NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN Perak waspada serangan pembangkang

SERI MANJUNG - BN Perak memandang serius pendedahan yang dibuat oleh bekas Penolong Penerbit UbahTV, Amran Ahmad mendakwa DAP mereka cipta puluhan video dan risalah memfitnah kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya tidak akan memandang ringan tentang perkara tersebut dan berwaspada terhadap penyebaran bahan-bahan berkenaan.

Menurutnya, perkara itu harus diberi perhatian terutama menjelang saat-saat akhir sebelum pilihan raya diadakan pada 9 Mei depan.

“Apa yang didedahkan ini adalah serius kerana orang yang bertanggungjawab dalam bidang penerbitan dari pihak sana yang mendedahkan perkara ini.

“Kita tidak tahu berapa jumlah video dan risalah namun ia satu perkara yang serius dan perlu diberi perhatian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Mobile Legend dan Play Station di Aeon Manjung, hari ini.

Zambry berkata, rakyat perlu menilai adakah video dan risalah yang dikatakan akan disebarkan itu adalah fitnah atau sebaliknya.

“Ini kita perlu maklum kepada rakyat kerana apabila menjelang saat-saat akhir, adanya langkah akhir dari mereka (pembangkang) dan ini bukan saya yang cakap tapi seseorang yang mendakwa dirinya sebagai penerbit dan bekerja dengan pihak berkenaan.

“Pada masa sekarang juga dengan lambakan video yang dikeluarkan, rakyat dapat buat penilaian kerana sudah pasti mereka akan tanya sama ada perkara itu betul atau tidak.

“Rakyat harus siapkan minda mereka kerana di saat-saat akhir pihak berkenaan akan cuba juga menjatuhkan kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Amran dalam satu laporan akhbar yang mendakwa DAP sanggup mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin BN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Amran, semua bahan propaganda dan berniat jahat itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei depan.

UbahTV adalah laman televisyen rasmi dalam talian parti DAP.

Sebelum itu, Zambry turut meluangkan masa beramah mesra bersama rakyat di Pusat Komuniti dan Karavan (Pakar) Manjung sebelum bergerak ke majlis sukan rakyat di Fasa 3C.

                       Zambry meluangkan masa melihat suasana perniagaan di Pakar Manjung, hari ini.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/bn-perak-waspada-serangan-pembangkang-1.830998

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo