NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: Presiden MCA, MIC, Gerakan kecundang


Perkembangan mengejutkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan tiga pemimpin utama parti komponen Barisan Nasional (BN) kecundang di kawasan parlimen masing-masing.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam gagal mempertahankan gawangnya di Parlimen Segamat, kerusi yang disandang beliau sejak 2004, kepada calon PKR Datuk Seri R Santhara Kumar dengan majoriti 5,476 undi.

Dalam pertembungan tiga penjuru itu, Dr Subramaniam memperoleh 18,584 undi berbanding 24,060 undi yang diraih Santhara manakala calon PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil hilang wang pertaruhan setelah hanya memperoleh 2,676 undi.

Dr Subramaniam adalah presiden MIC kedua yang kalah dalam PRU selepas Tun S Samy Vellu tewas di Parlimen Sungai Siput kepada calon Parti Sosialis Malaysia Michael Jeyakumar Devaraj, yang bertanding atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008.

Seperti yang dijangkakan, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong tewas di Parlimen Teluk Intan kepada calon PKR yang juga pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dengan majoriti 11,179 undi.

Pada pertembungan tiga penjuru itu, Mah memperoleh 17,991 undi berbanding 29,170 undi oleh Nga dan calon PAS Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud yang menerima 6,494 undi.

Seperti Dr Subramaniam, Mah juga menjadi presiden Gerakan kedua yang kalah dalam pilihan raya umum selepas Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tewas di Parlimen Batu Kawan kepada calon DAP pada PRU12.

Mah sebelum ini memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 selepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Turut kecundang pada saingan PRU14 ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong, kawasan yang diwakilinya selama empat penggal, dengan majoriti 2,032 undi.

Liow, yang memperoleh 23,684 undi, ditewaskan Wong Tack dari PKR (25,716) manakala calon PAS N Balasubramaniam mendapat menerima 5,706 undi.

Dengan kekalahan itu, Liow melakar sejarah sebagai presiden MCA pertama yang tewas dalam pilihan raya umum.

PRU14 juga menyaksikan kejutan besar apabila beberapa figura utama BN ditumbangkan termasuk bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kalah di kerusi DUN Permas kepada Che Zakaria Mohd Salleh (PKR) dengan majoriti 8,746 undi.

Beliau juga tewas di Parlimen Pasir Gudang kepada calon PKR Hassan Abdul Karim dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 24,726 undi.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad turut gagal mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru apabila kalah dengan majoriti 19,782 undi kepada calon PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau memperoleh 30,270 undi manakala Akmal meraih 50,052 undi.

Shahrir, 69, menjadi anggota Parlimen Johor Bahru selama enam penggal sejak 1978.

Turut mengalami nasib yang sama ialah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga bendahari Umno dan ketua Umno bahagian Kota Belud.

Salleh ditewaskan Isnaraissah Munirah Majilis daripada Parti Warisan Sabah. Salleh mendapat 19,167 undi berbanding Isnaraissah yang memperoleh 23,429 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Ali Rustam sekali lagi gagal merampas kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya selepas ditewaskan penyandangnya Shamsul Iskandarnya dengan majoriti 8,640 undi.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua personaliti juga gagal mempertahankan kerusi masing-masing untuk BN.

Bagi kerusi Titiwangsa, bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Ghani ditewaskan Rina Mohd Harun daripada PKR, yang memperoleh 23,840 undi, dengan majoriti 4,139 undi.

Johari mendapat 19,701 undi manakala calon PAS Mohamad Noor Mohamad menerima 6,845 undi.


Tan Sri Zulhasnan Rafique, yang mendapat 20,099 undi, pula dikalahkan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR) dengan majoriti 14,372 di Parlimen Setiawangsa.

Nik Nazmi memperoleh 34,471 undi manakala calon PAS Ubaid Abdul Akla mendapat 6,282 undi.

Zulhasnan merupakan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sebelum beliau meletakkan jawatannya untuk bertanding pada PRU14 ini.

- Bernama





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo