NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: PAS yakin bentuk kerajaan pada 9 Mei


 
PRU14 | PAS Terengganu menyatakan keyakinan mereka yang tinggi untuk memenangi lima lagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) sambil mengekalkan 14 kerusi dimenangi pada PRU lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Husain Awang, berkata meskipun PAS didakwa bersendirian menghadapi PRU ke-14, jangkaan pertambahan kerusi DUN itu dibuat secara realistik berdasarkan senario politik semasa.

"Tinggal lima hari lagi sebelum mengundi pada 9 Mei, kami yakin dapat pertahankan kerusi yang telah kami menangi di empat parlimen dan 14 DUN dalam PRU ke-13.

"Dan dengan perkembangan yang ada sekarang kami yakin dapat menawan beberapa kerusi lagi bagi membolehkan kami menubuhkan kerajaan baru selepas PRU ke-14 di negeri Terengganu, insya-Allah lima lagi tambahan dari kerusi sedia ada.

"Tapi kerusi mana tak boleh beritahu, itu strategi kami," katanya dalam sidang media di Pejabat Pesuruhjaya PAS Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut Husain berkata keyakinan itu dizahirkan melalui gelombang hijau di negeri itu sekarang.

"Alhamdulillah, setakat ini penerimaan rakyat terhadap PAS dalam PRU ke-14 sangat memberangsangkan. Terdapat gelombang hijau yang semakin besar sedang berlaku di semua lapan parlimen dan 32 DUN yang PAS tandingi.

"Paling jelas penerimaan ialah kalangan anak muda yang memberi sokongan yang paling kuat bekerja di semua tempat yang mereka ditugaskan," katanya.

Tiada laluan mudah

Tambah Husain, faktor keyakinan PAS Terengganu itu dibuat kerana melihat rakyat semakin meluat terhadap politik Umno yang terlibat dengan pelbagai penipuan.

"Kita melihat dari sudut rakyat yang sudah meluat dengan suasana politik sedia ada dalam Umno dan kerajaan sedia ada hari ini dan rakyat juga telah mendapat penjelasan sejelas-jelasnya dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan penipuan terhadap rakyat daripada sudut pembangunan.

"Contohnya LPT (lebuh raya pantai timur) yang menggunakan RM1.8 bilion wang rakyat Terengganu menyebabkan rakyat benci dan marah," tegasnya.

Tambah Husain hal lain yang tidak disenangi rakyat ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Yang paling dibenci rakyat adalah GST dan kebangkitan inilah yang membuatkan kami yakin rakyat mahukan perubahan dan bersama dengan kami," katanya.

Bagaimanapun, Husain berkata PAS tidak meletakkan kedudukan mereka dalam keadaan selesa.

"Pihak lawan kami daripada Umno-BN dan Pakatan Harapan sudah tentu tidak akan memberi laluan mudah kepada kami untuk menang.


"Sebagaimana pengalaman PRU ke-13, Umno-BN akan menggunakan apa saja cara untuk menang termasuk menggunakan jentera kerajaan dan sogokan wang yang berleluasa untuk memancing undi," tambahnya.

Pada PRU ke-13 lepas BN berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu.

Sementara PAS menang 14 dan PKR menang 1 kerusi DUN di Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon adalah pada Sabtu, 28 April manakala pembuangan undi pada Rabu, 9 Mei. - Mkini


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo