NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertahan JAKIM untuk kepentingan umat Islam


ADA cadangan pihak tertentu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula dimansuhkan. Pelbagai pandangan dikemukakan termasuk mereka yang mahu mengambil kesempatan menjarakkan Islam dari negara pasca PRU ke-14. Kelompok pejuang kebebasan bersuara, LGBT, liberal, free thinker dan lain-lain cepat melompat atas kesempatan PH menerajui Malaysia dengan menyerang apa juga insititusi berkaitan agama Islam di negara ini.

Alasan mereka yang mendesak pembubaran Jakim kerana ia dilihat mencampuri urusan agama yang sepatutnya diletakkan di bawah raja Melayu dan majlis agama negeri, membazir dana negara dan menghabiskan duit kerajaan serta pelbagai pandangan lainnya. Mereka mendesak secara agresif supaya Jakim dibubarkan selaras dengan pengumuman pembubaran agensi lain kerajaan termasuk SPAD, JKKP, Jasa dan Majlis Professor Negara (MPN). Entah mengapa begitu cemburu dan marah segelintir pihak ini terhadap Jakim tidak pula diketahui walaupun bidang kuasa Jakim tidak mengganggu urusan kehidupan mereka seharian.

Jakim adalah institusi agama Islam dan dianggap oleh umat Islam sebagai agensi penting kerajaan. Ia ditubuhkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Jakim begitu signifikan terhadap umat Islam dan negara ini sebagai badan penasihat kepada pihak kerajaan dalam isu-isu agama, penggubal undang-undang Syariah untuk dijadikan model di peringkat negeri dan digunakan sepenuhnya oleh negeri. Selain itu, Jakim juga berperanan sebagai badan penyelaras di antara agensi-agensi agama dan yang paling utama adalah sebuah badan yang melaksanakan pensijilan halal di Malaysia.

Di sinilah menguji kekentalan prinsip Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan insitusi agama itu. Jakim ditubuhkan di bawah kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri dan dengan kedudukan sekarang ia menguji beliau sama ada masih bertegas mempertahankan kewujudan Jakim atau tunduk kepada tekanan segelintir pendesak. Rakyat sedang melihat ketegasan kerajaan PH mempertahankan institusi agama Islam sesuai dengan kedudukan agama Islam dalam perlembagaan Malaysia.

Dalam hal ini, tidak wajar bagi Tun Dr Mahathir mempertimbangkan desakan suara liar yang benci terhadap agama Islam dalam apa juga bentuk. Membubarkan Jakim akan merugikan umat Islam untuk jangka pendek dan jangka panjang. Sukar bagi agama Islam dipertahankan di negara ini jika satu dem satu desakan dan tekanan disuarakan bagi mengurangkan kuasa umat Islam. Jika kerajaan tunduk dengan desakan mereka, bererti kemenangan moral pertama terhadap agama Islam dan selepas ini banyak lagi desakan dan tekanan diberikan untuk mengurangkan kuasa agama Islam.

Di sebalik desakan mereka yang agresif menyerang agama Islam, kerajaan pula perlu mendengar desakan umat Islam agar peranan Jakim diperkasakan di negara ini. Selain dikekalkan, bidang kuasa Jakim mesti diperluaskan dan diselaraskan, kakitangannya mesti ditambah, dan skop tugasannya mesti kembangkan bagi memperkasakan peranannya. Jadikan Jakim sebagai agensi utama penghubung antara insititusi agama di negara ini dengan negeri-negeri agar syiar dan syariat Islam terus terpelihara. –

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo