NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johor: Tiga ADUN Umno umum sertai Bersatu



Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Johor mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga mereka adalah Rosleli Jahari (Johor Lama), Alwiyah Talib (Endau) dan Rasman Ithnain (Sedili).

Tindakan itu turut disertai kira-kira 40 anggota Umno lain di kawasan tersebut.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi, manakala 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, dan 38 kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga.

Rabu lalu, HARAPAN memenang 36 kerusi dengan DAP memperolehi 14, AMANAH 9, BERSATU 8 dan PKR 5.

Dengan perkembangan hari ini, HARAPAN kini mempunyai 39 kerusi - dan BERSATU 11 - sementara kerusi BN berkurangan menjadi 16 kerusi.

Rasman dalam sidang media secara bersama berkata keputusan itu dibuat dengan kerelaan hari tanpa ada gesaan, paksaan mahupun ugutan daripada mana-mana pihak.

"Kami buat ini untuk tujuan, tidak lain tidak bukan iaitu demi untuk perpaduan orang Melayu dan rakyat.

"Kami selaku wakil rakyat kena mengikut rentak dan corak yang rakyat hendak dan ini salah satu daripada langkah yang terbaik demi perpaduan dan yang penting untuk rakyat," katanya di Johor Bahru hari ini.

Rasman berkata walaupun sesetengah pihak mungkin mengganggap mereka mengkhianati pengundi, namun, pihaknya percaya pengundi di kawasan terlibat akan memahami tindakan diambil.

"Insya-Allah pengundi akan faham kerana pengundi menyokong kami kerana pengundi hendakkan perkhidmatan kami untuk kelangsungan kami menjalankan kerja.

Jika dalam waktu sekarang ini, macam (mana) kami hendak buat kerja? Apa yang saya boleh buat dengan rakyat? Hendak bantu rakyat macam mana?" soalnya. Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Setiausaha BERSATU Johor

Datuk Osman Sapian berkata pihaknya menerima baik keputusan ketiga-tiga ADUN berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, BERSATU akan membuat tapisan dahulu sebelum meluluskan penyertaan mereka.

"Hasrat murni, kita kena terima. Tentang tapisan, itu memanglah, bukan sahaja anggota datang daripada BN atau Umno atau yang bukan wakil rakyat.


"...kalau hendak masuk jadi anggota, kita akan tengok adakah beliau betul-betul hendak bersama dengan kita taat setia, kerana (kita) tidak mahu siapa-siapa yang dalam parti ini menganggap Pakatan Harapan sebagai parti seperti macam bila suka masuk, tidak suka keluar. Kita tak mahu," katanya.

Pada PRU14 yang baru sahaja selesai, Rasman yang merupakan penyandang kerusi Sedili sejak 2008 telah menewaskan calon PKR Abdul Razak Isa.

Alwiyah dan Rosleli pula merupakan muka baharu yang ditampilkan BN di kawasan yang ditandingi.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo