NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: PH Buntu Di Kedah

0
 
Pakatan Harapan (PH) perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 19 sokongan majoriti ADUN sekiranya mahu membentuk kerajaan negeri baharu.

PRU14: Pakatan Harapan Buntu Di Kedah


ALOR SETAR 10 Mei - Kerajaan negeri baharu hanya dapat dibentuk sekiranya mendapat kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila tiada kemenangan majoriti mudah seperti berlaku di Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam.


Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata dalam situasi di Kedah, Pakatan Harapan (PH) perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 19 sokongan majoriti ADUN sekiranya mahu membentuk kerajaan negeri baharu.



"(Kalau tidak cukup) PH perlu mencari majoriti itu dengan cara bertanyakan kepada BN (Barisan Nasional) ataupun BN ingin kekal sendiri tidak mahu sokong sesiapa pun boleh, maka akan jadi tiada majoriti sekali gus DUN akan tergantung.


"PH tidak dapat menubuhkan kerajaan negeri Kedah yang baharu selagi tidak memperoleh 19 sokongan majoriti mudah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Sehubungan itu, Shamrahayu berkata kerajaan campuran gabungan antara PH dengan Pas adalah langkah penyelesaian terbaik untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu di Kedah setakat ini.

"PH dan Pas boleh berunding sesama kalangan ahli Dewan Undangan Negeri mereka untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Menteri Besar serta barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah nanti.


"Satu lagi kemungkinan Pas dan BN bergabung misalnya, tetapi masih tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri yang baharu disebabkan jumlah kerusi seri iaitu 18-18 yang sekali gus tetap menjadikan DUN tergantung," katanya.


Beliau berkata Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah hanya boleh melantik Menteri Besar Kedah sekali gus memperkenan kerajaan negeri baharu dibentuk apabila yakin salah seorang ADUN ada kepercayaan majoriti. 


Beliau berkata ini berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah iaitu mengikut Perkara 37 (2) (a) yang menyatakan Raja Pemerintah hendaklah mengangkat Menteri Besar bagi mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan seorang Ahli Dewan Negeri yang baginda fikir dipercayai oleh majoriti Ahli-ahli Dewan Negeri.


PH yang bertanding menggunakan logo PKR itu memenangi 18 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi semalam manakala PAS memenangi 15 kerusi DUN dan BN hanya tiga kerusi.


Namun, kerajaan negeri yang baharu di Kedah masih tidak dapat dibentuk kerana majoriti mudah bagi negeri ini adalah 19 kerusi DUN. - BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo