NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ziarah kubur: Politik terdesak Dr M?





Apa perlu Dr Mahathir Mohamad mempengaruhi penyokong PAS supaya mengundi PH dalam PRU14 jika beliau sudah yakin PH akan menang?

Oleh: Dr Kamarul Zaman Yusoff


SEMAKIN dekat dengan hari pengundian semakin terdesak nampaknya cubaan Dr Mahathir Mohamad mempengaruhi penyokong PAS supaya mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.


Tanpa disangka-sangka Dr Mahathir telah menziarahi kubur Almarhum Fadzil Noor di Kedah dan cuba menziarahi kubur Almarhum Nik Abdul Aziz di Kelantan.


Malah Dr Mahathir juga telah memuji pengetahuan luar biasa Almarhum Fadzil Noor selain mendedahkan kononnya Almarhum pernah menjadi penasihat agama beliau.


Yang tolol adalah anak lelaki Almarhum Fadzil Noor, Faiz, yang berkata kononnya ziarah kubur itu melambangkan kesedaran, keinsafan dan taubat Dr Mahathir.


Ini kerana tiada sepatah kemaafan pun diluahkan oleh Dr Mahathir di atas isu Memali, apatah lagi di atas penganiayaan terhadap Almarhum Fadzil Noor dan PAS.


Apa yang dikata kemaafan Dr Mahathir pada 4 Mei itu hanyalah kemaafan kerana "Tersilap kata" dan "Terkasar" kerana menyebut mangsa Memali "Mati katak" sahaja.


Masa sama, Dr Mahathir berlepas diri dari memikul tanggungjawab ke atasnya dengan berkata "Hadi-lah yang membawa kepada kematian ini, bukan saya, saya tidak terlibat".


Masa sama, tiada sebarang penarikan balik ke atas tuduhan Dr Mahathir bahawa mangsa Memali-lah yang terlebih dahulu menembak mati polis hingga polis menembak mereka.


Faiz sepatutnya bertanya dulu kepada Mahfuz Omar yang sanggup menjadi pengiring kepada Dr Mahathir dalam ziarah ke kubur Almarhum Fadzil Noor itu.


Ini kerana Mahfuz-lah yang dalam sidang Parlimen pada 13 Mac 2002 menyebut "Arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri untuk membunuh Ustaz Ibrahim Mahmud".


Ini kerana Mahfuz-lah yang dalam sidang Parlimen sama menyebut kepada Almarhum Fadzil Noor supaya Dr Mahathir "Diseret ke Mahkamah untuk didakwa".


Faiz juga sepatutnya meneliti dulu Penyata Parlimen pada 13 Mac 2002 dalam mana Almarhum Fadzil Noor berucap panjang lebar membahaskan isu Memali ini.


Jika diteliti ucapan Almarhum Fadzil Noor ini akan didapati dengan jelas bahawa Almarhum meletakkan kesalahan dalam isu Memali ini ke atas Dr Mahathir.


Di dalam ucapan itu, Almarhum berkata: "Tidak ada alasan, Syarie pun tidak ada alasan, Undang-undang Negara pun tidak ada alasan untuk membunuh atau menembak dia."


Malah, Almarhum membacakan ayat al-Quran dan Hadis yang menjelaskan mereka yang membunuh Nabi dan Ulama' adalah orang yang paling berat seksaannya di Hari Kiamat.


Kata Almarhum, mereka yang membunuh Nabi atau Ulama ini adalah "Yahudi", "Komunis" dan "Nasionalis Sekularis", "Di Malaysia termasuklah pembunuhan ke atas Ibrahim Libya".


Faiz perlu meneliti juga Penyata Parlimen pada 20 Mac 2001 dalam mana Almarhum Fadzil Noor berucap mengingatkan Dr Mahathir mengenai syarat taubat dalam Islam.


Kata Almarhum, taubat tidak diterima Allah kecuali bagi orang yang benar-benar ikhlas di mana keikhlasan ini memerlukan pembuktian, kesungguhan dan pembaikian amalan.


Kepada Faiz, perlu ditanya soalan ini: Dalam isu Memali, apatah lagi dalam penganiayaan terhadap Almarhum Fadzil Noor dan PAS, bila pula Dr Mahathir bertaubat?


Tahniah kepada Nik Adli di atas ketegasan beliau dan ahli keluarga lain menghalang Dr Mahathir dari cuba mempolitikkan ziarah kubur Almarhum Nik Abdul Aziz.


Masih saya ingat betapa sengsaranya Almarhrum Nik Abdul Aziz apabila Nik Adli ditahan di bawah ISA bukan setahun dua tetapi lima tahun oleh Dr Mahathir.


Disebut oleh Almarhum pada 10 Mei 2002: "Anak saya ditangkap jadi ISA, tangkaplah. Kalau ada kes, bawa ke Mahkamah. Tak dok kes, mungberdosa besar di akhirat kelak."


Tambah Almarhum: "'Mung berdosa, 'mung Menterikah, aku lanyak muka 'mung di akhirat kelak pasal 'mung berdosa. Neraka ini bukan dia tahu Tok Guru sapo, Menteri sapo."


Malah masih saya ingat juga lagi kata-kata Almarhum bila Nik Adli dibebaskan pada 18 Oktober 2006 berbunyi "Selagi hati saya berdarah saya tak akan ucap terima kasih".


Dan apa perlu Dr Mahathir mempengaruhi penyokong PAS supaya mengundi PH dalam PRU14 jika beliau sudah yakin PH akan menang?


tag: bahasa, Dr Mahathir Mohamad, Dr Kamarul Zaman Yusoff, PRU14, Fadzil Noor, Nik Abdul Aziz


Dr Kamarul Zaman Yusoff merupakan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo