NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlantikan Datuk Seri Shafie Apdal sah



oleh: Hamid Ismail

Secara ringkasnya, perlantikan Datuk Seri Shafie Apdal adalah sah berdasarkan hujah-hujah berikut :

1. Fasal 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa sekiranya seorang Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan, maka, dia hendaklah meletakkan jawatan ahli-ahli Kabinet, melainkan jika atas permintaannya Dewan Undangan dibubarkan oleh Yang di-Pertua Negeri. Dalam keadaan sekarang, Warisan telah mempunyai lebih ahli Dewan Undangan daripada BN selepas enam ahli Dewan Undangan BN bersetuju untuk menyokong gabungan Warisan. Oleh itu, berdasarkan fasal 7(1) tadi, Tan Sri Musa Aman sudah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan dan dia harus meletak jawatan ahli-ahli Kabinet (yang termasuk jawatannya sendiri).

2. Adakah kita mempunyai dua Ketua Menteri sekiranya TSMA tidak mahu meletak jawatan? Jawapannya tidak berdasarkan dua kes undang-undang iaitu Datuk (Datu) Amir Kahar bin Tun Datu Haji Mustapha v Tun Mohd Said Bin Keruak Yang Di-Pertua Negeri Sabah & Ors [1995] 1 MLJ 169 dan Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin v Dato' Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir (Attorney General, intervener) [2010] 2 MLJ 285. Di dalam kes Datuk Amir Kahar (supra), Mahkamah Tinggi di Sabah memutuskan, secara ringkasnya, bahawa fasal 7(1) memperuntukkan bahawa seorang ketua menteri harus meletak jawatan jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan ahli-ahli Dewan Undangan. Mahkamah berpendapat bahawa sekiranya seorang Ketua Menteri enggan atau tidak mahu meletak jawatan biarpun mengetahui bahawa dia telah kehilangan kepercayaan ahli-ahli Dewan Undangan, fakta yang tetap ialah Kabinet telah terbubar atas kehilangan kepercayaan terhadap beliau oleh majoriti ahli-ahli Dewan Undangan dan oleh itu, tidak perlu untuk Yang di-Pertua Negeri, sebagai langkah terakhir, membuang Ketua Menteri dan ahli-ahli Kabinetnya. Prinsip perundangan ini telah dipersetujui oleh Mahkamah Persekutuan di dalam Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin (supra).

3. Di dalam kes Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar (supra), Mahkamah Persekutuan memutuskan isu berkenaan fasal 16(6) Perlembagaan Negeri Perak yang mana peruntukan fasal tersebut adalah sama dengan peruntukan dalam fasal 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah. Persamaan ini membolehkan keputusan dalam kes tersebut terpakai dalam kes yang sedang berlaku di Sabah. Salah satu soalan perundangan dalam kes tersebut ialah jika seorang Menteri Besar enggan untuk meletakkan jawatan majlis eksekutif, adakah di bawah Undang-Undang Perlembagaan Perak, seorang Menteri Besar boleh dibuang daripada pejabat atau jawatan Menteri Besar tersebut dianggap kosong atau telah dikosongkan. Mahkamah Persekutuan menjawab soalan perundangan tersebut dengan memutuskan bahawa sekiranya seorang Menteri Besar enggan untuk meletakkan jawatan majlis eksekutif di bawah fasal 16(6), Menteri Besar tersebut dan ahli-ahli majlis eksekutif adalah dianggap telah mengosongkan pejabat masing-masing.

Berdasarkan hujah-hujah ini, Sabah hanya mempunyai seorang Ketua Menteri dan beliau ialah Datuk Seri Shafie Apdal.

Ini adalah pendapat peribadi saudara Hamid. Peguam-peguam lain mungkin mempunyai pendapat berbeza.

Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2048197398542690&id=600154826680295

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo