NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seng Giaw beri mesej tersirat kepada pengundi selepas digugurkan DAP



Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw berkata desas-desus beliau digugurkan daripada senarai calon DAP sudah lama tersebar.

PETALING JAYA: Dr Tan Seng Giaw yang mempertahankan kerusi Parlimen Kepong untuk DAP sejak 1982, hari ini mengelak mengulas keputusan parti itu tidak menurunkannya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau sebaliknya memberi nasihat tersirat kepada pengundi.

“Tun Dr Mahathir Mohamad kata beliau mampu memenangi semua undi untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tetapi, sebelum kotak undi dibuka, kita tidak tahu siapa akan menang.

“Nasihat saya kepada pengundi, buatlah pilihan bijak,” katanya kepada FMT.

Tan berkata, beliau tidak terkejut dengan pengumuman DAP semalam kerana desas-desus mengenai penggugurannya sudah lama tersebar.

“Tetapi, rakyat hanya tahu sebahagian daripada cerita. Perkara yang berlaku dalam parti, ramai yang tidak tahu. Hanya orang berkaitan sahaja tahu.”

Ahli Parlimen selama 8 penggal itu dikatakan tidak disenangi pimpinan DAP susulan kritikannya terhadap kerajaan Pulau Pinang mengabaikan isu alam sekitar dalam meluluskan projek pembangunan.

Persengketaan itu diketahui umum apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Jun lalu mendedahkan Tan tidak dapat dihubungi pimpinan parti itu sejak awal 2017.

Difahamkan, Tan hanya dicalonkan di Kepong pada saat-saat akhir PRU13, di mana wakil rakyat berusia 76 tahun itu berjaya meraih majoriti terbesar, iaitu 40,307 undi di kerusi majoriti pengundi Cina itu, sejak kemenangan pertamanya pada 1982.

Tan berkata, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat di pusat khidmatnya di Kepong.

“Saya tidak berubah. Saya akan terus membantu rakyat jika mereka memerlukan bantuan saya.”

DAP semalam mengumumkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng akan bertanding di Kepong pada PRU14.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo