن والفضل . قال صلى الله عليه وسلم : أما والله لو شئتم لقلتم ، فلصدقتم ولصدقتم : أتيتنا مكذبا فصدقناك ، ومخذولا فنصرناك ، وطريدا فآويناك ، وعائلا فآسيناك .


"Kenapa kalian tidak menjawab sahaja dengan jawapan yang kalian suka. Kalian pasti benar dan aku pasti akan membenarkan. Kalian boleh sahaja menjawab, kamu (Rasulullah) datang kepada kami dalam sebelum ini dalam keadaan didustakan, maka kamilah yang membenarkanmu. Dihina maka kamilah yang membelamu. Terbuang maka kamilah yang melindungimu. Papa kedana maka kamilah yang membantumu."

Rasulullah terus meyambung bicaranya:
أوجدتم يا معشر الأنصار في أنفسكم في لعاعة من الدنيا تألفت بها قوما ليسلموا . ووكلتكم إلى إسلامكم ،


"Adakah kamu merasa rugi wahai sekalian Ansar, jika sedikit daripada habuan dunia digunakan untuk melembutkan hati sesuatu golongan untuk menerima Islam? Sedangkan aku wakilkan sahaja Islam pada kamu?"

ألا ترضون يا معشر الأنصار أن يذهب الناس بالشاة والبعير ، وترجعوا برسول الله إلى رحالكم ؟


"Tidakkah kamu merasa beruntung wahai sekalian Ansar, disaat mereka pulang dengan unta dan kambing, kamu pula pulang bersama Rasulullah SAW?"

فوالذي نفس محمدبيده ، لولا الهجرة لكنت امرأ من الأنصار ، ولو سلك الناس شعبا وسلكت الأنصار شعبا ، لسلكت شعب الأنصار .
"Demi diri Muhammad yang berada dalam genggamanNya. Kalaulah bukan kerana hijrah, nescaya aku akan menjadi salah seorang Ansar. Kalaulah sekalian manusia melalui satu lembah, dan Ansar melalui satu lembah yang lain, nescaya aku akan ikut melalui lembah bersama Ansar.."

اللهم ارحم الأنصار ، وأبناء الأنصار . وأبناء أبناء الأنصار .

"Ya Allah, Rahmatilah kaum Ansar, dan anak-anak Ansar, dan cucu-cucu Ansar."

Sebaik baginda menghabiskan bicara, menangislah semua orang-orang Ansar. Mereka begitu menyesal dengan sikap yang timbul. Mereka mula terkenangkan niat sebenar bersama perjuangan Islam dahulu. Hinggalah mereka kembali redha dengan keputusan baginda SAW.

POLITIK DAKWAH, POLITIK BERMATLAMATKAN REDHA ALLAH.

Itulah dia perjuangan Islam. Berpenat lelah berjuang, bukan untuk diri sendiri. Segala ghanimah dihabiskan untuk menarik orang kepada Islam, bukan sebagai habuan kemenangan.

Mungkin ada pejuang Islam hari ini yang menaruh harapan untuk mendapatkan posisi atau habuan tertentu selepas menang. Bukan sesuatu yang pelik kerana kaum Ansar juga pada awalnya memiliki perasaan serupa. Namun Rasulullah menunjukkan bagaimana cara merawat keadaan itu. Memperbetulkan kembali niat pejuang-pejuang Islam.

Kenang kembali niat utama saat mewakafkan diri kepada perjuangan Islam. Bukan dunia yang dicari. Tapi ganjaran akhirat yang dicitakan. Biarlah habuan dunia diperolehi orang lain, asalkan kita tidak diharamkan dari segala ganjaran di 'sana' nanti.

Semua yang berlaku di atas muka bumi hari ini hanyalah cerminan sirah yang bakal berulang dan terus berulang. Semoga kisah pembukaan Kota Mekah ini menjadi inspirasi kepada pejuang Islam untuk terus tekad dan istiqamah sebagai Ansarullah sebagaimana kaum Ansar. Dan semoga kisah ini memberi gambaran yang baik buat pemerhati politik di Malaysia, bahawa kemenangan Islam bukanlah sesuatu yang mengerikan, sebaliknya satu kerahmatan buat negara ini.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget