NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pahang: Siapa bakal MB?



KUANTAN: Sudah lima hari PRU14 melabuhkan tirai, namun pelantikan Menteri Besar bagi mengemudi negeri Tok Gajah masih belum dimuktamadkan.

Meskipun, BN berjaya mempertahankan kubu kuatnya apabila menangi 25 kerusi daripada 42 kerusi Dun, tetapi pelantikan pemimpin yang menerajui negeri ini masih menjadi tanda tanya.

Ini terjadi mungkin disebabkan pelbagai senario menarik susulan daripada beberapa perkembangan terkini dalam arena politik tanah air menyebabkan pemilihan Menteri Besar perlu diteliti dan diperhalusi sebaiknya.

Namun begitu, pemerhati politik meramal, kemungkinan Adun Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob akan mempertahankan kerusi berkenaan pada penggal buat kali ketiga, memandangkan beliau sudah berkhidmat sebagai Adun hampir 19 tahun.

Istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar dilakukan, kelmarin, bagaimanapun ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada Istana Pahang mengenali muka baharu yang memenangi kerusi Dun pada PRU14 lalu.

Penangguhan tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi daripada pemerhati politik yang mendakwa kemungkinan ada calon menteri besar baharu yang akan mengurus tadbir negeri ini.

Adnan diramal kekal, calon sesuai

Penganalisis Politik, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Che Hamdan Che Mohd Razali menjangkakan Adnan akan terus mengekalkan sebagai pemimpin nombor satu di negeri ini

Menurutnya, ini kerana Adnan mempunyai pengalaman luas semasa berada di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Kali ini Tun Mahathir sekali lagi menjadi pemimpin nombor satu negara, jadi saya dapat rasakan beliau (Adnan) mampu jadi orang pengantaraan dan menjalinkan hubungan baik di peringkat Kerajaan Pusat. 

"Saya yakin hubungan baik antara mereka berdua penting bagi memastikan kelancaran pembangunan di Pahang, malah Tun Mahathir adalah individu yang melantik Adnan sebagai Menteri Besar menggantikan Tun Khalil Yaakob pada 1999.

"Landskap politik kini berubah kerana Kerajaan Pusat ditadbir oleh Harapan bukan lagi BN. Jadi, pembawaan seorang Menteri Besar yang bukan datang daripada parti sama adalah penting. Agak sukar jika orang baharu dilantik dan tidak ada hubungan baik dengan Tun Mahathir.

"Kita tahu Adnan sebelum ini tidak pernah bercakap buruk mengenai Tun Mahathir dan turut menyatakan dirinya terhutang budi dengannya kerana melantik sebagai Menteri Besar pada 1999. Mungkin mudah baginya berurusan dengan Kerajaan Pusat dipimpin Harapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Adnan menang dengan majoriti 2,312 mengalahkan pencabarnya dari Calon PKR, Nor Haizan Abu Hassan (3,098) dan calon Pas, Zaharim Osman (1,817) pada PRU14.

Shafik Fauzan, Wan Rosdy antara calon sesuai

Che Hamdan berkata, sekiranya Adnan tidak lagi dilantik menjadi Menteri Besar, kemungkinan Adun Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan dan Adun Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipilih menggalas jawatan tersebut.

Namun begitu menurutnya, keputusan itu terpulang kepada pihak Istana dalam menentukan calon yang dirasakan sesuai selepas mendapat sokongan majoriti pemimpin Umno.

"Saya ramal dua pemimpin ini dari segi kredibiliti mereka menonjol berbanding Adun lain.. Nak kata yang terbaik saya tak kenal mereka, tetapi dari segi maklum balas semasa kerja di lapangan, dua individu ini yang disebut-sebut oleh pengundi di Pahang sekiranya jawatan Menteri Besar mahu ditukar," katanya.

Pada PRU14, Shafik Fauzan menang dengan majoriti 2,165 undi mengalahkan calon Pas, Dr. Wan Maseri Wan Mohd (3,403) dan calon PKR, Fakhrul Anuar Zulkawi (1,806) menyebabkan beliau mengekalkan kemenangan tiga penggal di kawasan terbabit.

Wan Rosdy pula menang meraih 5,858 undi dengan menyumbangkan tiga penyabarnya iaitu calon PKR, Abdul Rasid Mohamed Ali (1,298), calon Pas, Abdul Karim Nor (2,351) dan calon Bebas, Mat Nor Ayat (299).

Beliau secara rasmi menang di Dun Jelai dengan majoriti 3,507.

Ditanya adakah Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga Adun Lanchang mampu dipilih untuk menggalas jawatan itu, Che Hamdan berkata, kemungkinan Mohd Sharkar berminat, tetapi ia tidak mendapat sokongan majoriti dari Umno dan istana.

"Ini kerana Sharkar mempunyai konflik dalaman (internal conflict)," katanya.
Shafik Fauzan calon layak, mungkin ada formula pulihkan Umno

Seandainya, bukan Adnan yang dilantik sebagai Menteri Besar, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, Shafik Fauzan antara calon Adun yang paling layak dilantik bagi memegang jawatan itu.

Katanya, ini kerana Shafik Fauzan sudah tiga penggal berada di bawah Parlimen Kuantan yang dipayungi pembangkang, namun beliau mampu mempertahankan kerusinya itu menerusi formula mendekati rakyat secara terus yang dilakukan olehnya.

Menurutnya, malah majoriti yang diraih pada PRU kali ini juga berlaku pertambahan iaitu daripada 1,944 (PRU13) kepada 2,165.

"Saya yakin, jika Shafik Fauzan dilantik beliau mampu menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, malah beliau juga sudah ada perhubungan dengan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh selama tiga penggal bagi membolehkan segala peruntukan disalurkan kepada kerajaan Pahang.

"Jadi dalam konteks ini, saya rasakan Shafik Fauzan layak untuk mentadbir, selain Adnan. Tapi dalam masa sama Shafik Fauzan perlu menggunakan formula yang digunakan untuk menarik pengundi memberi sokongannya untuk memulihkan BN dan Umno," katanya.

Beliau menegaskan, Shafik Fauzan satu-satunya Adun di negeri ini yang dilihat berpotensi untuk menjadi Menteri Besar Pahang, disebabkan survival yang sudah hampir 10 tahun berada di bawah kekuasaan pembangkang iaitu PKR.

Dalam pada itu, Md Shukri berkata, hubungan baik beliau dengan ahli dan kepimpinan BN dan Umno juga membolehkan beliau mendapat sokongan majoriti mudah, di samping mendapat restu daripada pihak istana bagi jawatan tersebut.

"Saya juga berpendapat, Shafik Fauzan boleh mewujudkan hubungan yang dinamik dengan Tun Mahathir dan pasti ia akan memudahkan urusan membabitkan kerajaan negeri di peringkat Kerajaan Pusat.

"Malah, Shafik Fauzan juga boleh menjadikan Fuziah sebagai jambatan untuk tujuan memajukan negeri seperti sebelum ini," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo