NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Jika Azmin tumbang, siapa Menteri Besar baru?

Zulaikha Zulkifli | Diterbitkan 30 Apr 2018, 8:34 malam | Dikemaskini 30 Apr 2018, 8:55 malam




Daripada seorang akauntan, kini Salwa Yunus menggalas tugas yang besar iaitu menjadi calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa. Pada pilihan raya umum ke-14 kali ini, Salwa bukan sahaja berdepan dengan Datuk Seri Azmin Ali- sebuah nama yang tidak asing di DUN berkenaan- tetapi beliau menghadapi pertandingan lima penjuru.

Selain BN dan PKR, DUN Bukit Antarabangsa berdepan dengan calon PAS Sharifah Haslizah Syed Ariffin, Ahmad Kamarudin (PRM) dan seorang selebriti kontroversi yang juga adik kepada Azmin, Azwan Ali yang bertanding sebagai calon bebas.

Bagi seorang yang pertama kali menjadi calon, tugas Salwa tidak mudah.




Namun, bagi ibu kepada dua orang cahaya mata ini, beliau menganggap segala perkara telah ditentukan Allah dan akan terus berjuang.

"Bagi saya apa jua cabaran yang datang, kita akan laksanakan. Bila Allah kata kat situ, maka dekat situlah.

"Saya jenis yang apa sahaja tugasan diberi, insha-Allah saya akan laksanakan. Kalau dari awal saya tak mampu, saya akan tarik handbreak tapi yang ini (menjadi calon) tidak," katanya ketika diwawancara Malaysiakini.

Meskipun akan berdepan dengan empat lagi calon lain di DUN berkenaan namun bagi Salwa perkara itu tidak menggerunkannya.

Biar pengundi nilai

Disebalik perwatakannya yang lemah lembut, Salwa turut bertegas bahawa beliau merupakan seorang pejuang dan bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kita dah dididik menjadi pejuang, tak kisah siapa lawan saya. Saya anggap mereka manusia, saya juga manusia. Itu semua di tangan tuhan, saya tak kata saya lebih baik dari dia, tapi biar pengundi menilai sendiri.

"Biar mereka pilih. Kalau rakyat dah pilih saya, kita akan berkhidmat," katanya lagi.

Pada PRU-14, DUN Bukit Antarabangsa mempunyai sebanyak 46,537 pengundi berbanding pada 2013 iaitu 34,467.

Berbeza semasa pilihan raya umum ke-13, pilihan raya kali ini turut menyaksikan tebaran penduduk berdasarkan kaum di DUN berkenaan sama banyak bagi kaum Melayu dan Cina iaitu masing-masing 46 peratus manakala hanya enam peratus untuk kaum India dan satu peratus lagi lain-lain kaum.

Azmin telah menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal sejak 2008.

DUN Bukit Antarabangsa terletak di bawah Parlimen Ampang bersama dengan DUN Lembah Jaya.

Parlimen Ampang dan kedua-dua DUN itu 'bertukar' tangan sejak berlakunya tsunami Melayu pada pilihan raya umum ke-12 dan kekal menjadi milik pakatan Pakatan Rakyat atau kini dikenali sebagai Pakatan Harapan.


Sementara itu, Salwa, 43, yang turut memiliki firma akauntan sendiri memberitahu, beliau mula berjinak dalam dunia politik pada tahun 2000 ketika Puteri Umno ditubuhkan.

Menceritakan lagi mengenai penglibatan politiknya, Salwa berkata beliau bukan individu yang sering ke hadapan sebaliknya beliau sering melakukan kerja-kerja di belakang tabir.

Bagaimanapun, untuk menjadi calon kali ini, beliau mendapat sokongan daripada suami, keluarga serta anggota Umno bahagian Ampang yang memberi kepercayaan kepada dirinya untuk mewakili BN.

"Saya bukan kerja di lapangan. Saya banyak uruskan kerja-kerja data. Saya selalu di belakang tabir.

"Jadi untuk jadi calon ini, adalah sebab kepercayaan, kepercayaan orang lain terhadap saya.

Fikirkan masa depan 

"Ramai kata ini rezeki saya, jadi saya ambil," kata Salwa yang mendapat pendidikan sehingga Sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Sehubungan itu, sebelum mengakhiri wawancara, calon BN itu sempat memberitahu kepada semua pengundi agar menilai sesuatu perkara sebaik-baiknya. Ini kerana, menurutnya segala perkara yang dilakukan akan memberi kesan terhadap masa depan generasi akan datang.

"Pengundi-pengundi semua, sebaiknya nilaikan sesuatu perkara sebaik-baiknya.

"Kadang-kadang apa yang diviralkan, info-info itu tak dikaji sebaiknya. Kita kena fikir sebab kita ini orang Islam.

"Nilaikan dan fikirkanlah untuk masa depan anak-anak kita," kata Salwa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo