Pengarah MAPAN letak jawatan




PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI PENGARAH MAPAN, UUM

Setelah berlalunya PRU 14 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan, saya, malah ahli keluarga dan sahabat handai saya, dihujani dengan pelbagai pertanyaan mengenai keadaan saya ekoran tularnya berita bahawa saya adalah termasuk di dalam senarai mereka yang akan dikenakan tindakan kerana terlalu bersikap kritikal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan. Begitu juga dengan suara-suara di UUM sendiri yang mula lantang mempersoalkan kedudukan saya ekoran sikap kritikal saya tersebut.

Bila akhbar Sinar Harian meminta dan menyiarkan, pada 10 Mei 2018, sesatunya komen saya selepas keputusan PRU 14 diumumkan, di bawah tajuk “PRU14 cermin kebencian rakyat terhadap Najib”, saya diperli pula oleh banyak pihak kerana kononnya membuat U-Turn.

Tidak saya nafikan walau ke mana pun saya pergi selalunya saya akan ditegur oleh mereka yang saya tidak kenali di atas sifat saya selaku “ahli akademik yang (kononnya) terkucil di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Wacana Sinar Harian pada 22 Mac 2018”.

Tidak saya nafikan imej kritikal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad itulah, yang ditambah pula dengan pelbagai tulisan saya yang kritikal terhadap Pakatan Harapan dalam Facebook saya, yang tertera dalam fikiran banyak pihak bila nama atau wajah saya timbul.

Seperti saya sebutkan sebelum ini, saya tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam membuat komen malah tidak bimbang pun dengan sebarang tindakan yang mungkin akan dikenakan ke atas saya oleh mana-mana pihak kerana rezeki adalah milik Allah.

Malah, untuk memudahkan urusan semua pihak, saya dengan sukarela mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), UUM, berkuatkuasa pada hari pertama pejabat dibuka selepas PRU 14, iaitu 14 Mei 2018.

Pada masa yang sama, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua warga UUM yang tidak selesa kerana beranggapan nama UUM dan nama mereka turut terjejas dengan tindakan saya yang kritikal terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan.

Perlu saya tegaskan bahawa kesemua tindakan saya tersebut, apatah lagi segala tulisan saya dalam Facebook saya, adalah dibuat di atas kapasiti peribadi saya dan tidak melibatkan mana-mana pihak di dalam UUM, khususnya Dekan GSGSG dan Naib Canselor UUM.

Di kesempatan ini juga saya ingin menafikan dakwaan bahawa saya selaku Pengarah MAPAN tidak pernah melakukan sebarang kaji selidik ke atas isu politik negara.

Selaku Pengarah MAPAN saya telah pernah menjadi ketua penyelidik kepada satu kaji selidik yang melibatkan responden dari seluruh negara bertajuk “Kajian Opinion Poll: Persepsi Masyarakat Terhadap Isu-Isu Semasa Nasional Dan Tempatan Di Malaysia”.

Berikut disertakan petikan laporan kaji selidik yang saya selaku ketua penyelidik sediakan:
“Dapatan terpenting kajian ialah hanya 23.1% responden yang puas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu 1MDB; 70.5% responden percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam isu 1MDB; 68.3% responden bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam isu 1MDB; serta hanya 26% responden yang puas hati dengan prestasi YAB Dato’ Sri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.”
“Tidak syak lagi, dapatan kajian ini bahawa hanya 23.1% sahaja responden yang puas hati dengan cara kerajaan menguruskan isu 1MDB mempunyai korelasi yang rapat dengan tahap kepopularan YAB Dato’ Sri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri yang tersangat rendah, iaitu 26% sahaja.”
“Rumusan terpenting daripada kajian ini adalah kajian ini menunjukkan bahawa kedudukan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dan kedudukan BN sebagai Kerajaan Persekutuan sememangnya berada di ambang bahaya jika langkah yang drastik bagi mengatasi isu 1MDB ini tidak segera dilaksanakan.”
“Dapatan kajian bahawa 70.5% responden percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz dalam isu 1MDB serta bahawa 68.3% responden bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh ketiga-tiga pemimpin ini dalam isu 1MDB bakal mendatangkan impak yang besar kepada kedudukan YAB Dato’ Sri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan kedudukan BN sebagai Kerajaan Persekutuan. Ini kerana ketiga-tiga pemimpin ini sekarang ini sudah tiada lagi dalam UMNO sebaliknya sudah bergabung tenaga di dalam sebuah parti baru bernama Parti Pribumi Perkasa Bersatu (PPBM) bagi menentang UMNO. Kepercayaan dan persetujuan mereka dengan ketiga-tiga pemimpin ini akan memungkinkan mereka mengundi PPBM di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun zahirnya jasad mereka mungkin masih dalam UMNO.”

Bagaimanapun, selepas kaji selidik ini tidak dapat dikongsikan dengan masyarakat umum serta dapatannya pula tidak diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan, memang benar bahawa saya selepas itu tidak lagi meneruskan membuat kaji selidik begini.

Saya juga ingin menafikan dakwaan bahawa saya adalah pencacai kepada Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan tidak pernah mengkritik beliau dan Barisan Nasional kerana saya kerap kali juga mengkritik beliau dan Barisan Nasional seperti di dalam contoh laporan berikut:

(1) “Die-hard BN supporters in Felda moving to PH, says political analyst”, 17 Ogos 2017, http://www.freemalaysiatoday.com/…/die-hard-bn-supporters-…/
(2) “Malabari remarks can backfire, academic tells Umno”, 8 Disember 2017, http://www.freemalaysiatoday.com/…/malabari-remarks-can-ba…/
(3) “Academic: ‘No-contest motion’ against Najib’s transformation claim”, 8 Disember 2017, http://www.freemalaysiatoday.com/…/academic-no-contest-mot…/
(4) “Does Najib fear doing badly in GE14?”, 10 Disember 2017, http://www.freemalaysiatoday.com/…/does-najib-fear-doing-b…/
(5) “Johor Umno on shaky ground, says UUM academic”, 2 Januari 2018, http://www.freemalaysiatoday.com/…/johor-umno-on-shaky-gro…/

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dekan GSGSG dan Naib Canselor UUM kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat selaku Pengarah MAPAN, UUM, selama ini dan maaf atas kekurangan yang berlaku yang berpunca daripada saya.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Ingin tanya sikit, ini tentang kalah menang dalam pilihanraya. Adakah jika PH atau PAS yang kalah maka BN akan mengambil tindakan undang2 menghukum apa jua isu yg dibawa oleh PH dan PAS?
Apabila BN kalah, mestikah PH menarek BN kemuka pengadilan atas apa jua perbuatan mereka atau hanya kes2 salahlaku dalam pentadbiran?
Saya bukan bodoh, hanya tidak tahu sop (tatakerja) kerajaan masa berkuasa dan apabila tidak berkuasa.
Terima kasih.

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget