NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beku akaun UMNO tindakan melampau, kerakusan PH



Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO dalam bank, adalah tindakan melampau, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu langsung tidak mencerminkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

Beliau berkata, ia hanya akan menggambarkan sikap sebenar kerajaan PH yang rakus untuk melumpuhkan kekuatan UMNO.

SPRM, katanya, patut memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka mengenai punca sebenar akaun UMNO dibekukan.

"Lazimnya dalam operasi-operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan telah dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.

"Sebaliknya, ahli UMNO tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan yang melibatkan perlanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi UMNO.

"Dalam konteks ini Pemuda UMNO menuntut prinsip undang-undang 'Presumption of Innocence' dihormati oleh semua pihak termasuk SPRM," katanya.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memangku tugas Presiden UMNO memaklumkan, SPRM sudah membekukan akaun bank parti itu.

Katanya, akaun tersebut adalah akaun UMNO Malaysia dan UMNO Selangor.

Mengulas lanjut, Dr Asyraf mendesak SPRM menarik balik tindakan pembekuan akaun UMNO kerana siasatan masih boleh dilakukan tanpa perlu menganiaya operasi parti yang sah dalam amalan demokrasi Malaysia baharu.

"SPRM perlu memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dan lain-lain aktiviti yang bersifat 'ordinary course of business' dibenarkan melalui akaun-akaun yang dibekukan ini.

"Pemuda UMNO mengalu-alukan sebarang siasatan yang telus dan berlandaskan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) sebagaimana yang sering dicanangkan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo