NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wakil rakyat BN ibarat yatim piatu

0
Kita tiada ayah, tiada ibu. Sukar nak urus kebajikan rakyat jika kerajaan baharu tidak membantu dalam memberi kerjasama dari segi peruntukan dan sebagainya


Wakil rakyat BN ibarat yatim piatu


GUA MUSANG - “Menang sorak kampung tergadai. Itulah yang terpaksa ditempuhi wakil rakyat kita,” luah Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad berhubung kemenangan BN di kawasan berkenaan.

Menurutnya, walaupun berjaya mengekalkan kemenangan di kawasan kubu kuat itu, wakil rakyat BN mungkin berdepan situasi rumit untuk menjaga kebajikan rakyat di bawah kerajaan baharu, Pakatan Harapan (Harapan).


“Boleh diumpamakan seperti yatim piatu. Kita tiada ayah, tiada ibu. Sukar nak urus kebajikan rakyat jika kerajaan baharu tidak membantu dalam memberi kerjasama dari segi peruntukan dan sebagainya.

“Namun di Gua Musang, kita menyerahkan segalanya kepada Ahli Parlimen yang juga Ketua Umno bahagian, Tengku Razaleigh Hamzah kerana hanya beliau yang boleh memberikan keputusan.

“Malah, setakat ini, kita dimaklumkan, ketiga-tiga Adun masih taat dan menyerahkan segala keputusan kepada Tengku Razaleigh,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Razali berkata, keputusan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan serta merta setelah didesak beberapa pihak adalah tidak wajar.

“Beliau (Najib) meletakkan jawatan kerana didesak. Tidak sepatutnya beliau didesak di saat ini, berikan beliau sedikit masa. Biarlah habis pantang dahulu.

“Ia boleh menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat. Sepatutnya kita perlu bertenang dahulu. Umno perlu muhasabah diri dan anjakan paradigma parti perlu dilakukan.

“Rakyat menghukum kerana ketidakendahan kita. Kekalahan kita bukan kerana kekuatan Harapan namun kekuatan rakyat. Jangan layan rakyat seperti peminta sedekah kerana merekalah sebenarnya raja,” katanya.

Tambahnya, Umno perlu membuat perubahan daripada peringkat akar umbi untuk mencorakkan semula parti itu bagi menghadapi PRU15.

“Agenda utama adalah penyatuan Melayu untuk memastikan kuasa Melayu masih relevan dan masih bertuan di bumi sendiri. Jangan biarkan luka berdarah kembali demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/politik/wakil-rakyat-bn-ibarat-yatim-piatu-1.834010

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo