NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen Batu: Ada tawaran supaya calon PAS lompat parti?


KUALA LUMPUR, 30 April -- Calon PAS bagi kerusi Parlimen Batu, Azhar Yahya menafikan dakwaan terdapat 'tawaran' kepadanya untuk melompat ke parti Amanah seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

Katanya, perkara itu tidak berasas sambil menyifatkan sesiapa yang menawarkan beliau untuk melompat parti sebagai 'budak baru nak up'.

"Saya nak tengok siapa yang bercita-cita mahu buat tawaran sebegitu (lompat parti). Parti ini tidak boleh dijual atau ditawar dengan sebarang harga sekalipun.

"Kita akan bawa 'mamat' yang menawarkan itu ke muka pengadilan kerana cuba menyogok dan merosakkan proses demokrasi. Sekali saya diterima sebagai calon PAS dan telah diberi watikah kepada saya serta saya telah berbaiah, tiada jalan ke belakang lagi," katanya yang ditemui Bernama di sini, hari ini.

Katanya, beliau telah bersama parti itu sejak 1995 dan diajar tentang usrah, sistem Islam dan amanah Allah yang menjadi pegangan anggota PAS.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kegagalan penyandang kerusi Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau dikenali dengan Tian Chua untuk mempertahankan kerusi itu selepas kertas pencalonananya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , Azhar mengucapkan 'takziah' kepada beliau.

"Saya cuma boleh ucapkan takziah kepada beliau atas perkara dan masalah yang dihadapi sehingga beliau tidak dapat bertanding bagi pilihan raya umum kali ini.

"Kita yang pernah jadi kawan (semasa PAS dalam Pakatan Rakyat) berharap ia dapat diselesaikan secara profesional mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan penglibatan telus pihak berautoriti yang terbabit seperti SPR dan mahkamah serta PDRM sesuai dengan bidang kuasa masing-masing," katanya.

Pada 9 Mei ini, Parlimen Batu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau (BN), Azhar Yahya (PAS) serta dua calon Bebas iaitu VM Panja mothy Muthusamy dan Prabakaran Parameswaran.

Permohonan Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR untuk bertanding di Parlimen Batu ditolak SPR ekoran sabitan satu kes mahkamah pada 2013.-- BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo