Ateism: Tuntutan Kebebasan Untuk Murtad



oleh: Dr Ahmad Sanusi Azmi 

1. SELAIN kebanjiran tuntutan LGBT dan kebebasan bersuara, kumpulan atheist Melayu juga menuntut kebebasan mereka untuk menukar agama (dengan istilah lain kebebasan untuk murtad). Tuntutan sebegini telah ada sebelum ini tetapi mula kelihatan rancak zaman Malaysia Baharu.

2. Secara umumnya Ateism adalah satu istilah yang membawa maksud penafian terhadap kepercayaan kepada Tuhan (Encyclopedia Science and Religion, 2003; Britannica Encyclopaedia World of Religion, 2006). 

Menurut American Atheists pula, Ateism bukanlah satu sistem kepercayaan mahupun agama (atheism is not a belief system nor is it a religion). Dua elemen utama ini secara dasarnya seolah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara sendiri iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. 

3. Menelusuri sejarah peradaban Islam, penafian kewujudan Tuhan ini diperkenalkan di dalam al-Quran sebagai kumpulan al-Dahriyyah. Kumpulan ini tidak menampakkan kepercayaan kepada Tuhan. Apa yg berlaku menurut mereka hanyalah ditentukan oleh masa. Firman Allah:

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Menurut Ibn Kathir, kumpulan yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan ini akhirnya membawa kepada konsep menafikan hari kiamat kerana pada mereka, apa yg berlaku dalam kehidupan kita adalah apa yang kita nampak pada hari ini. Yang mematikan dan membinasakan kita hanyalah masa. Sheikh Jamaluddin al-Afghani pernah mengarang satu karya berjudul "al-Radd 'ala al-Dahriyyin" (Kritikan Terhadap Kumpulan al-Dahriyyin) bagi berhadapan dengan kumpulan ini.

3. Dr. Amru Shraraf menterjemahkan ateis sebagai Mulhid, iaitu istilah yg digunakan terhadap kumpulan yg menafikan kewujudan Tuhan (Wahum al-Ilhad, 2013). Dr. Abd Rahman Badawi pula menegaskan bahawa kewujudkan kumpulan pengkritik agama dan Tuhan ini dikenali dengan pelbagai istilah termasuklah Mulhid dan Zindiq. Beliau menyenaraikan beberapa nama sepeti Ibn al-Rawandi dan Ibn al-Muqaffa' yang secara zahirnya mengkritik agama serta menolak sistem kenabian. 

Penolakan kepercayaan terhadap Tuhan secara tidak langsung telah menolak kenabian Muhammad kerana status kerasulan hanya datang dengan kepercayaan kepada Tuhan. (Tarikh Ilhad fi al-Islam, 1980 & Wahum al-Ilhad, 2013)

4. Fenomena ateism ini dilihat semakin berkembang di zaman Abbasiyyah apabila promosi idea liberal Muktazilah yang diperjuangkan mendapat sokongan daripada kerajaan ketika itu. Namun para sarjana Muslim tidak henti meledakkan hujah bagi berhadapan dengan kumpulan seperti ini. Di zaman Umawiyyah Imam Abu Hanifah dan Malik dilihat cuba memberikan rasional kewujudan Tuhan terhadap kumpulan Mulhid yang datang bertanya kepada mereka. 

5. Ketika ditanya berkenaan kewujudan Tuhan, Abu Hanifa bertanya kembali kepada mereka, apakah kamu pernah menaiki kapal? Apakah kamu pernah melihat kapal tersebut berlayar meredah ombak menggunung dengan sendiri tanpa nahkoda? Mereka menjawab itu adalah mustahil! Abu Hanifa menempelak dgn berkata: Jadi apakah rasional bumi dan langit yang luas ini tiada pentadbir? Apakah sistem peredaran bumi dan cakarawala ini terjadi dengan sendiri sahaja? (Tafsir al-Razi, Maarij al-Qabul)

6. Khalifah al-Mahdi juga pernah meminta bantuan daripada Imam Malik bagi berhadapan dengan phenomena ini. (Tafsir al-Razi, Maarij al-Qabul). Imam Malik menggunakan hujah kewujudan ribuan bahasa di dunia sebagai keunikan yg mustahil wujud dengan sendiri melainkan dengan bimbingan Tuhan. 

Nah! Lihatlah, betapa pemimpin memikirkan masalah penyebaran fenomena yang tidak sihat ini dengan membantu menyelesaikannya, bukan dengan menggalakan dan memberikan ruang kebebasan kepada kerosakan.

7. Begitu juga Imam al-Syafie dan Ahmad pernah didatangi kumpulan sebegini yang bertanyakan tentang kewujudan Tuhan. Mereka semua mendatangkan hujah dalam bentuk rasional dan logik bagi memberikan jawapan yang meredakan pemberontakan hati mereka. 

8. Melalui ruang yang ringkas dan terhad ini, dapat kita fahami bahawa ateism adalah sebuah ideologi yang menolak kepercayaan terhadap Tuhan. Ianya juga bukanlah satu sistem kepercayaan mahupun agama. Dokongan terhadap idea ini berpotensi meranapkan sistem agama, merosak konsep kenabian serta meruntuhkan kepercayaan terhadap hari kiamat kerana semua perkara ini adalah elemen yang saling berkait. 

Melihatkan kesannya yang besar kepada agama Islam, para pemimpin dan sarjana Islam terdahulu berjuang habis-habisan bagi memerangi idea dan kumpulan ini. Sokongan terhadap idea ateism ini juga dilihat bertentangan dgn asas rukun negara; Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Dr Ahmad Sanusi Azmi  adalah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget