NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno perlu dibersihkan




Apabila kapal pecah, bertempiaranlah tikus lari menyelamatkan diri. Situasi seperti ini bagus juga kerana kita tak mahu tikus ini ada lagi dalam UMNO, kita mahu pejuang yang setia.

Oleh: DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM

DEMI UMNO YANG BERSIH
Setelah Barisan Nasional (BN) tumbang 9 Mei lepas, sindrom lompat yang dahulunya orang UMNO hanya dengar berlaku di Sabah khususnya, menjangkit pula ke Semenanjung.

Bila kena pada batang hidung sendiri, ia amat menjengkelkan. Kalau ikut kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, mereka ini macam `tikus’.

“Apabila kapal pecah, bertempiaranlah tikus lari menyelamatkan diri. Situasi seperti ini bagus juga kerana kita tak mahu tikus ini ada lagi dalam UMNO, kita mahu pejuang yang setia.

“Kita mahu orang yang masuk UMNO bukan kerana mengejar peluang,” kata bekas Menteri Besar itu yang turut membidas beberapa Ketua UMNO Bahagian di negeri itu yang mendesaknya meletak jawatan setelah Negeri Sembilan turut tenggelam dalam tsunami rakyat, 9 Mei lalu.

Langkah pembersihan dalam UMNO amat diperlukan meskipun parti mungkin hilang ahli. Biar yang tinggal ini benar-benar atas perjuangan parti. Hakikatnya UMNO boleh bangkit semula. Lima tahun bukan tempoh yang lama.

Apabila Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi mandat kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk merangka cadangan bagi menstruktur semula parti untuk bangkit semula, itu bukan bermakna menyerahkan kepemimpinan parti bulat-bulat kepada orang muda.

Orang muda pun ada kelemahannya juga. Kalau dilihat sebilangan exco Pemuda sedia ada pun ramai yang tidak perform. Yang nampak kelihatan hanya sekelumit - bagai rembulan yang sesekali muncul ditunggu-tunggu pasangan kekasih. Maka orang muda, khususnya Khairy diberi kepercayaan untuk menolong di sebalik tabir dalam menginjakkan kembali parti.

Dan keterlibatan Ahmad Zahid diperlukan - paling kurangkan pun untuk tempoh peralihan tiga tahun pertama ini. 

UMNO perlu berfikir seperti pembangkang yang lepas. Segera jenamakan semula parti. Berfikir sebagai bukan lagi kerajaan. Buangkan nostalgia. Move forward atau kata anak muda hari ini `jalan terus’. Jangan masih dibuai mimpi.

Untuk proses pembersihan parti, UMNO perlukan ahli parti yang setia. Perginya Timbalan Ketua UMNO Bagan Serai, Datuk Abd. Muhaimin Abd. Rahman Nazri menyertai Pakatan Harapan bagus untuk membuang gunting dalam lipatan.

Demikian juga dengan kelibat-kelibat seperti dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang pantas menjadi katak seperti bekas Exco Kerajaan Perak yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi. 

Tidak ketinggalan `mengejar kuasa’ ini dua lagi Timbalan Ketua Bahagian UMNO dari Perak iaitu Datuk Naziruddin Bandi (Teluk Intan) dan Datuk Kamarul Rashdan Salleh (Tanjung Malim), selain Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah, Pazli Abdullah.

Harap-harap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengotakan janji beliau untuk tidak beri muka kepada gerombolan si kitul ini.

"Saya nampak ramai orang dari parti lawan yang kalah, mereka ini mahu masuk parti dalam Pakatan Harapan, tetapi rakyat tidak boleh terima orang daripada UMNO dan parti lain," kata Dr. Mahathir mengulas `lompat kotak’ ini 16 Mei lalu.

Apa yang penulis dapat simpulkan dari tindak tanduk `tikus’ yang disebut Mohamad Hasan adalah hikmahnya bagaimana ia suatu peringatan Allah SWT kepada ahli-ahli UMNO. 

Yakni, selama ini lalai dengan kurniaan keselesaan yang Dia berikan. Allah `ketuk’ sedikit sahaja supaya ahli dan pemimpin parti sedar.

Dan AllĆ¢h Azza wa Jalla berfirman:

Katakanlah, “Wahai Rabb Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”. [Ali ‘ImrĆ¢n/3:26].

Renung dan hayatilah firman Allah di atas, yang sebelum ini begitu `sakitnya mata’ menyaksikan perebutan jawatan, projek serta lari dari landasan perjuangan sebenar untuk mengejar kepentingan peribadi - lebih untuk mengayakan diri sendiri.

UMNO boleh bangkit. Kena yakinlah.

Boleh diteladani perjuangan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah negara Jepun sejak 1955 tapi kecundang pada pilihan raya umum 30 Ogos 2009 kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ). 

Perdana Menteri Jepun pada masa itu, Taro Aso mengaku kalah dan mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden parti LDP. Pada masa itu, DPJ menang 308 kerusi daripada keseluruhan 480 kerusi Dewan Perwakilan dengan LDP hanya menang 119 kerusi.

Selepas tiga tahun, parti LDP bangkit semula dan kembali berkuasa apabila memenangi pilihan raya negara itu. Majoritinya besar iaitu beza 189 kerusi antara LDP dan DPJ. Ini berbanding BN (78) dengan PH (125 kerusi), beza 47 sahaja.

Kebangkitan kembali parti LDP itu dicapai pada 16 Disember 2012 apabila menang 300 daripada 480 kerusi Parlimen di Dewan Perwakilan Jepun. LDP membentuk kerajaan dengan sekutunya Parti New Komeito yang menang kira-kira 30 kerusi. Kebangkitan itu memberikan kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen Jepun. Dari hanya ada 119 kerusi, LDP tambah sampai jadi 300 kerusi. Bermakna LDP gunakan strategi yang betul untuk tawan kembali hati rakyat Jepun.

Tetapi UMNO juga mesti ambil iktibar dari parti terbesar di Indonesia iaitu Parti Golongan Karya (Golkar). Golkar dalam pilihan raya 1971 iaitu pilihan raya pertama dalam pemerintahan Presiden Suharto, ia menang. Selepas itu, ia terus menang pada pilihan raya seterusnya pada 1977, 1982, 1987, 1992 dan 1997. Parti itu menerajui pentadbiran Indonesia selama 32 tahun sejak Suharto mengambil alih.

Sejak reformasi politik pada 1998 dengan kepimpinan parti bertukar tangan, Golkar menghadapi krisis politik berterusan yang teruk dan belum mampu bangkit kembali sebagai Golkar yang dahulu. 
Hakikatnya, UMNO harus berpijak di bumi nyata. UMNO perlukan gabungan pemimpin lama dan baharu yang komited.

Dan tolonglah cari pemimpin yang bukan sahaja kelihatan bersih tetapi benar-benar bersih - yang tidak terpalit dengan skandal dan isu.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM  adalah Penganalisis isu-isu semasa



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo