NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perak: MB baru sudah dilantik


KUALA KANGSAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang juga ADUN Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu, dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-12.

Pelantikan Pengerusi PPBM Perak berusia 48 tahun itu diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, lapor BH Online.

Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim, turut berkenan hadir.

Yang turut hadir, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Ahmad Faizal mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cator Avenue dan kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Kajian Perniagaan di Universiti Edith Cowan, Perth, Australia.

Beliau pernah menjadi Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Kedah dan sebelum itu pernah menjadi Pegawai Khas Menteri Kesihatan dan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Bertanding pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memenangi DUN Chenderiang dengan majoriti 39 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau juga memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 5,320 undi juga dalam pertembungan tiga penjuru.

Dalam PRU14, PH dipimpin Ahmad Faizal berjaya memenangi 29 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) yang memenangi 27 kerusi dan PAS (tiga kerusi).

PH berjaya membentuk kerajaan negeri Perak menerusi majoriti mudah 31 kerusi selepas dua ADUN BN menyertai pakatan berkenaan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo