Adakah Agong ‘Mesti’ Bertindak Mengikut Nasihat PM?


YDPA mempunyai kuasa untuk menilai sama ada nasihat itu sesuai atau tidak untuk kepentingan Islam, semangat Perlembagaan dan keadilan sejagat. Dalam hal ini YDPA boleh mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu lain. YDPA berhak menolak nasihat yang diberikan jika ia lebih mendatangkan keburukan. Lebih-lebih lagi Perkara 145(5) menyebut bahawa Peguam Negara memegang jawatan selama mana diperkenan oleh YDPA (…the Attorney General shall hold office during the pleasure of the Yang di-Pertuan Agong…).

oleh: Dr.Fathi Yusof
3 Jun 2018

Sebahagian besar kuasa Yang Di-Pertua Agong (YDPA) perlu dijalankan dengan nasihat kabinet dan Perdana Menteri (PM). Dalam pelantikan Peguam Negara misalnya, Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa YDPA, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara.

Soalnya, adakah YDPA tiada pilihan lain, melainkan mesti mengikut nasihat PM dalam pelantikan Peguam Negara? Perkara 40(1) dan (1A) menyebut keperluan YDPA bertindak mengikut nasihat kabinet dan PM, melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya dalam budibicara YDPA. Peruntukan undang-undang ini perlu dibaca secara menyeluruh dengan melihat kedudukan YDPA sebagai Raja Pemerintah yang disebut sebagai Ketua Negara. Peranan, amanah dan kuasa YDPA dalam pelbagai urusan negara, seperti yang dinyatakan dalam banyak peruntukan Perlembagaan secara praktikalnya diterjemahkan sebagai satu pengiktirafan kedudukan Baginda yang mempunyai budi bicara selepas mendengar nasihat PM atau Kabinet.

Oleh itu, perkataan ‘nasihat’ adalah kekal dengan maksud ‘nasihat’, bukannya satu ketetapan yang mengikat YDPA. Nasihat sifatnya memberikan pandangan dan panduan, bukannya satu bentuk arahan. Penasihat bertanggungjawab untuk menyampaikan nasihat terbaikdengan maklumat yang tepat. Penerima nasihat yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi akan menilai nasihat mengkut kebijaksanaan dan hikmahnya.

Hal ini dihuraikan dengan penuh jitu dan indah dalam ucapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 5 Ogos 2017 di Putrajaya:

“Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Apabila Raja dirujuk, Duli-duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus…”

Jadi dalam pelantikan Peguam Negara ini, PM berperanan menasihati berkenaan individu yang layak menduduki jawatan berkenaan, manakala YDPA mempunyai kuasa untuk menilai sama ada nasihat itu sesuai atau tidak untuk kepentingan Islam, semangat Perlembagaan dan keadilan sejagat. Dalam hal ini YDPA boleh mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu lain. YDPA berhak menolak nasihat yang diberikan jika ia lebih mendatangkan keburukan. Lebih-lebih lagi Perkara 145(5) menyebut bahawa Peguam Negara memegang jawatan selama mana diperkenan oleh YDPA (…the Attorney General shall hold office during the pleasure of the Yang di-Pertuan Agong…).

Jika berlaku penolakan, maka PM bertanggungjawab untuk mencadangkan nama lain sesuai dengan hasrat YDPA. Bagi mengelakkan konflik dan kontroversi, proses ini sepatutnya berlaku secara tertutup dan tanpa sebarang pendedahan kepada media. Ia perlu dilaksanakan melalui jalan muafakat yang penuh dengan adab dan hemah. Penyelesaiannya harus segera dan cekap bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi negatif. Apa yang penting institusi Istana perlu dihormati sesuai dengan semangat Perlembgaan dan prinsip rukun negara.

Kita sama-sama doakan isu berkaitan pelantikan Peguam Negara ini dapat diselesaikan dengan penuh harmoni dan mudah-mudahan individu yang dilantik itu benar-benar menghayati prinsip kejujuran, keadilan dan mampu membantu mengukuhkan kedudukan Islam di dalam negara.

Dr Muhammad Fathi Yusof adalah merupakan Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia  Kuala Lumpur
https://www.facebook.com/fathiyusof/posts/10211686350931169

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget