NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

JAKIM dapat KP baru....



KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

PELANTIKAN KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) YANG BAHARU

Sukacita saya ingin memaklumkan, bahawa tempoh kontrak perkhidmatan saya sebagai Ketua Pengarah JAKIM akan tamat pada 16 Mei 2018. Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah bersetuju dan meluluskan pelantikan YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM sebagai Ketua Pengarah JAKIM mulai 17 Mei 2018. Majlis Penyampaian Surat Perlantikan beliau sebagai Ketua Pengarah telah diadakan pada 7 Mei 2018 di Jabatan Perdana Menteri.

2. YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, 58 tahun, mendapat pendidikan awal dari Kolej Islam Klang, Selangor seterusnya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (B.A) Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1982 dan Sarjana Pengajian Islam (M.A) Tamadun Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2000. Beliau juga pernah mengikuti Leadership Programme di University Oxford, United Kingdom pada tahun 2013. Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 31 Januari 1984. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam melalui kariernya di pelbagai tempat dan bahagian sepanjang tempoh perkhidmatan. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM.

3. Dengan kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia, ditambah dengan integriti tinggi yang dimiliki, saya yakin dan percaya beliau mampu meneruskan visi dan misi JAKIM untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat di negara ini. Syabas dan tahniah saya ucapakan.

4. Dalam masa yang sama, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Pengarah JAKIM selama lebih tujuh tahun. Saya berdoa agar Kerajaan Malaysia khususnya perkhidmatan awam terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.

(TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA)
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

13 Mei 2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo