NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Maaf saja tak cukup buat Memali, kata Dinsman pada Dr M

0


Maaf saja tak cukup buat Memali, kata budayawan pada Dr M

Selepas meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya, apakah sudah cukup untuk Tun Dr Mahathir menguruskan isu Memali?

Bagi seniman dan budayawan terkenal, Dinsman, jawabannya ialah tidak.

Kata penggiat teater serta penyair yang pernah menulis Puisi Panjang Untuk Mahathir lebih 40 tahun lalu, bekas perdana menteri itu mempunyai pilihan lain lagi.

Mengakui perbuatan meminta maaf adalah sesuatu yang baik Dinsman berkata ucapan sekadar kata-kata saja tidak memadai.

"Luka dan derita yang dialami oleh mangsa tragedi Memali sangatlah besar, dalam dan berbisa.

"Ia masih perlukan rawatan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tragedi Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada 19 November 1985 adalah insiden yang sangat sensitif di kalangan anggota serta penyokong PAS.

Ia melibatkan serbuan pasukan keselamatan ke atas petempatan penyokong parti itu, diketuai bekas pegawai Pusat Islam, Ibrahim Mahmud.

Jangan tuding-menuding

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ibrahim Libya - kerana pernah menuntut ilmu di Libya - enggan menyerah apabila mahu ditangkap polis.

Ketegangan itu berakhir dengan pertempuran dan menyebabkan kematian 18 orang. Antara korban itu ialah Ibrahim sendiri, selain empat anggota keselamatan.

PAS menganggap penduduk kampung yang terbunuh itu sebagai syahid.

Semalam Dr Mahathir menganggap mangsa tragedi itu sebagai "mati katak" dan bukannya syahid.

Hari ini bekas perdana menteri itu menyatakan permohonan maafnya dan mengakui terlanjur dalam berkata-kata.



Dr Mahathir juga secara konsisten mendakwa insiden itu tercetus akibat pengaruh ucapan dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April 1981. Ia kemudian dikenali sebagai Amanat Haji Hadi.

Kata Dinsman tidak perlu mana-mana pihak menyalahkan Abdul Hadi sebagai punca kejadian berdarah berkenaan walaupun ada hujah yang boleh dibuktikan.

Tindakan itu katanya hanya akan menyebabkan isu berkenaan tidak habis diperdebatkan.

"Masa telah lama berlalu. Banyak yang telah terjadi.

"Hakikatnya luka itu masih belum sembuh betul-betul lagi. Dan kini adalah waktu yg terbaik dan paling sesuai untuk Dr Mahathir membuat sesuatu bagi merawat luka atau kesan-kesan luka masih berbaki itu," katanya.


Baca Hadi: PAS tak pernah kafirkan Umno

Salah satu cara mengubati 'luka' itu kata Dinsman, menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu waris mangsa Memali, terutama dalam aspek pendidikan.

Yayasan itu juga kata Dinsman boleh mengambil tanggungjawab terhadap keperluan hidup penduduk Memali.

"Atau Dr Mahathir boleh mengumumkan dia mengambil kampung itu menjadi kampung angkatnya supaya dibantu menjadi sebuah petempatan maju dalam pelbagai bidang," katanya.


Sumber:
https://www.malaysiakini.com/hiburan/423122

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo