NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: Pemimpin kecundang tak lemahkan PAS


WAWANCARA | Pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang berakhir baru-baru ini menyaksikan beberapa tokoh penting PAS kecundang sama ada di peringkat dewan undangan negeri (DUN) atau parlimen.

Namun, bagi Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ia bukanlah 'kematian' kepada kepimpinan parti Islam itu.

Bahkan, Ahmad Samsuri menegaskan kalah atau menang dalam sesuatu pilihan raya bagi PAS adalah adat yang diterima sebagai asam garam yang dilalui mereka sejak pilihan raya umum (PRU) 1955.

"Semua calon PAS menyertai pilihan raya dengan jiwa yang besar.

"Bukan nak kata kami tak kisah kalau kalah, tetapi kami mahu menang.

"Cuma jika tidak menang, ia bukan satu masalah dan kita tidak mati atau parti dibubarkan seperti ada sesetengah parti yang dormant (tidak aktif) dan tidak dapat berfungsi dalam pilihan raya seterusnya," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Rusila, Marang, Terengganu baru-baru ini.

PRU ke-14 yang berakhir 9 Mei lalu menyaksikan tujuh tokoh penting PAS kecundang di peringkat pusat dalam pertembungan dengan BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Antaranya Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang kalah di Arau, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad (Pandan Indah), AJK Pusat PAS Mokhtar Senik (Padang Besar), Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Johari Mat (Tanah Merah), AJK Dewan Pemuda PAS Riduan Mohamad Nor (Besut), seorang lagi naib presiden, Idris Ahmad (Bukit Gantang), dan Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan (Indera Mahkota).



Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang kini dilantik sebagai menteri besar Terengganu selepas PAS berjaya menawan negeri itu berkata pendekatan positif perlu diambil bagi mendepani keputusan pilihan raya.

"Menang atau kalah, kita teruskan kerja kita. Pergi tengok apa yang dibuat Iskandar, Idris dan Nasrudin.

"Walaupun mereka kalah hari ini, esok mereka akan turun seperti biasa seperti bertemu dengan rakyat dan pengundi.

"Lagi pun kita masuk pilihan raya ini pun kita tak tahu kita boleh menang atau kalah, kita ambil peluang dan kita menerima keputusan pilihan raya serta kita tidak ada masalah dari segi itu.

"Macam orang main bola, sebenarnya pada separuh masa pertama permainan bola pun belum tentu tahu boleh menang atau tidak tetapi dia harus mencuba dan sekurang-kurangnya kita mencubanya," katanya.



Tambah Ahmad Samsuri lagi, kekalahan tujuh tokoh PAS itu telah digantikan dengan kemenangan tokoh lain.

"Kita kalah di situ tetapi menang di tempat lain dengan tokoh-tokoh yang lain, dan mereka yang kalah tetap bersama dengan parti dan terus memberi khidmat.


"Itu yang membezakan PAS dengan parti yang lain, bila kalah di suatu tempat terus tinggal markas atau pejabat dan itu tidak berlaku dalam PAS," tambahnya.

PRU ke-14 menyaksikan kejayaan PAS merampas negeri Terengganu daripada BN setelah memenangi 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu daripada 32 keseluruhan kerusi berbanding 14 kerusi pada PRU13.

Parti itu juga turut berjaya mengekalkan penguasaannya di Kelantan selepas memperoleh 28 kerusi berbanding BN yang sebelum yakin menawan negeri itu dengan hanya memperoleh tujuh kerusi.

Manakala di Kedah, PAS memperoleh 15 kerusi kurang 4 kerusi sahaja untuk memperoleh majoriti mudah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo