Biar Rais jadi Speaker Dewan Rakyat

oleh: FARUSH KHAN

DENGAN sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat dijadualkan berlangsung pada 16 Julai depan, rakyat bagaikan tidak sabar menanti untuk mengetahui siapakah yang akan dilantik menjadi Speaker kali ini.

Keghairahan untuk mengikuti isu pelantikan Speaker Dewan Rakyat boleh difahami kerana orang yang memegang jawatan itu memainkan peranan penting dalam perjalanan sidang Dewan Rakyat atau Parlimen.

Lebih penting, peranan Speaker Dewan Rakyat berkemampuan mencorakkan persidangan Dewan untuk sama ada menjadi adil, produktif, meriah, muram atau pun membuatkannya menjadi sarkas dan bahan ketawa.

Kalau kerajaan meletakkan seorang Speaker yang berat sebelah, takut bertegas dan tidak mampu mengawal keadaan dalam sidang Dewan, maka rosaklah imej Dewan dan gagallah hasrat mencapai matlamat untuk menghasilkan keputusan terbaik demi kepentingan negara dan rakyat. Ia juga menghilangkan keyakinan rakyat.

Sebab itu, orang yang dipilih menjadi Speaker perlu mempunyai kebijaksanaan, kelulusan yang sesuai, pengalaman, karisma dan yang tidak kurang penting, ketegasan, pendirian dan dalam masa yang sama bijak menimbulkan keadaan yang melucukan secara tidak melampau untuk membuat wakil-wakil Dewan rasa selesa dan tidak tertekan sepanjang sesi persidangan.

Anda tidak akan mendapat Dewan Rakyat yang dihormati dan yang dapat berjalan dengan adil lagi berkesan jika Speaker yang dilantik jelas seorang yang kaki ampu, penakut, berat sebelah, tiada pendirian dan tiada sense of humour (pandai berseloroh).

Jadi, untuk mendapat seorang Speaker mempunyai kualiti terdapat di atas, anda perlu memikirkan seorang daripada beberapa orang yang paling sesuai. Amanah dikatakan mempunyai beberapa calon untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat.

"Bagaimanapun, parti kami tidak pilih daripada ahli Parlimen, sebaliknya kami lebih berminat pilih daripada kalangan bekas hakim dan peguam yang berpengalaman," kata seorang pemimpin parti itu.

Setakat ini, sumber dalaman kerajaan memberitahu terdapat tiga nama, iaitu bekas menteri kanan, Tan Sri Dr Rais Yatim; bekas Speaker Dun Selangor dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Ambiga Sreenevasan yang dikatakan sedang dipertimbangkan untuk mengisi tempat itu.

Bagaimanapun, Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih, sudah menafikan beliau dicadangkan ke jawatan Speaker Dewan Rakyat, walaupun ada pihak berasa beliau layak berdasarkan pengalamannya sebagai peguam kanan serta Presiden Majlis Peguam.

Rais juga, dalam temu bual bersama The Star, pernah ditanya sama ada namanya dipertimbangkan, tetapi beliau berkata, beliau tidak fikir begitu.

Sementara itu, memetik sumber yang tidak didedahkan, sebuah akhbar Inggeris mendakwa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan Rais dipertimbangkan.

Benar atau tidak, bagi saya Rais memang sesuai untuk menduduki kerusi Speaker Dewan Rakyat.

Beliau memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang undang-undang, mempunyai pengalaman dalam kerajaan dan parti berpuluh tahun. Beliau pernah menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir, dan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan dalam kerajaan BN, hinggalah beliau disiasat kerana dilihat cenderung lantang mengkritik kerajaan yang lalu dalam beberapa isu besar dan menyokong pembangkang, sedangkan beliau ahli Umno.

Pada 4 Jun lalu, Rais, 76, yang pernah jadi Timbalan Presiden Semangat 46 (dengan Tengku Raza-leigh Hamzah sebagai Presiden) ketika meninggalkan Umno pertama kali (1987 - 1999), menyertai Bersatu dan menerima kad keahliannya daripada Dr Mahathir sendiri.

Bagi saya, Rais paling layak dalam kalangan yang layak. Tiada sebab beliau tidak dilantik ke jawatan Speaker Dewan Rakyat. Beliau lancar bercakap bahasa Melayu dan petah berbahasa Inggeris, pandai berpantun dan berseloka, juga mempunyai kemampuan membuat pendengar tertarik dengan hujahnya yang walaupun serius, kerana siap direncah dengan kata-kata yang melucukan, tetapi sopan.

Beliau sudah membuktikan beliau bukan ibarat lembu yang boleh diikat hidung atau kaki ampu.

Mengikut satu sumber yang baharu, Rais memang akan dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat, sementara Yeoh menjadi timbalannya.

Saya yakin ramai gembira dengan Rais dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat di bawah pentadbiran kerajaan baharu ini. Wallahuaklam!
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget