NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Perlis selesai?


Isu pelantikan MB Perlis selesai, Azlan kekal?

ARAU 22 Mei - Isu pelantikan Menteri Besar akhirnya dipercayai selesai apabila Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan menyatakan persetujuan untuk mengekalkan Datuk Seri Azlan Man menjawat jawatan nombor satu negeri ini itu di Istana Arau, di sini hari ini.

Menurut sumber, Ahmad Zahid bersetuju berhubung pelantikan Azlan itu seperti mana diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin.

Katanya, sehubungan itu upacara mengangkat sumpah akan diadakan pada bila-bila masa.

Turut mengiringi Ahmad Zahid ialah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Walau bagaimanapun Ahmad Zahid yang ditemui wartawan di luar istana itu, enggan mengulas hasil pertemuan tersebut sebaliknya hanya melambai-lambaikan tangan dan mengucapkan terima kasih.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dan Hishammuddin dilihat memasuki perkarangan Istana Arau dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih pada pukul 11.20 pagi.

Tidak lama kemudian, Tuanku Syed Sirajuddin dilihat memasuki Istana Arau dengan menaiki kenderaan rasmi baginda pada pukul 11.55 pagi.

Pertemuan dianggarkan berlangsung selama satu jam dan 20 minit sebelum kedua-dua pemimpin parti tersebut kelihatan meninggalkan istana itu pada pukul 1.15 petang.

Ketika melalui melalui sekumpulan wartawan dan jurugambar yang sedia menunggu di luar Istana Arau sejak pukul 10 pagi, Ahmad Zahid hanya melambai-lambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kerana enggan menjawab soalan mengenai isu pelantikan Menteri Besar.

Kemelut pelantikan Menteri Besar yang sudah memasuki hari ke-13 pada hari ini, seakan-akan menyamai situasi serupa pada 2008 yang mengambil masa selama dua minggu sebelum kerusi nombor satu negeri itu dimuktamadkan.

Sehingga hari ini, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.

Persoalan timbul kerana Barisan Nasional (BN) telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya lalu.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya, Datuk Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Difahamkan, walau bagaimanapun perkara itu tidak diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin menyebabkan isu berkenaan berlarutan sehingga kini. - UTUSAN ONLINE




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo