NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlis:Pelantikan MB, mungkinkah ada sinar?




Sharilfuddin Saari

ISU pelantikan Menteri Besar Perlis yang dijangka selesai dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man semalam, nampak­nya belum ada tanda-tanda reda. Sebaik sahaja perlantikan Azlan diperkenan oleh Raja Perlis, Tuan­ku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu kemudian dipecat. Pemecatan beliau diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang akhbar khas di ibu negara.


Umum mengetahui, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah itu berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh walau seorang pun daripada sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) - tidak termasuk Azlan.


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN mendapat majo­riti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan merekodkan kemenangan 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beberapa veteran UMNO me­nyatakan bahawa pemecatan Az­lan itu tidak sah kerana perlu melalui Majlis Tertinggi UMNO yang mengkehendakinya bersidang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Ini bermakna sebarang keputusan pemecatan bukanlah terletak di tangan Shahidan.

Pandangan itu sekali gus membolehkan Azlan meneruskan tugas beliau sebagai Menteri Besar, apatah lagi pelantikannya itu diperkenan Tuanku Syed Sirajuddin yang berkuasa mutlak seperti mana tertakluk dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Namun, persoalannya, bagai­ma­­­nakah Azlan boleh meneruskan pentadbiran membentuk kerajaan negeri, memandangkan beliau ti­dak mendapat sokongan daripada mana-mana wakil rakyat?

Jika membentuk kerajaan perpaduan bersama pembangkang (tiga orang daripada PKR manakala Pas, dua orang) sekali pun, jumlah wakil rakyat yang diperlukan iaitu sekurang-kurangnya lapan orang masih tidak mencukupi.

Pada masa sama, sebuah kerajaan negeri perlu dibentuk segera dengan memanggil Persida­ngan DUN bagi melantik barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, demi meneruskan pentadbiran, pemba­ngunan dan kepentingan rak­yat secara keseluruhannya.

Menurut seorang peguam, se­kiranya pelantikan barisan ahli majlis mesyuarat itu gagal, undi tidak percaya perlu dilakukan dan Azlan perlu meletakkan ja­watan seterusnya memaklumkan perkara itu kepada Tuanku Syed Sirajuddin.

Perkara itu yang merupakan pilihan terakhir, adalah bertujuan bagi membolehkan satu pilihan raya diadakan sekali lagi untuk memilih wakil-wakil rakyat yang baharu.

Dalam hal ini, Shahidan telah menyatakan pendiriannya untuk menghadap Tuanku Syed Sirajuddin bersama kesemua wakil rakyat BN negeri itu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini, bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Besarlah harapan rakyat nege­ri ini agar isu tersebut dapat di­selesaikan dalam suasana harmoni sekali gus mampu menemukan jalan penyelesaian demi kebaikan Perlis.

Apa pun renungilah sedalam-dalamnya titah Tuanku Syed Sirajuddin yang diluahkan baginda secara berterus-terang semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah semalam.

Antaranya, baginda mahu ca­lon Menteri Besar itu mestilah benar-benar bebas daripada pe­ngaruh luar yang mengawal pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Sumpah menjaga kerahsiaan ini perlu dilafazkan seseorang Menteri Besar yang dilantik.

Dalam titah berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin turut menjelaskan mengapa baginda tidak melantik Datuk Ismail Kassim yang merupakan adik Shahidan sebagai Menteri Besar, adalah kerana bimbang individu itu akan menjadi boneka kepada pihak lain.

Malah kebimbangan itu ter­buk­ti dengan ketidakhadiran wa­kil-wakil rakyat BN di istiadat ber­kenaan yang dipercayai sebagai memboikot pelantikan Azlan.

Kesemua mereka dikatakan lebih patuh kepada Shahidan yang berada di ibu negara berbanding arahan parti di peringkat Pusat.

Difahamkan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiada masalah dan telah pun menye­rahkan kepada kebijaksanaan ba­ginda dalam isu tersebut. Perkara itu dicapai semasa Ahmad Zahid menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, baru-baru ini.

Dalam majlis istiadat itu juga baginda secara sinis bertitah, bahawa wakil-wakil rakyat negeri ini lebih mementingkan isu ­merebut jawatan Menteri Besar daripada memikirkan masa depan kerajaan negeri yang kini berada di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang.

Oleh itu, marilah kesemua pihak mengambil semangat Ra­madan ini supaya beralah dan menjadikan misi membangunkan negeri ini yang sudah tentu menjadi lebih sukar di bawah kerajaan pembangkang sebagai keutamaan dan bukannya soal pelantikan Menteri Besar.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo