NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

N.Sembilan: Peluang Cerah Untuk PAS

0

SEREMBAN – Ketika poster atau bahan kempen pilihan raya BN dan Pakatan Harapan (Harapan) di negeri ini disabotaj, tetapi masalah itu tidak pula berlaku kepada Pas.

Perkara itu diakui Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa yang menyifatkan suasana pilihan raya yang dilalui mereka kali ini lebih tenang berbanding dahulu.

“Setakat ini saya tidak dengar pula bendera kami dicabut atau poster diruntuhkan dan diconteng seperti yang berlaku kepada parti lain.

“Saya rasa pendekatan Pas yang mengamalkan politik secara matang dan sejahtera tanpa menimbulkan sebarang provokasi telah menjauhkan kita daripada ancaman.

"Kita juga amalkan sikap menerang bukan menyerang, jadi orang tiada sebab nak serang kita,”katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, keputusan Parti itu memilih untuk bersendirian juga boleh dianggap sebagai jalan penyelamat sekali gus terkeluar daripada jaringan permusuhan antara BN dan Harapan.

Ditanya berkenaan dengan kempen Pas yang dikatakan agak suram, Mohd Khairil Anuar yang juga calon Parlimen Rasah dan Dun Labu menafikan perkara itu.

Mengulas lanjut katanya, gerak kerja kempen mereka berjalan sama seperti parti lain, tetapi lebih menjurus kepada aktiviti turun padang berjumpa dengan pengundi.

“Maklum balas yang diterima daripada pengundi amat positif dan ada sebahagian mereka beritahu gembira kerana Pas tidak lagi bersama gabungan pembangkang, khususnya DAP.

“Jika dulu penolakan terhadap Pas disebabkan kita bekerjasama dengan DAP. Jadi mereka yang tidak suka dengan DAP terpaksa memilih BN kerana tidak ada pilihan menyebabkan sentimen kebencian itu turut terpalit kepada Pas.

"Berbeza pada PRU14, peluang untuk mereka memilih itu lebih jelas,”katanya.

Sementara itu ditanya tentang keyakinan Pas untuk menang lebih banyak kerusi dalam PRU14, beliau menyerahkannya kepada-Nya namun percaya peluang itu lebih cerah kali ini.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pas-selamat-pilihan-raya-kali-ini-1.829688

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo