Pilihan Rakyat 50-50: Kenapa Kerajaan PH Tak Rai ? – Soal PAS Kedah




oleh: DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
23 Mei 2018

Kenapa Kerajaan PH Tak Rai Pilihan Rakyat 50-50? – Soal PAS Kedah

Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah Sebagai Panduan Bukannya Menunding Jari Kepada Pihak Lawan

1. PAS Kedah berpandangan masih terlalu awal bagi mana-mana pihak menjangkakan ketidaktentuan situasi politik hingga mengheret berlakunya Pilihanraya Negeri(PRN) seperti yang diutarakan oleh Menteri Besar Kedah.

2. Berikutan hal pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, ia bukanlah sesuatu yang kritikal tetapi memerlukan kebijaksanaan untuk menanganinya.

3. Bagi PAS siapapun yang dipilih oleh Dewan sebagai speaker, beliau tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan sebagai speaker dan perlulah bersikap berkecuali.

4. Pemegang jawatan speaker juga perlu mengendalikan mesyuarat dengan baik, mewujudkan suasana harmoni, mengurus soalan-soalan dewan serta membantu kedua-dua belah pihak menyampaikan hujah dengan bernas dan rasional. Hanya kerajaan yang lemah akan membuat kenyataan terpaksa bergantung kepada kuasa speaker yang tentunya akan dipastikan hanya memihak kepada kerajaan. Ini adalah amalan kerajaan lama yang rakyat tolak.

5. Dalam perkara ini, PAS Kedah berpendirian semua pihak mestilah menjadikan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah sebagai panduan untuk merungkai permasalahan berkenaan dan mencari jawapan tanpa menunding jari kepada pihak lawan kononnya tidak berusaha menyelesaikan masalah.

6. Pakatan Harapan sewajarnya menyedari bahawa masalah ini sebenarnya ada di pihak mereka yang mendakwa mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Isu pelantikan speaker dan perjalanan dewan adalah medan untuk buktikan bahawa mereka benar-benar memiliki sokongan majoriti ahli dewan untuk menubuhkan kerajaan.

7. PAS sebelum ini telah menawarkan penyelesaian melalui "kerajaan perpaduan tanpa pembangkang" untuk mengatasi kebuntuan, namun dipandang sepi malah ditolak oleh pihak Menteri Besar.

8. Sikap sedemikian jelas menunjukkan pihak Pakatan Harapan tidak bersedia meraikan pilihan rakyat yang memberikan kerusi 50-50 antara kerajaan dan pembangkang. Rundingan patutnya berlaku pada masa itu, bukan sudah terhantuk baru terngadah.

9. Oleh itu, dengan pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera(BPMS)yang diamalkan, maka PAS bersedia untuk menerima keputusan dalam hal perlantikan jawatan speaker di Dewan Undangan Negeri melalui sidang belah bagi jika hal ini menjadi satu kenyataan.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI adalah PESURUHJAYA PAS KEDAH

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget