NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Prospek Ekonomi - Pertumbuhan 2018 Pasca PRU14 (Siri 1)



Dalam tempoh kritikal ini, fokus perlu diberikan kepada pengupayaan segmen peniaga dan pengguna bagi menjamin kerancakan ekonomi negara, manakala kerajaan berperanan untuk menentukan dasar ekonomi dan percukaian yang mesra-pelabur dan mesra-rakyat.

oleh: Syahir Sulaiman
24 Mei 2018

1. Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar 5.0% - 5.5% pada tahun ini, berbanding pertumbuhan 5.9% pada tahun 2017.

2. KDNK Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.4% dalam tempoh Q1 2018 (BNM). Manakala pertumbuhan bagi tahun 2018 dijangka terus berkembang melebihi 5.0%, di samping jangkaan inflasi di paras 3.5% dan pengangguran pada kadar 3.4% (MIER).


3. Firma Maybank Investment mengekalkan unjuran pertumbuhan 2018 keseluruhan pada kadar 5.3%, tetapi mengubah unjuran sektor perkhidmatan, pembuatan, dan perbelanjaan kerajaan, mengambil kira kesan polisi ekonomi kerajaan PH bagi melaksanakan janji manifesto dan kemungkinan penangguhan beberapa projek mega yang telah diumumkan sebelum ini (MIB).

4. Melihat kepada perkembangan terbaru di peringkat domestik dan global, kita boleh menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus berkembang dengan mengambil kira faktor-faktor berikut:

a. Peningkatan perbelanjaan kepenggunaan – kesan daripada pengurangan kadar GST daripada 6% kepada 0% bermula 1 Jun 2018, pengenalan semula SST bagi menggantikan GST, penerusan subsidi harga minyak, penangguhan bayaran PTPTN, dan penyelarasan paras gaji minima.

b. Pengurangan hasil kerajaan – kesan daripada kehilangan kutipan GST bermula 1 Jun 2018 (anggaran pro-rata RM25.6 bilion), berbanding bajet kutipan GST setahun berjumlah RM43.8 bilion.

c. Peningkatan pendapatan sumber minyak – kesan daripada kenaikan harga minyak global sekitar USD69/barel berbanding anggaran Bajet 2018 pada harga USD52/barel.

d. Pengurangan perbelanjaan kerajaan – kesan pemotongan jumlah penjawat awam (anggaran pekerja kontrak 17,000) dan penjimatan kos pentadbiran daripada pengurangan jumlah kementerian dan penutupan beberapa agensi persekutuan seperti SPAD, MPN, PEMANDU, JPP, JASA dan MaGIC.

e. Penilaian semula projek mega – antaranya projek Bandar Malaysia, TRX, Pan Borneo, serta projek HSR, ECRL, MRT, LRT dan pelbagai lagi projek di peringkat kementerian yang bernilai bilion ringgit dan melibatkan hutang yang tinggi.

f. Perkembangan ekonomi global dan serantau – kesan daripada perubahan harga minyak global, dasar ekonomi dan pelaburan Amerika dan China, serta iklim geopolitik di Timur Tengah dan Asia Pasifik.

5. Dalam tempoh kritikal ini, fokus perlu diberikan kepada pengupayaan segmen peniaga dan pengguna bagi menjamin kerancakan ekonomi negara, manakala kerajaan berperanan untuk menentukan dasar ekonomi dan percukaian yang mesra-pelabur dan mesra-rakyat.

6. Semua pihak berperanan untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang dan kemakmurannya dikongsi dengan saksama.

Syahir Sulaiman adalah Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo