NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: UMNO sudah ditolak, PAS makin diterima, PH disokong Cina



oleh: Syahir Sulaiman


“Katakanlah, wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan, Sesungguhnya Engkau Maha berkuasa atas segala sesuatu” (Ali Imran: 26) 



Pemerhatian awal terhadap keputusan pengundian dan pola sokongan rakyat dalam PRU14 menunjukkan beberapa indikasi awal seperti berikut:

1. Sokongan kepada UMNO merosot - Undi yang diterima UMNO merosot di kawasan tradisi BN termasuk di kerusi Felda dan negeri kubu kuat UMNO seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan; pengundi muda jelas menolak UMNO/BN (tsunami anak muda); penolakan pengundi Cina terhadap UMNO memberi tempias kekalahan teruk parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC yang kecundang di semua kerusi parlimen yang ditandingi.




2. Sokongan kepada PAS melonjak di negeri utara dan pantai timur (Tsunami Melayu) - PAS berjaya mengekalkan kerajaan negeri Kelantan dan dikurniakan kemenangan besar di Terengganu. PAS mendapat lonjakan undi di Kedah dan Pahang, tetapi merosot teruk di Selangor dan negeri selatan semenanjung.

Ternyata, undi Melayu telah beralih daripada UMNO kepada PAS di kawasan majoriti Melayu, disokong oleh segmen pengundi muda dan pengundi luar, termasuk berlaku lonjakan sokongan PAS di kerusi Felda yang menjadi bukti kejayaan BPMS. Namun fitnah dan persepsi ‘PAS terima duit UMNO’ dan ‘PAS akan bergabung dengan UMNO’ sangat kuat dan tidak berjaya dipatahkan sehingga membentuk penolakan di kalangan Melayu bandar terhadap PAS (dianggarkan >20%), mengakibatkan PAS tidak memperolehi kemenangan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan negeri selatan semenanjung, yang sangat kuat penolakan terhadap UMNO.

3. PH disokong Cina dan Melayu bandar – Penolakan pengundi Cina terhadap UMNO/BN adalah bersifat total (>95%), mengakibatkan MIC dan MCA kalah teruk di semua kerusi yang ditandingi. Tsunami Cina kekal di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor, serta turut membadai di negeri selatan semenanjung sehingga PH berjaya membentuk kerajaan baru di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. 

Secara kasar, dianggarkan Ahli Parlimen beragama bukan-Islam di kalangan Pakatan berjumlah 59 orang daripada 113 kerusi Parlimen yang dimenangi (52%), menjadikan Pakatan didominasi Ahli Parlimen bukan beragama Islam.

4. Kesukaran membentuk kerajaan Persekutuan dan Negeri - Proses pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri, di samping perlantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar akan menjadi sangat rumit bagi pihak Istana, untuk mempertimbangkan suara majoriti rakyat dan aspek ketuanan Melayu dan kedaulatan agama Islam. 

Semua pihak diseru agar bertenang serta mematuhi segala undang-undang dan menjaga keamanan dalam negara, namun kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan (expect the unexpected) dalam kerangka demokrasi berperlembagaan, khususnya proses perundingan di antara pihak BN dan PH untuk membentuk kerajaan.

5. PAS berpolitik secara matang sejak Merdeka – PAS mempunyai rekod menang dan kalah dalam pilihanraya sejak PRU pertama hingga PRU ke-14. PAS mempunyai rekod pernah bersendirian, berpengalaman membentuk kerajaan negeri, menjadi pembangkang di Parlimen dan DUN serta pernah membentuk kerajaan bersama pihak lain. Rekod menunjukkan PAS sentiasa menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat mengikut saluran demokrasi yang dibenarkan.

Keputusan PRU14 menyerlahkan kekuatan PAS yang tersendiri dan meletakkan PAS sebagai tonggak utama untuk menjaga ketuanan Melayu dan kedaulatan agama Islam dalam negara. Di samping itu, PRU14 bakal membuka dimensi baru kepada PAS untuk menjadi teras survival politik Melayu-Islam, di samping menjadi wadah alternatif kepada kelompok pertengahan di kalangan penjawat awam, NGO, tokoh masyarakat dan anak muda, seterusnya memberi nafas baru kepada PAS untuk melangkah menuju PRU15 dengan penuh bersedia, di mana PRU15 kelak bakal dicorakkan oleh pola pengundian Melayu dan anak muda yang menilai prestasi dan sikap sebenar Pakatan terhadap negara, bangsa dan agama.

Bersama kita doakan yang terbaik untuk Malaysia.

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi Pemuda PAS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo