NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tanpa BN Tanpa PH: Gagasan Sejahtera bersedia memerintah


Oleh: Marwan Shukrimun
30 Rejab 1439/15 April 2018

Ada juga yang keliru apabila PAS menyatakan sasaran minima 40 kerusi parlimen dalam PRU14 ini. Mereka menganggap usaha memilih PAS hanya sia-sia kerana nanti PAS tidak bercita-cita untuk memerintah. Lebih parah, ada yang menuduh PAS merancang untuk mencukupkan kerusi BN bagi membolehkan mereka terus berkuasa.


40 KERUSI MINIMA, MAKSIMUM CECAH 160 KERUSI!


Sangkaan dan tuduhan ini amat liar sekali. Hakikatnya, 40 kerusi adalah sasaran minima PAS untuk merealisasikan misi manifesto dan visi WINS2051. Apabila disebut minima, maka jumlah maksimum mesti jauh lebih besar daripada itu.

Lihatlah berapa kerusi minimum yang PAS umumkan. Minimum 130 kerusi! Melihat kepada laporan semasa 195 kawasan PAS seluruh Malaysia, kemungkinan PAS bersama Gagasan Sejahtera boleh bertanding mencecah lebih 160 kerusi!




PRU14, PERTAMA KALI PAS BERTANDING JUMLAH KERUSI SEBESAR INI


Tahukah kita, sejak penubuhan PAS, inilah kali pertama bertanding melebihi jumlah kerusi majoriti mudah parlimen. 160 kerusi itu jika dibanding dengan jumlah kerusi ditandingi pada PRU13, sudah lebih tiga kali ganda!

Ini semua bermakna PAS jauh lebih bersedia untuk memerintah berbanding PRU-PRU yang lepas.


KELENGKAPAN PAS PASCA PRU14


Lihatlah persediaan PAS pasca-pilihanraya. PAS sudah memiliki model pemerintahan lengkap jangka masa panjang sehingga tahun 2051 yang dikenali sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Dilancarkan pada program Fastaqim 2.0 tahun lepas di Terengganu. Ini bagi memberi alternatif selain TN50 yang masih kabur dan Wawasan 2020 yang hampir berkubur.

Lebih awal sebelum itu, PAS meluncurkan Dokumen Hijau siri pertama yang menerangkan solusi permasalahan ekonomi semasa. Ia melibatkan cadangan alternatif kepada GST, serta penyelesaian kepada kejatuhan matawang ringgit, tekanan kos sara hidup dan harga rumah yang mahal.

Menjelang pilihanraya, PAS mengekstrak beberapa cadangan perlaksanaan yang terkandung di dalam WINS2051 lalu mengeluarkan manifesto awal yang memiliki 9 teras beserta 20 tawaran utama. Dari semasa ke semasa, PAS akan mengumumkan beberapa lagi tawaran manifesto mengikut kelas kelompok masyarakat.


KERAJAAN TEKNOKRAT SEBAGAI MEDIUM


PAS turut mengusulkan satu bentuk kerajaan baharu dikenali sebagai kerajaan teknokrat. Konsepnya biar pakar yang mentadbir negara. Orang politik hanya memantau tanpa mengongkong.

PAS sudah mengenalpasti calon-calon teknokrat itu. Ada mereka yang bersama PAS tetapi masih menjadi pegawai kerajaan. Ada pegawai-pegawai yang dikenali cemerlang berkhidmat untuk negara di peringkat administratif, tetapi banyak tidak lepas dek orang politik yang mementingkan diri melebihi pencapaian negara dan nasib rakyat. Kesemua mereka akan diberi peluang bebas mentadbir, tanpa campurtangan seperti yang ada hari ini.

Bahkan, PAS tidak akan memecat atau mengambil tindakan kepada pegawai kerajaan yang tidak sehaluan dari sudut politik kepartian, kerana PAS percaya ia adalah jaminan demokrasi. Asalkan mereka profesional dan tidak bias dalam melaksanakan tugas nanti.

Cukuplah WINS2051, Dokumen Hijau dan manifesto bagi menggambarkan PAS sarat dengan golongan teknokrat. Merekalah yang selama ini berhempas pulas membangunkan dokumen-dokumen tersebut. Membuktikan juga PAS tidak pernah ketandusan profesionalisme selepas pemimpin lama keluar pasca muktamar 2015.


PAS SUDAH BERPENGALAMAN MENTADBIR


PAS tidak terikat dengan mana-mana manifesto BN mahupun PH. PAS memiliki visi tersendiri bagaimana untuk memacu negara ke arah kesejahteraan. Pengalaman PAS mentadbir Terengganu, Kelantan dan Kedah serta pernah bersama kerajaan Perak, Selangor dan Pulau Pinang cukup untuk memantangkan PAS mengenai asam garam pemerintahan. Lebih dari itu, PAS sudah berpengalaman menjadi sebahagian dari kerajaan semasa bersama perikatan awal 70an dahulu.


PAS TETAP LAKSANA MANIFESTO WALAU TIDAK MENDOMINASI KERAJAAN


Apa yang menarik, PAS berbeza dengan BN dan PH dari sudut komitmen untuk terus melaksanakan segala tawaran manifesto walaupun ditakdirkan tidak membentuk kerajaan secara sendirian. Cuma syaratnya PAS perlu jumlah kerusi yang signifikan untuk berperanan sebagai king-maker, sebagai kuasa tawar menawar supaya kerajaan yang bakal terbentuk terikat untuk melaksanakan manifesto tersebut.

PH dan BN pula, usah kata mahu melaksanakan sekiranya menang sahaja, lepas menang pun belum tentu akan buat. Sejarah menunjukkan mereka pernah memungkiri janji manifesto, sebagai contohnya PH di Pulau Pinang, berjanji menghapuskan tol bila menang pada PRU13. BN juga berjanji menurunkan harga kereta PRU13. Tapi lihat apa mereka buat selepas menang.


SIAPA BAKAL PAS BERSAMA


Soal dengan siapa PAS akan bekerjasama sekiranya menjadi king-maker tidak patut dipersoalkan buat masa ini. Siapa sahaja yang boleh terima syarat dan mahu memberi laluan PAS melaksanakan manifesto, mereka layak untuk bersama. Tidak kira BN, tidak kira PH, tidak kira parti-parti kecil lain sekalipun.

Setakat ini memang masih belum jelas siapa mahu akur dengan syarat yang PAS letakkan. Tetapi lihatlah selepas PRU14 nanti apabila PAS menawarkan kuasa kepada mereka yang sanggup bersama. Pasti akan ada politikus yang bersikap oportunis.

Semua andaian boleh dibuat. Boleh jadi BN, boleh jadi PH. Boleh jadi kedua-duanya akan berpecah kerana ada sebahagian komponen gabungan mahu menerima dan sebahagian menolak.

Di dalam manifesto Gagasan jelas menyebut komitmen untuk PAS memartabatkan Islam terutama usaha meluluskan RUU355. Isu RUU355 bukan semua pemimpin dalam BN dan PH menolak, dan bukan semua menerima. Walhasil, tawaran bersama PAS pasca PRU boleh membawa kepada PH dan BN berpecah-belah.

Kalau kedua-duanya mahu bersama PAS sekaligus, apa salahnya! Kita bentuk kerajaan tanpa pembangkang. Biar pembahagian kuasa ditentukan berdasarkan kekuatan masing-masing. proportional representation.


MAHATHIR BOLEH BAWA MP PH MASUK BN


Mungkin juga timbul andaian selepas ini; boleh jadi BN dan PH akan bergabung. Boleh jadi Mahathir bawa orang-orangnya kembali kepada BN bagi mencukupkan kerusi mereka. Ya. Tak pelik. Semua boleh jadi dan PAS telah bersedia untuk senario tersebut.

Ia mungkin situasi yang agak merugikan buat PAS, tetapi yakinlah ia bakal membuatkan majoriti pengundi BN dan PH marah kepada mereka, dan ia bakal memberi pulangan terbaik untuk PAS menghadapi PRU15.


130 KERUSI DIPERTARUHKAN, BUKAN SETAKAT 40.


Sebelum akhir, perlu diulang sekali lagi, PRU14 ini PAS sudah cukup bersedia untuk memerintah sendirian. King-Maker hanya salah satu senario yang diandaikan. PAS optimis dengan kemampuan yang ada. Jika diizinkan, insyaAllah.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo