NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wakil rakyat BN terus bantah titah Raja Perlis, didesak berundur, letak jawatan




PADANG BESAR 27 Mei - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri ini yang terus mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar didesak supaya berundur dan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana telah ingkar terhadap titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Desakan itu disuarakan oleh Ketua-ketua Cawangan UMNO Bahagian Chuping yang tidak mahu rakyat terus bercelaru dan turut terheret dalam isu tersebut.


Wakilnya, Md. Isa Seman berkata, apa yang dikesalkan mereka yang terlibat dalam isu tersebut bukan sahaja merupakan pemimpin masyarakat tetapi berpendidikan dan berjawatan tinggi.

"Kami merasa kecewa di atas sikap wakil-wakil rakyat BN yang membantah titah Raja Perlis ini dan oleh itu memohon kesemua mereka (ADUN) memohon ampun terhadap baginda dengan kadar segera.

"Kami tetap akan berdiri teguh di belakang Raja Perlis dan memohon perkenan baginda supaya tidak berganjak di atas keputusan yang dibuat (pemilihan Menteri Besar)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perhimpunan aman yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang terdiri daripada Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Chuping, bagi menyatakan sokongan terhadap keputusan Tuanku Syed Sirajuddin dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di hadapan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Chuping di sini hari ini.

Md. Isa seterusnya memberitahu, Azlan mempunyai rekod yang cemerlang kerana telah membawa banyak pembangunan ke negeri ini selama sepenggal menjawat jawatan sebagai Menteri Besar.

"Kami yakin dengan rekod Datuk Seri (Azlan) dan pengalaman selama sepenggal menerajui negeri, beliau layak memegang jawatan Menteri Besar," katanya.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini Khamis lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. - UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo