NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syed Saddiq, Tuduhan YB Kurang Tepat Dan Prejudis Terhadap PAS!


PAS boleh menerima kritikan, idea dan pandangan, tapi bukan pembohongan

Ke hadapan YB Sdr Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,  Salam Ukhuwah dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah atas segalanya. Ramadan Kariim. Semoga warkah ini menemui saudara dalam keadaan kesihatan dan keimanan yang baik hendaknya. 

Pertama-tamanya sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara kerana telah menang dan terpilih sebagai Ahli Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang baru berlalu. Syabas juga kepada Pakatan Harapan yang telah diberi mandat dan amanah oleh rakyat menerajui Kerajaan Malaysia yang baharu. Selamat berkhidmat YB!

Alhamdulillah, kita pernah berjumpa dan berdiskusi di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) 2 tahun yang lepas (baca di sini: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=262053780796624&id=100009760117468). Anggaplah warkah ini susulan kepada pertemuan tersebut. 

Warkah ini saya mula tulis semalam ketika berada di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam dan sempat disiapkan malam ini di Bangi, Selangor Darul Ehsan. Saya suka kongsikan keterujaan saya bila menyebut tentang negara Brunei Darussalam kerana Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang termasuk Hudud, Qisas & Diyat dan Ta’zir telah mula dilaksanakan semula di sini bermula 1 April 2014. Ada yang mengatakan bahawa Qanun Jenayah Shariah tidak dapat dilaksanakan di Malaysia dengan pelbagai alasan. Antaranya konon kerana demografi masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk. Sebenarnya bukan tidak boleh, tapi pada hakikatnya tiada kemahuan politik dari Pemerintah.

Brunei Darussalam juga sebenarnya bermasyarakat majmuk. Dari segi agama di Brunei, 67% penduduknya menganut Islam, 13% Buddha, 10% Kristian dan 10% lain-lain. Di Malaysia juga lebih kurang YB. Statistik menunjukkan 60.4% penduduk Malaysia menganut agama Islam, 19.2% Buddha; 9.1% Kristian, 6.3% Hindu dan 2.6% lain-lain. Baca lanjut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Brunei Darussalam di sini: https://www.scribd.com/document/236100767/Perintah-Kanun-Hukuman-Jenayah-Syariah-Brunei-Darussalam. Kesimpulannya, Qanun Jenayah Shariah boleh dilaksanakan di Malaysia. Apa yang penting ialah hendaklah ada kemahuan beragama dan kemahuan politik!

Sdr Syed Saddiq yang berbahagia,

Tujuan utama warkah ini ialah untuk menyanggah dan memperbetulkan beberapa fakta serta tuduhan kurang tepat terhadap PAS yang saudara sebut semasa Wacana Sinar Harian “Bersama 3 YB Muda: Cabaran Memimpin Rakyat”. Saya telah melihat dan mendengar sedutan di dalam forum yang menampilkan saudara (Ahli Parlimen Muar, PPBM), YB Young Syefura Othman (ADUN Ketari, DAP) dan YB Ahmad Saidi Mohamad Daud (ADUN Changkat Jering, BN) dengan sahabat saya Sdr Amin Idris selaku Moderator.

Di dalam Forum yang telah diadakan pada 23 Mei 2018 yang lepas di Dewan Karangkraf Shah Alam tersebut, saudara telah ditanya oleh Moderator tentang pandangan saudara tentang pencapaian (performance) PAS dalam PRU14 dan kewujudan PAS dalam politik negara. Saya pada awalnya seronok bila pada mulanya saudara mengatakan bahawa PAS akan kekal ada dan kemudiannya menyatakan tidak mahu mengkritik PAS (reservation ini sangat dihargai). 

Selepas itu saudara meneruskan dengan berharap PAS lebih aktif membincangkan isu-isu dasar negara daripada memainkan isu agama dan perkauman yang melampau. Dalam bab ini saya sangat setuju dan untuk makluman YB itulah yang kami bawakan sejak penubuhan dan bahkan sebelum PRU14 PAS banyak membincangkan dasar negara yang hendak dibawa oleh PAS khususnya dalam membina Malaysia Sejahtera Bersama Islam dan konsep PAS Untuk Semua. 

Apapun, saya boleh maafkan saudara kerana mungkin maklumat tersebut tidak sampai kepada saudara dan mungkin juga majoriti rakyat Malaysia kerana kelemahan media kami. Lebih malang lagi, banyak dasar dan perjuangan yang PAS bawa dan terangkan telah ditenggelamkan oleh pelbagai fitnah, tuduhan tanpa asas dan persepsi jahat yang sengaja dibina oleh media berkepentingan untuk memburuk-burukkan imej PAS sekaligus meletakkan PAS sentiasa di kandang pesalah. In shaa Allah kami dalam proses melakukan muhasabah dan post-mortem pilihanraya dan perkara berkaitan strategi dan modus operandi akan kami tambah-baik. Kami hendak menang dengan prinsip dan dasar serta strategi terbaik, bukan dengan fitnah dan politik persepsi.

Namun apa yang mengecewakan saya ialah bila saudara membuat contoh-contoh yang setelah saya semak video yang saudara maksudnya ternyata tuduhan saudara sangat tidak tepat dan melulu. Saudara menyebut boleh tengok online kalau saudara tipu. Setelah saya melihat video program yang saudara maksudkan iaitu Forum anjuran TV IKRAM bertajuk “Ke Arah Menjamin Kesejahteraan Orang Melayu Di Malaysia” yang telah diadakan pada 19 September 2016, saya boleh simpulkan bahawa saudara sedikit menipu atau setidak-tidaknya sebahagiannya adalah pembohongan.

Saudara menuduh bahawa Ketua Penerangan PAS Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (bukan Nasution ya) bila ditanya tentang penyelesaian PAS hanya menjawab lebih kepada mengangkat dan memartabatkan Islam dan kembali semula kepada Islam dan asyik-asyik menyebut kita kembali kepada Islam tanpa memberi penyelesaian. Ini adalah satu pembohongan! Saya telah  mengambil masa untuk menonton video forum berdurasi 2 jam 10 minit 45 saat tersebut untuk memahami tuduhan saudara tersebut, dan saya lihat Ustaz Nasrudin telah membawa kerangka berkenaan maksud dasar dan prinsip penyelesaian Islam tersebut dan bukan hanya menyebut seperti yang saudara nyatakan.

Apabila Moderator bertanya apakah 3 isu utama Orang Melayu di Malaysia, Ustaz Nasrudin telah menyatakan 3 isu utama tersebut berlingkar pada 3 isu utama iaitu dalam sosial, politik dan ekonomi. Beliau melanjutkan dengan berkata bahawa kita tidak akan Berjaya menjamin ksejahteraan bila gagal meletakkan Islam pada paksi yang utama sebagai bangsa yang berjaya dalam semua 3 segmen tersebut. Untuk membangun bangsa Melayu, hendaklah kita kembali kepada Islam kerana dengan kembali kepada Islam maka akan membebaskan kita dari perkauman. Membina orang Melayu hendaklah bukan menindas orang lain. Beliau juga memetik definisi Melayu menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Malaysia iaitu antaranya orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu. Beliau juga mempertegaskan betapa Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia dan ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Saudara juga menyatakan wakil PAS asyik menyalahkan DAP dalam semua perkara. Ini juga persepsi saudara kerana setelah saya menonton dan perhalusi semua ucapan Ustaz Nasrudin dalam forum tersebut pada minit 5:29 – 9:05, 55:57 – 1:05:09, 1:39:51 – 1:50:15 dan 2:01:41 – 2:10:37, beliau langsung tiada menyebut tentang DAP. Adapun yang menyebut berkaitan DAP dan perkara sindiran berkaitan dengannya ialah YB Khalid Samad yang merupakan salah seorang ahli panel forum tersebut. Seperti biasa, mengenali YB Khalid dia akan meletakkan persepsi negative tersebut kepada PAS secara tidak saksama.

Video penuh boleh di tonton di sini: https://youtu.be/cq39vU24miM.

Sdr Syed Saddiq yang dihormati,

Saya berharap saudara tidak salah faham. PAS boleh menerima kritikan, idea dan pandangan, tapi bukan pembohongan. We are more than happy to accept criticism, ideas and constructive suggestions, but not lies! Saudara menyebut Ustaz Nasrudin langsung tidak memberi penyelesaian selain hanya “kembali kepada Islam”. Ini jelas satu penafian kepada komentar Ustaz Nasrudin. 

Bila ditanya apa yang PAS lakukan untuk membanteras korupsi, Ustaz Nasrudin menyebut korupsi dan rasuah ini menghancurkan peradaban dan tamadun, dan PAS konsisten menentangnya. Justeru PAS mencadangkan SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi mengelakkan campur tangan politik, sekaligus mempunyai keupayaan bertindak mengatasi gejala rasuah yang begitu berleluasa dalam negara ini. Beliau turut menyebut pentingnya SPRM diberi kuasa mendakwa bukan sekadar menyiasat kerana ancaman rasuah adalah satu gejala sedang dideritai oleh rakyat seluruhnya.

Apapun, benarlah bahawa kita perlu kembali kepada Islam yang merupakan penyelesaian. Bahkan dalam isu politik dan ekonomipun Islam perlu ditegaskan dan menjadi prinsip. Konsep ekonomi Islam menolak riba dan monopoli berbanding ekonomi kapitalis. Dalam konsep ekonomi Islam, kekayaan bukan berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja. Lebih daripada itu kita perlu kembali kepada prinsip Islam dalam pengurusan ekonomi yang adanya disebut Ekonomi Berkat dan Ekonomi Taqwa. Saudara boleh rujuk Dokumen Hijau yang diterbitkan oleh PAS.

PAS menyeru kepada reformasi institusi. PAS menekankan bahawa agenda pemerkasaan syariat termasuk dalam Pindaan RUU355 adalah demi menjamin kesejahteraan rakyat. Persepsi yang silap dan salah ialah bila kononnya PAS hanya sibuk dengan RUU355 dan mengabaikan hal lain. Walhal pada hakikatnya PAS konsisten dalam semua isu kemungkaran ekonomi (GST, kos sara hidup yang tinggi, harga getah yagn rendah, perumahan yagn mampu tengok dan tidak mampu milik, isu pengangguran dan peluang pekerjaan yang terhad dll) dan kemungkaran politik (rasuah, nepotisme, kronisme, salah guna kuasa dll) dengan menekankan bahawa jalan penyelesaian cara Islam adalah yang terbaik. 

PAS bercakap berkenaan dengan pemerkasaan syariat, kerana ianya adalah penyelesaian Ilahi yang sangat penting sebagai sumber kepada perundangan dan kehidupan kepada tamadun. PAS juga berusaha memandaikan masyarakat akan hal ini melalui penyelesaian secara praktis dengan memberi kefahaman melalui usaha pendidikan di pelbagai peringkat termasuk kepada orang Islam dan bukan Islam. Meski kita akui ada kelemahan sana dan sini, namun in shaa Allah PAS tidak akan behenti berusaha agar ianya terus diperjuangkan. Bahkan dalam bab jenayah ekonomi dan jenayah politik, pendirian PAS konsisten bahawa yang dituduh perlu dibawa ke muka pengadilan dan didakwa secara seadil-adilnya. 

Berkenaan tuduhan calon PAS di Parlimen Muar yang saudara sebutkan, saya sedang berusaha mendapatkan kepastian dari pihak yang berkenaan. Manaka tentang kononnya Sinar Harian dan Astro Awani banyak kali menjemput PAS tetapi PAS tak hadir, saya rasa ini adalah satu persepsi yang tidak betul. Setahu saya PAS akan berusaha hadir menghantar wakil ke Forum bahkan sudah beberapa siri Wacana Sinar dihadiri oleh wakil PAS dan sekiranya tidak dapat hadir kerana pertembungan dengan program akan dimaklumkan awal kepada pihak penganjur. Baca juga tulisan sahabat saya Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ustaz Ahmad Fadhli Bin Ahmad Fadhli Bin Shaari berkaitan perkara ini: https://www.facebook.com/ahmadfadhli1980/posts/10154736245624567.

Saya dimaklumkan in shaa Allah sedang diusahakan satu Wacana antara saudara dan sahabat saya dalam PAS Sdr Syahir Sulaiman dalam masa terdekat. Lebih menggembirakan, saya dimaklumkan Astro Awani akhirnya setuju menjemput Presiden PAS YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersiaran di Astro Awani. Ini satu perkembangan yang sihat dalam memberi ruang media yang sama rata kepada semua pihak dalam Malaysia Baharu. Semoga rakyat Malaysia dihidangkan dengan hujah dan pandangan dari semua pihak secara adil dan segala fitnah dan tohmahan dapat dibakulsampahkan.

Sdr Syed Saddiq yang dikasihi kerana Allah,

Hari ini kita sudah letih dengan momokan Islamophobia. Saya berharap saudara sebagai seorang anak muda yang mempunyai kaliber sebagai pemimpin tidak pula dihinggapi PASophobia. In shaa Allah harapnya kita boleh berjumpa dan berdiskusi sebagaimana kita pernah berjumpa 2 tahun yang lepas. Dalam pertemuan tersebut, kita sudah berkongsi gagasan, wawasan dan halatuju PAS. Saya sertakan semula catatan hasil pertemuan tersebut sebagai rujukan bersama, semoga bermanfaat.

Untuk pengetahuan saudara, sebagaimana termaktub di dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS, jelas dinyatakan Tujuan PAS ialah: (1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, (2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dikongsikan juga pautan kepada perincian tawaran daripada setiap blok parti politik yang bertanding di dalam PRU14 lepas rekod bersama:

_____
1. MANIFESTO 

GAGASAN SEJAHTERA
https://goo.gl/6G4WRp

BARISAN NASIONAL
https://goo.gl/ENRbVr

PAKATAN HARAPAN
https://goo.gl/kFMeuB

_____
2. PERANCANGAN JANGKA PANJANG

GAGASAN SEJAHTERA (Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051))
https://goo.gl/sXN3AC

BARISAN NASIONAL (Transformasi Nasional (TN50))
https://goo.gl/FZTtW9

PAKATAN HARAPAN
Tidak Dapat Ditemui

_____
3. PERANCANGAN EKONOMI

GAGASAN SEJAHTERA (Dokumen Hijau)
https://goo.gl/m5MkRv

BARISAN NASIONAL (Bajet 2018)
https://www.pmo.gov.my/bajet2018/TouchpointBajet2018.pdf

PAKATAN HARAPAN (Bajet Alternatif)
https://selangorkini.my/2017/10/teks-ucapan-belanjawan-alternatif-2018-pakatan/

___
4. GARIS PANDUAN BERPOLITIK

GAGASAN SEJAHTERA (Budaya Politik Matang dan Sejahtera)
https://goo.gl/GxrVN3

BARISAN NASIONAL
Tidak Dapat Ditemui

PAKATAN HARAPAN
Tidak Dapat Ditemui

Buat akhirnya, saya doakan semoga saudara terus maju jaya dalam perjuangan Membina Semula Negara dan menunaikan Manifesto sepanjang 5 tahun mendatang. Doakan juga semoga usaha kami untuk memartabatkan Islam melalui perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sekian, terima kasih. Jazakallahu khairal jaza’.

Saudaramu Dalam Islam,

MUHTAR BIN SUHAILI,
AJK Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat,
Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM),
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS).

Tarikh: 27 Mei 2018 bersamaan 11 Ramadan 1439H.

-------------------------------------------------

PERTEMUAN MAHABBAH BERSAMA SDR SYED SADDIQ – PAS KOMITED SELAMATKAN MALAYSIA DENGAN ISLAM

(Posting Facebook Muhtar Suhaili As-Sarawaki bertarikh 1 April 2016)

Alhamdulillah. Pada 30 Mac lepas, Sdr Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang dinobatkan Pendebat Terbaik Asia menulis di Facebook beliau dan dipetik oleh media-media perihal luahan kekecewaannya terhadap PAS terutama sekali Presiden PAS. Hari ini Jumaat, 1 April 2016, bertempat di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malay...sia (DPPM) berlangsung pertemuan mahabbah dan perbincangan bertukar-tukar fikiran dengan beliau untuk merungkai salah faham dan melihat perspektif yang lebih benar. Pertemuan hari ini disertai oleh saya (Mukhtar Suhaili, AJK PAS Pusat dan Bendahari DPPM), Sdr Nurul Mohamed Yusoff (Penolong Setiausaha 1 DPPM), Sdr Mohd Shahir Abu Hassan (AJK Jabatan Penerangan PAS) dan Sdr Abdul Malik Abdul Razak (Staff Pejabat Presiden PAS).

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini semakin mendapat perhatian dari pemain-pemain politik negara dan masyarakat umum Malaysia. Bahkan mutakhir ini, PAS melakukan pelbagai pertemuan-pertemuan (engagements) dan dikunjungi oleh pelbagai pihak dalam dan luar negara. Lebih dari itu, tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan politik PAS dewasa ini sering menjadi bahan perbincangan pro dan kontra, dinilai penganalisis-penganalisis politik bertauliah dan pinggiran serta banyak gerak-gerak geri politik PAS yang kadang-kadang lari dari kebiasaan politik konvensional yang diamalkan di negara ini dipolemikkan.

Politik Malaysia semakin dinamik dan terbuka. Bagi saya ia sesuatu yang positif dan saya optimis ia budaya yang subur dalam kerangka demokrasi yang digunapakai. Lebih menarik lagi, banyak gagasan politik yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang pada awalnya dicemuh oleh musuh-musuh politik beliau akhirnya diikuti, dipersetujui secara tindak langsung dan diperakui sebagai langkah yang wajar meskipun tidak dizahirkan secara nyata.

Berbalik kepada pertemuan DPPM dengan Sdr Syed Saddiq, saya ingin memberi kredit dan nyatakan bahawa beliau adalah anak muda intelektual yang mempunyai potensi dan bakat besar. Atas segalanya dari perspektif perbincangan hari ini, yang jelas bagi saya ialah beliau tidak mendapat maklumat yang menyeluruh tentang perjuangan PAS dan catatan beliau sebelum ini adalah berasaskan persepsi. 

Saya telah nyatakan kepada beliau bahawa dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diterajui oleh PAS kini, terdapat 9 ciri (iaitu bertunjangkan prinsip, politik dakwah, amar ma’ruf nahi mungkar, fokus penyelesaian Islam, pertentangan dasar bukan fizikal, utamakan kepentingan rakyat dan kurangkan politicking, politik aman dan diplomasi (muwajahah silmiyah), politik sebenar dan bukan persepsi serta politik rasional dan professional) dan ciri utama yang saya tekankan kepada beliau ialah politik sebenar dan bukan sekadar persepsi. BPMS ini ialah salah satu subset kepada satu agenda besar PAS yang dinamakan Wawasan Induk Negara (WIN).

Dalam perbincangan hampir sejam setengah tersebut, kami setuju dan setuju untuk tidak bersetuju dalam dua (2) perkara. Kami bersetuju bahawa reformasi institusi (institutional reform) adalah sesuatu keperluan mendesak di dalam negara ini dalam menukar sistem yang korup yang sedia ada dan kami PAS tekankan betapa penyelesaian Islam adalah jalan ke hadapan. Namun seperkara yang kami gagal mencapai kata sepakat ialah untuk PAS menyertai gerakan Deklarasi Rakyat yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir dan didokong kuat oleh Pakatan Harapan. Bagi Sdr Syed Saddiq, Deklarasi Rakyat ini dan inisiatif selanjutnya Konsensus Nasional Rakyat yang katanya akan digerakkan adalah satu keperluan ke arah reformasi institusi dan #SelamatkanMalaysia.

Namun PAS melihat sebaliknya bahawa ianya tidak lebih dari sekadar memenuhi agenda dan cita-cita politik pihak tertentu dan pada akhirnya ianya menjadi usaha #SelamatkanUmno dengan sekadar menurunkan seorang Perdana Menteri dan diganti dengan Perdana Menteri yang lain namun masih dari parti dan sistem korup yang sama. Kita tidak mahu keluar dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut harimau. Ia tidak menyelesaikan masalah dan tidak membawa kepada perubahan yang lebih sejahtera.

PAS sebagai Gerakan Islam yang berpegang kepada prinsip demokrasi melihat bahawa apa jua perubahan yang berlaku perlulah dalam kerangka demokrasi. Ini sama ada melalui undi tidak percaya di Parlimen (jika benar ada cukup Ahli Parlimen untuk menyokongnya) atau melalui pembubaran parlimen yang membawa kepada pilihanraya umum (yakni memberi mandat kepada rakyat memilih melalui jalan peti undi). Lebih penting dan apa yang utama kita hajati ialah perubahan sistem secara total dari sistem yang korup kepada sistem yang terbaik dan kepercayaan PAS ialah #SelamatkanMalaysiaDenganIslam.

Melalui BPMS, PAS akan mengatakan yang benar itu benar dan menyebut yang salah itu salah. PAS akan mengiyakan yang benar dan menidakkan yang bukan. Kita akan menyokong keadilan dan menentang kezaliman tidak kira siapa jua pelakunya. Dan prinsip yang sihat inilah yang kita akan pegang utuh dalam semua tindakan dan keputusan politik tanpa ada piawaian berbeza (double standard).

Selain itu, satu perkara yang kami boleh sepakati ialah perlunya pendirian dan kenyataan PAS dirujuk dari sumber primer (www.pas.org.my dan Akhbar Harakah) dan bukan dari media-media yang berkepentingan yang sering sahaja mengangkat berita yang memberi persepsi negatif terhadap PAS khususnya Presiden PAS. Lebih malang banyak berita tentang PAS diputar-belit (spinned), diambil secara sekerat-kerat dan seolah-olah trend terkini tajuk berita sengaja dibuat gempak namun sebenarnya tidak mewakili isi keseluruhan berita.

PAS sejak penubuhannya sehingga kini istiqamah menentang segala kezaliman, salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan ketidakadilan yang dilakukan oleh parti pemerintah Umno-Barisan Nasional. Untuk rekod juga, PAS konsisten menentang salah laku yang diwar-warkan berkenaan 1MDB, berhimpun membantah pelaksanaan GST, menolak pelaksanaan PPSMI (kini dijenamakan sebagai DLP), membantah kenaikan harga utiliti, barangan, kadar tol, pengangkutan awam dan lain-lain, berdemonstrasi membantah perjanjian TPPA yang merupakan satu bentuk penjajahan baru, menyelongkar pelbagai skandal berkaitan salahguna dana KBS, PKFZ, FELDA, MARA, Tabung Haji dan lain-lain serta banyak lagi. Semuanya kita laksanakan meski kebanyakan media (tidak semua) tidak begitu adil dalam melaporkan hal-hal berkaitan aktiviti-aktiviti dan perjuangan PAS.

Secara kesimpulannya, pertemuan hari ini adalah pertemuan yang konstruktif dan membina. Semoga dengan pertemuan hari ini, Sdr Syed Saddiq mendapat gambaran yang lebih baik tentang PAS. Di akhir pertemuan, saya mengambil kesempatan mengajak Sdr Syed Saddiq untuk bersama-sama PAS. Harapan saya sekiranya beliau tidak bersama PAS sekalipun, semoga beliau tidak membenci PAS dan dapat terus bersangka baik dalam usaha PAS meski berbeza dari sudut pendekatan. Pada akhirnya kita mempunyai matlamat yang sama ingin membina Malaysia Sejahtera yang lebih baik. Menarik bila beliau menyebut bahawa pada pandangan beliau Pakatan Harapan tidak perlu bertanding di Kelantan kerana ia hanya akan memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada Umno-BN. Ini saya sangat bersetuju. Senyum.  šŸ˜Š

Di akhir pertemuan, DPPM menghadiahkan beberapa naskah buku tulisan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang selain beberapa edisi Akhbar Harakah sebagai cenderahati kenang-kenangan kepada Sdr Syed Saddiq. Selepas pertemuan, beliau menghantar mesej WhatsApp kepada saya: “Terima kasih Tuan kerana sudi meluangkan masa. In shaa Allah kita boleh bergerak bersama pada masa hadapan untuk negara tercinta”. Dan saya balas: “Alhamdulillah, thanks brother in Islam. Seronok dapat berdiskusi dan bertukar-tukar pandangan. PAS and I are committed in building a better Malaysia. In shaa Allah.”

Ayuh fastabiqul khairat (berlumba-lumba membuat kebajikan). Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

[Nota: Sdr Syed Saddiq adalah graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu alma mater saya juga. Kami sama-sama produk Taman Ilmu dan Budi, jadi ianya pertemuan senior dan junior. Antara kenangan saya di UIA ialah pernah memimpin sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Students’ Representative Council (SRC) sesi 2003/2004. Namun kelebihan Sdr Syed Saddiq ialah beliau berjaya merangkul gelaran Pendebat Terbaik Asia, sedang saya hanya pernah bertanding dalam Debat Piala Ketua Menteri Sarawak suatu masa dahulu.  šŸ˜Š ☺ Sekadar perkongsian juga, antara kenangan manis saya ialah pernah dianugerahkan tempat kedua The Asian Most Outstanding Youth pada tahun 2007. Syukur Alhamdulillah.  šŸ‘ šŸ’š]

#IslamRahmatUntukSemua
#UntukmuMalaysia
#MalaysiaSejahtera
#SayaSokongPAS
#BudayaPolitikMatangDanSejahtera
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan
FB: Muhtar Suhaili As-Sarawaki.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo