NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu RUU Harmoni 2018: NGO bincang penjenamaan semula Akta IFC yang ditolak umat Islam



RESOLUSI BERHUBUNG CADANGAN PENGGUBALAN AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

1. Berikutan Sidang Meja Bulat yang telah berlangsung di antara pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung dalam Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pada 4 April 2018 di Putrajaya, UMMAH selaku pertubuhan payung yang mewakili lebih daripada 300 NGO di seluruh negara, telah bersepakat bagi menyokong segala usaha dan langkah untuk memperkukuh perpaduan dan memperkasa keharmonian nasional.



2. Namun demikian, setelah meneliti dokumen yang disediakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bertajuk “Scopes / Parameters for the Proposed National Harmony Bill”, sebagai draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional (“RUU Harmoni”), UMMAH telah bersepakat untuk menolak RUU Harmoni tersebut, kerana kandungannya bercanggah dengan semangat serta prinsip keharmonian yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, antara lainnya seperti berikut:-

(a) kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional yang hendak ditubuhkan menurut RUU Harmoni tersebut, terutamanya seksyen 12(2)(iii), seksyen 16 dan seksyen 21 RUU Harmoni tersebut, apabila dibaca secara bersesama, berpotensi untuk menceroboh hal-ehwal agama Islam di bawah bidangkuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu (dengan nasihat dan panduan oleh Mufti dan Majlis Agama Islam di Negeri-Negeri). Peruntukan-peruntukan tersebut, yang memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional untuk menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan ke atas sebarang isu atau konflik keagamaan (termasuk Islam), serta kemudiannya mengeluarkan perintah-perintah berbentuk larangan dan mandatori, adalah jelas bercanggah dengan pembahagian kuasa di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan;


[ads-post]

(b) dalam pada RUU Harmony tersebut menyenaraikan fungsi Suruhanjaya Keharmonian Nasional adalah bagi memperkasa ‘keharmonian’, ‘perpaduan’, ‘perdamaian’ dan ‘integrasi’, RUU tersebut walaubagaiamanpun tidak mentakrifkan istilah-istilah tersebut dengan jelas, sehingga berkemungkinan untuk ditakrifkan dengan pelbagai tafsiran yang mungkin tidak selaras dengan adat dan budaya tempatan;

(c) sungguhpun preamble RUU Harmoni tersebut menyebut bahawa tujuan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional adalah bagi mempromosikan keharmonian, perpaduan, persefahaman, integriti dan kesaksamaan, tetapi pendekatan yang diambil dalam RUU Harmoni tersebut dilihat bersifat terlalu simplistik dan menyentuh hanya di permukaan, tanpa mendalami inti semangat pembinaan negara-bangsa Malaysia yang sebenar. Kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional lebih berbentuk fire-fighting, iaitu memadamkan api apabila terdapat konflik, berbanding menerapkan suatu plan tindakan menyeluruh bagi tujuan membina perpaduan dan keharmonian yang sebenar dalam jangka panjang; dan

(d) seksyen 11 RUU Harmoni yang memberikan kekebalan kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional berserta ahli-ahlinya daripada sebarang tindakan Mahkamah, dilihat sebagai mengatasi prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Suruhanjaya Keharmonian Nasional tidak wajar diberikan kekebalan sehingga megatasi undang-undang sedia ada, seperti Akta Hasutan dan Perlembagaan Persekutuan.

3. Sebagai ganti kepada RUU Harmoni tersebut, UMMAH mengambil pendekatan bahawa istilah ‘keamanan dan kedamaian’ (peace and harmony) adalah istilah yang temaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru dalam usaha untuk memperkukuh perpaduan dan menjamin keharmonian, tafsiran keperlembagaan selaku undang-undang tertinggi negara tidak sepatutnya dilupakan. Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes The Herald (Kalimah Allah), telah memutuskan bahawa ungkapan “in peace and harmony” dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah bermaksud bagi memelihara kesucian agama Islam. Memetik penghakiman Mahkamah Rayuan tersebut:-

“[T]he purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam.”

4. Seterusnya, UMMAH juga berpandukan kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 1982 dalam kes Merdeka University Berhad v Kerajaan Malaysia [1982] 2 MLJ 243, di mana Mahkamah telah menyatakan bahawa teras kepada perpaduan nasional di Malaysia hendaklah berasaskan kepada penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seperti yag diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bagi menyatukan rakyat berbilang agama, kaum dan bahasa di negara ni.

5. Selain daripada itu, sejarah lampau juga perlu dihayati bagi memastikan kita tidak kehilangan arah dalam mengemudi bahtera negara-bangsa bagi menongkah peredaran zaman. Seyogia Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, yang dirangka berikutan tragedi pergeseran kaum 1969, adalah dokumen yang perlu dihayati dan tidak seharusnya dilupakan. Prinsipnya yang bersifat inklusif terhadap “unsur-unsur kebudayaan lain … sebagai sesuatu yang dinamik … [termasuk] budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain” tanpa mencairkan teras kebudayaan rakyat asal rantau ini, berasaskan “kebudayaan Melayu … dan Islam sebagai elemen penting,” bagi tujuan “memperkukuh perpaduan bangsa dan negara” sepatutnya dijadikan dokumen utama dalam memperkatakan tentang perpaduan dan keharmonian.

6. Justeru, UMMAH bersepakat dan sebulat suara seperti berikut:-

(a) menyokong semua usaha dan langkah-langkah bagi memperkukuh perpaduan kebangsaan dan memperkasa keharmonian nasional yang berteraskan kepada prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan;

(b) menolak cadangan penggubalan Akta Keharmonian Nasional oleh kerajaan, kerana bercanggah dengan Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, di samping gagal mendalami isu perpaduan kebangsaan berasaskan acuan yang digariskan Perlembagaan Persekutuan;

(c) menuntut kerajaan agar menghidup dan menguat-kuasakan semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, sebagai plan tindakan perpaduan nasional;

(d) menuntut kerajaaan memastikan pematuhan terhadap peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan berkenaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor, TERUTAMANYA dalam sektor PENDIDIKAN dan PERUNDANGAN; dan

(e) menuntut kerajaan melaksanakan langkah bagi memastikan bahawa bahasa perantara utama bagi semua sekolah tanpa mengira aliran hendaklah bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.

HAJI AMINUDDIN YAHAYA
Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela UMMAH (UMMAH)
4 April 2018









https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=163421520989051&id=136651590332711

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo