NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tukar sistem pilihan raya untuk kukuhkan kuasa



Oleh: Muhammad Fathi Yusof

Saya membaca beberapa sebaran yang menunjukkan angka kecil kerusi yang ditandingi oleh DAP berbanding rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH). Tulisan itu menyimpulkan bahawa mustahil DAP kuasai Malaysia kerana jumlah kerusi yang kecil itu.

Saya menganggap hujah itu agak rapuh. Penguasaan parti dalam satu-satu gabungan bukan semata-mata kerana jumlah kerusi, tetapi juga kemampuan parti itu mempengaruhi rakan-rakannya. Jika anda perhatikan kandungan manifesto Pakatan Harapan, anda akan dapat mengesan pengaruh kuat DAP dalam agenda pemerintahan yang dirangka itu.

Dari sudut ini DAP kelihatan mampu menggunakan modal ‘sokongan kuat kaum Cina’ sebagai satu bahan taruhan yang sangat berharga dalam rundingan dalaman PH. Jika pemimpin parti-parti lain dalam PH gagal menunjukkan keberanian sewaktu rundingan sebelum PRU, tentunya mereka akan lebih kecut perut bila berkuasa nanti. Mereka yang berada di tampuk kuasa tentunya berfikir seribu kali untuk berkonfrantasi sehingga mempertaruhkan jawatan dan kuasa. Namun, ia bukan isu yang saya ingin bahaskan di sini.

CENGKAMAN DAP

Tulisan saya ini bertujuan untuk mengajak anda berfikir tentang kemungkinan cengkaman DAP ke atas politik Malaysia melalui perubahan sistem pilihan raya. Tidak dapat dinafikan, dalam PRU-14 ini jumlah calon DAP adalah lebih kecil kerana kawasan Parlimen dan DUN yang bukan majoriti Melayu adalah kecil . Tetapi keadaan mungkin berubah jika PH berjaya memerintah dan perubahan dibuat ke atas sistem pilihan raya yang sedia ada. Maksudnya, DAP boleh mengubah padang permainan agar ruang dan peluangnya mendominasi politik negara semakin besar.

Mungkin ada yang mengatakan ia sekadar jangkaan yang tidak berasas. Anda mungkin tidak perasan beberapa siri advokasi berkaitan dengan perubahan sistem pilihan raya yang dilakukan oleh pemimpin DAP serta beberapa NGO seperti Tindak Malaysia dan Penang Institute. Mereka mengkritik keras sistem sedia ada berteraskan konsep first-past-the-post (FPTP). Anda boleh rujuk banyak tulisan dan ucapan tokoh-tokoh DAP yang mengulas sistem pilihan raya seperti Wong Chin Huat dan lain-lain(1) yang mencadangkan agar sistem FPTP ini diganti dengan sistem ‘proportional representation’ (sistem PR).

SUDAH TERPENGARUH

Setakat ini DAP telah pun berjaya dalam mempromosi perubahan sistem pilihan raya ini sehingga mendapat sokongan dari pemimpin parti-parti lain dalam PH. Bahkan Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah telah menulis dalam The Edge Malaysia Weekly, edisi 26 September 2016. (2)

“Finally, is the question on the electoral framework as a whole — the electoral system itself and the organisation of constituencies — and the legal framework. Even though the BN lost the popular vote in GE13, it “took all” under the first-past-the-post electoral system. This has been criticised and today, there are increasing calls for the more inclusive “proportional representation” system.”

Mungkin ada yang bertanya, apa kaitannya perubahan sistem ini dengan penguasaan DAP? Anda mungkin tidak perasan bahawa sistem pilihan raya sedia ada yang berasaskan FPTP dan amalan persempadanan yang mempunyai konsep ‘rural-weightage’ yang diamalkan sekarang.

DOMINASI MUSLIM

Konsep ‘rural-weightage’ membenarkan perbezaan jumlah pengundi dalam kawasan-kawasan pilihan raya iaitu dengan mewujudkan bahagian pilihan raya yang mempunyai jumlah pengundi yang lebih sedikit bagi kawasan kampung dan pedalaman, berbanding kawasan bandar. Oleh kerana kebanyakan kawasan kampung didiami oleh Melayu/Islam, maka secara tidak langsung ia membolehkan peratusan jumlah kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Muslim berada pada nisbah yang lebih besar berbanding dengan peratusan jumlah pengundi Muslim.

Konsep yang diamalkan sejak sebelum merdeka ini mewujudkan tapak yang kukuh kepada Muslim di Malaysia mengekalkan penguasaan politik sesuai dengan hakikat sejarah umat Melayu Muslim selaku umat pribumi negara. Tegasnya, mengubah sistem pilihan raya bermakna mempertaruhkan penguasaan politik umat Islam di bumi Malaysia.

PERUBAHAN BERHEMAH

Bagi yang membaca berkenaan kepincangan sistem pilihan raya, mungkin akan menganggap perubahan sistem FPTP kepada sistem PR adalah keperluan bagi membaiki sistem yang ada ke arah pilihan raya yang bebas dan adil. Tidak dinafikan sistem pilihan raya kita mempunyai banyak kelemahan. Saya sendiri banyak menulis tentang kelemahan ini termasuk dalam isu persempadanan yang menyebabkan berlaku agihan tidak seimbang dalam agihan nilai undi. Memang kita perlukan perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh.

Namun, perubahan yang diperlukan tidak termasuk menghapuskan sistem FPTP dan konsep ‘rural-weightage’ yang diamalkan sekarang. Pembaharuan pilihan raya boleh dibuat melaksanakan konsep ‘rural-weightage’ secara telus dan dengan garis panduan yang jelas. Anda boleh baca hujah-hujah saya dengan terperinci dalam beberapa tulisan lepas.(3)

Sebaliknya apa yang dihasratkan oleh DAP ialah untuk menukar sistem pilihan raya ini, atau sekurang-kurangnya menghapuskan konsep ‘rural-weightage’ ini. (4)

MENUTUP ISU

Mutakhir ini wujud satu kecenderungan untuk memadamkan wacana kuasa politik Muslim dengan melabelkan wacana ini sebagai satu pengaruh sentimen perkauman. Suka saya jelaskan bahawa isu survival politik Muslim adalah satu isu yang amat penting berdasarkan prinsip Al-Quran. Jika sesuatu bumi itu dipimpin oleh Muslim, tidak sewajarnya ia diserahkan kepada orang lain. Sentiman ini adalah sentimen Al-Quran bukannya sentimen perkauman. Sentimen Al-Quran khususnya ayat 51 Surah Al-Ma’idah pernah menjadi satu fenomena yang mengumpulkan jutaan umat Islam di Indonesia.

Kesedaran tentang kepimpinan Muslim tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan untuk menjaga hubungan baik sesama manusia termasuk rakan-rakan bukan Islam. Penegasan tentang kepimpinan Muslim bukan satu seruan permusuhan perkauman, tetapi ia adalah satu ajakan untuk saling faham memahami agar tidak timbul konflik yang tidak diingini pada masa hadapan.

Tegasnya, penguasaan DAP mempunyai risiko kehilangan atau penghakisan kuasa kepimpinan Muslim di Malaysia. Hari ini kita boleh mempamerkan tingginya jumlah kerusi yang ditandingi oleh calon-calon Muslim. Jika kita tidak berhati-hati dalam PRU-14 ini, tidak mustahil dalam PRU-15 nanti mungkin situasinya tidak lagi seperti yang ada sekarang. Bila padang permainan berubah, maka segala-galanya boleh berubah.

Selamat mengundi dengan penuh kesedaran!

------------------

(1) lihat antaranya dalam “Constituency Delimitation and Electoral Authoritarianism in Malaysia”, The Commonwealth Journal of International Affairs, Volume 107, 2018 - Issue 1, https://www.tandfonline.com/doi/full/10.1080/00358533.2018.1424075
(2) http://www.theedgemarkets.com/article/second-sphere-why-we-must-contest-delimitation
(3) lihat antaranya https://www.academia.edu/29823437/Delimitation_of_Electoral_Boundary_in_the_Malaysian_Electoral_System
(4) lihat http://penangmonthly.com/article.aspx?pageid=5537&name=electoral_system_options_beyond_firstpastthepost

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo