NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Bakar Madrasah Tahfiz - Hukuman Penjara Dua Bulan

0
pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Kanak-Kanak

Kes Bakar Madrasah Tahfiz - Hukuman Penjara Dua Bulan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan terhadap dua beradik yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut nyawa 23 penghuni termasuk dua wardennya atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Kanak-Kanak pada 28 November tahun lalu.


“Setelah menilai kesemua fakta, saya tidak berhasrat untuk mencampuri keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak kerana keputusan yang dibuat mengikut undang-undang dan fakta yang betul.

“Rayuan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang merit, oleh itu rayuan ditolak. Keputusan Mahkamah Majistret Kanak-Kanak dikekalkan,” katanya.

Pada  28 November 2017, Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap dua beradik itu yang kini berusia 17 dan 18 tahun selepas masing-masing mengaku bersalah memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan di tandas pejabat D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini kira-kira 11.35 pagi, 16 September 2017.

Mahkamah juga mengenakan bon RM5,000 setiap seorang tanpa cagaran selain diperintah melapor diri kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dua kali sebulan selama dua tahun dengan ditemani ibu mereka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang @ Mamat berhujah bahawa Mahkamah Majistret telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira cadangan laporan akhlak yang menyarankan kedua-dua remaja terbabit ditempatkan di Sekolah Pemulihan Akhlak Henry Gurney, Melaka.

Peguam S Preakas yang mewakili kedua-dua remaja pula berhujah bahawa alasan Mahkamah Majistret ketika menjatuhkan hukuman telah mengambil kira kesemua faktor termasuk kepentingan awam.

“Seorang daripada anak guam saya akan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala abangnya akan mengikuti kursus kulinari di Kolej Baitulmal tidak lama lagi.

“Saya yakin dua bulan penjara sudah mencukupi sebagai pengajaran kepada mereka,” katanya sambil menambah kedua-dua remaja lelaki itu kini sedang mengikuti program anjuran AADK. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/bakar-tahfiz-hukuman-dua-beradik-atas-tuduhan-dadah-kekal-1.834348

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo