NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bagaimana ketaksuban gagalkan wawasan 1Malaysia Najib

0
Rakyat merasakan mereka tidak bersatu walaupun ada inisiatif 1Malaysia.


Bagaimana ketaksuban gagalkan wawasan 1Malaysia Najib



PETALING JAYA: Kegagalan menangani pentaksub kaum yang diburukkan lagi dengan kelemahan pelaksanaan menyebabkan inisiatif 1Malaysia yang diperkenalkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berjaya, kata 2 aktivis.

Pengkritik sosial, Dr Chandra Muzaffar yang mengepalai Yayasan 1Malaysia yang mempromosikan inisiatif itu berkata, dasar berkaitan 1Malaysia seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah usaha baik untuk menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Semuanya adalah langkah sosio ekonomi dan sosio budaya yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Mengetengahkannya sebagai usaha 1Malaysia berguna kerana ia memberi mesej dasar itu tidak dipengaruhi pertimbangan etnik.”

Bagaimanapun katanya, inisiatif itu tidak mencapai kesan diingini.

“Rakyat merasakan mereka tidak bersatu walaupun ada inisiatif 1Malaysia. Masih ada ucapan perkauman dan rakyat bertindak berdasarkan kaum. Dari segi itu, pengkritik 1Malaysia adalah betul kerana perkara itu masih berterusan.”



Beliau berkata, Najib tidak tegas dalam menangani ucapan sedemikian dan mereka yang melakukannya.

“Jika anda tegas, tidak kira kelompok atau individu mana yang melakukannya, anda memberi mesej jelas kepada masyarakat dan saya dapati dalam masyarakat berbilang etnik dan agama, ketegasan itu sangat penting.”

Seorang lagi aktivis, Datuk Mujahid Yusof Rawa, bekas ahli Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN), bersetuju dengan Chandra.

Katanya, MPPN terpaksa dibubarkan kerana Najib tunduk kepada apa yang disifatkannya sebagai pelampau sayap kanan dan fanatik agama.

“Kumpulan pelampau sayap kanan akan kata Akta Keharmonian Nasional yang dicadangkan MPPN bertujuan menghapuskan hak orang Melayu.

“Sementara kelompok fanatik agama pula berkata akta itu menyokong golongan LGBT serta mempromosikan kebebasan beragama,” katanya kepada FMT.

Selepas MPPN dibubarkan, Mujahid cuba membawa beberapa idea daripada Akta Keharmonian Nasional ke Parlimen menggunakan kedudukannya sebagai wakil rakyat.

Beliau mengusulkan 3 rang undang-undang (RUU) persendirian di Parlimen, iaitu RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Suruhanjaya Keharmonian Nasional dan RUU Kesaksamaan, Oktober lalu.

Malangnya, beliau berkata, RUU itu tidak disenaraikan dalam agenda perbahasan Dewan Rakyat.

Beliau berharap cadangan itu akan dipertimbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita sudah ada pelan tindakannya, hanya perlu pelaksanaan.”

Sumber:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/19/bagaimana-ketaksuban-gagalkan-wawasan-1malaysia-najib/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo