NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Indera Mahkota: Saifuddin vs Nasrudin


KUANTAN - Pentas PRU14 menyaksikan pertembungan sengit kerusi Parlimen P082 Indera Mahkota antara Datuk Dr Johan Mat Sah (BN), Datuk Saifuddin Abdullah (PKR) dan Nasrudin Hassan (PAS).

Walaupun pertembungan tiga penjuru, pemerhati politik melihat pentas pertandingan sebenar adalah antara PKR dengan Pas, manakala calon BN dikatakan tidak mampu memberi saingan kepada dua tokoh calon berkenaan.


Nasrudin dilihat sebagai seorang berpendidikan agama yang masih menjaga disiplin ilmunya. Manakala Saifuddin pula memiliki pendekatan berbeza berbanding kebanyakan pemimpin lain membabitkan isu memperkasakan generasi muda terutama mahasiswa.

Jika dinilai secara keseluruhan berdasarkan pemerhatian dan tinjauan pengundi di kawasan terbabit mendapati tanda-tanda awal kemenangan berpihak kepada Saifuddin.

Ini kerana, kawasan tersebut masih mempunyai aura daripada penyandang kawasan itu, Datuk Fauzi Abd Rahman (PKR) yang masih berpengaruh di parlimen tersebut dan sukar untuk tandingi pihak lawan, sama ada Pas atau BN.

Dalam hal ini, kelebihan untuk menang berpihak kepada Saifuddin kerana pengundi dan penyokong Fauzi akan memberi undi penuh kepadanya. Sementara Nasrudin belum pasti dapat penuh undi Pas kerana ada antara mereka dikatakan kecewa dengan kepimpinan pusat dilihat mesra kepada BN pada PRU kali ini.

Kemungkinan juga satu pertiga daripada jumlah pengundi Pas sebelum ini akan berpihak kepada Saifuddin atau ada antaranya mengambil sikap berkecuali, tidak keluar mengundi atau undi rosak.

Seandainya itu faktornya, Saifuddin akan mudah menewaskan Nasrudin, musuh tradisinya di Temerloh pada PRU13 tanpa perlu merasakan calon BN sebagai saingan.

Pada PRU13, Fauzi menang dengan majoriti 7,523 undi mengalahkan calon BN, Datuk Wan Adnan Wan Ahmad yang meraih 23,061 undi. Sementara calon Bebas, G Ponusamy hilang wang pertaruhan apabila hanya memperoleh 193 undi.

Melihat jumlah majoriti pada pilihan raya umum lalu, peluang untuk Saifuddin menang dikatakan cerah kerana jumlah undi diperoleh calon BN tidak dapat mengatasi jumlah undi dimenangi Fauzi lima tahun lalu itu.

Walaupun Nasrudin adalah calon tempatan di kawasan itu, namun pengundi mendakwa beliau sukar mendapat sokongan pengundi Cina di kawasan terbabit.

Tambahan pula, 60 peratus pengundi Melayu di kawasan itu akan berpecah dua iaitu mereka membuang undi untuk PKR dan Pas.

Justeru, untuk Pas dan BN menang, mereka memerlukan strategi yang baik untuk memastikan pengundi memberi sokongan kepada mereka pada PRU14.

Pengundi Cina beri kelebihan

Kesimpulan tersebut diakui Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib selaku penganalisa politik yang menyifatkan ramalan itu ada asasnya kerana pengaruh PKR menerusi kepimpinan dahulu masih ada.

Menurutnya, rekod terdahulu sudah membuktikan BN jauh ketinggalan ke belakang.

Malah calon mewakili parti terbesar itu kurang dikenali pengundi dan banyak isu di kawasan terbabit gagal diselesaikan kerajaan pemerintah.

“Dalam hal ini, saya lihat pertandingan sebenar antara PKR dan Pas. Itu antara tokoh yang mahu. Tapi dalam konteks ini saya lihat ada kelebihan pada Saifuddin.

“Saya kata begitu kerana adanya pengundi Cina di kawasan terbabit memberi nilai tambah untuk Saifuddin menang lebih cerah di kawasan berkenaan berbanding Nasrudin,” katanya kepada Sinar Harian,

Md. Shukri turut berpendapat, Nasrudin juga berdepan dengan kesukaran kerana undi Melayu berpecah dan sebahagian besar akan memilih PKR.

Jelasnya, kemungkinan juga Nasrudin mampu menarik undi daripada pengundi BN yang tidak menyokong calon terbabit, tetapi belum dapat membantu mengatasi Saifuddin.

“Tapi secara kasarnya saya tak boleh gembira dengan formula sengit ini. Tapi secara ramalan itu saya boleh tekankan berdasarkan pemerhatian saya terhadap dua tokoh hebat itu,” katanya. - SINAR HARIAN








No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo