NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berbisik Lebih Baik, Anwar Bukan Orang Biasa



ANWAR Ibrahim bukan orang Malaysia yang biasa-biasa.

Beliau tiada sebarang kedudukan rasmi dalam kerajaan, dan tiada jawatan rasmi dalam gabungan Pakatan Harapan, namun setiap kata-kata, mimik muka dan kuntum senyumannya dianggap membawa maksud penting.

Mengapa?

Beliau dianggap bakal perdana menteri dari rakan-rakannya dari Bersatu, Amanah, PKR dan DAP.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam mengubah pembangkang menjadi kuasa besar dalam PRU12 dan PRU13.

Kita juga menyedari beliau mendapat layanan tidak adil oleh Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya oleh Najib Razak. Ia menyedarkan kita untuk melihat keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia.

Jadi, Anwar Ibrahim bukanlah rakyat Malaysia yang biasa.

Sebab itulah beliau perlu berhati-hati dan menuturkan kata-kata dengan bertempat.

Kadang-kadang, satu bisikan di telinga Menteri Kewangan Lim Guan Eng itu lebih baik berbanding nasihat melalui wawancara di Astro Awani.

Langkah itu akan menjadi lebih berkesan unntuk kedua-dua pihak.

Dalam wawancara dengan Astro Awani itu, Anwar berkata Lim sepatutnya membiarkan kemennterian dan agensi kerajaan lain mendedahkan skandal.

Ujarnya, menteri kewangan itu sepatutnya memupuk keyakinan dan memujuk pelabur yang masih tidak pasti dengan kerajaan baharu ini.

Nasihatnya itu munasabah.

Namun mengapa ia dilontarkan melalui Astro Awani? Adakah tujuannya untuk memperkecil-kecilkan menteri kewangan?

Adakah ia bertujuan untuk mempamer kewibawaannya di mata umum sebagai orang yang masih berkuasa dalam pentadbiran?

Apa pun niat Anwar, ia dijawab dengan tegas oleh Lim yang berkata beliau ditugaskan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mendedahkan salahlaku dalam pentadbiran Najib.

Secara mudahnya, beliau tidak bertindak sesuka hatinya.

Menarik untuk dilihat bahawa menteri kewangan itu menggiatkan pendedahan berkenaan selepas mesyuarat Kabinet pada hari Rabu.

Beliau membangkitkan mengenai dana sejumlah RM3 bilion yang diseleweng daripada projek pembangunan TRX untuk membayar hutang 1MDB.

Ini menunjukkan, Dr Mahathir dan jemaah menterinya menyokong pendirian Lim, atau setidak-tidaknya, mereka tidak menghalang beliau daripada mendedahkan skandal tersebut.

Lebih penting lagi, ia memberi petanda bahawa pentadbiran Dr Mahathir memutuskan untuk mengabaikan nasihat Anwar kepada Lim.

Inilah padahnya apabila menggunakan ruang awam untuk menegur. Takut lama-kelamaan, orang akan menganggap beliau buat bising sahaja.

– themalaysianinsight

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo