NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Musa Aman bukan lagi KM Sabah - Istana Negeri

Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Abinan Asli hari ini menyampaikan surat pemberitahuan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman bukan lagi ketua menteri Sabah.

Ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu, Abinan berkata beliau menghantar surat itu melalui setiausaha sulit Musa, Effendy Mohamed Sunoh, pada pukul 11.34 pagi selepas gagal menyampaikan surat itu di kediaman peribadi Musa.

Beliau berkata pemberitahuan itu berkuat kuasa 12 Mei lalu.

Terdahulu, rombongan Istana Negeri diketuai Abinan tiba di kediaman peribadi Musa pukul 11.05 pagi dan menunggu kira-kira 20 minit di luar rumahnya untuk menyampaikan surat berkenaan, namun gagal.

Sejurus itu, rombongan berkenaan berjaya berjumpa dengan Effendy untuk menyampaikan surat itu.

"Saya tidak akan membuka surat ini. Saya hanya menerima dan akan disampaikan kepada yang berkenaan," katanya kepada Abinan selepas menandatangani borang penerimaan surat itu.


Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah pada 10 Mei malam setelah parti itu memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah bergabungan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang memperoleh dua kerusi.

Pada 12 Mei malam, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-15 di Istana Negeri di Kota Kinabalu dan sekali gus menggantikan kerajaan gabungan BN dan Star selepas hilang majoriti mudah.

Mohd Shafie dilantik Ketua Menteri selepas memperoleh majoriti mudah 35 kerusi yang dimenangi WARISAN bersama sekutunya dalam Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta enam ADUN daripada BN iaitu empat daripada Umno dan dua daripada Upko yang berpaling tadah kepada parti WARISAN.

- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo