NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Isu calon PKR selesai?


Oleh Razali Abdullah

Kemelut pemilihan calon PKR di Selangor selesai? Apakah hasil pertemuan Datuk Seri Azmin Ali dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan media berhasil untuk memenuhi syarat kehendak Azmin dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Adakah sudah dirundingkan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan persetujuan dicapai untuk mengumumkan calon Selangor?

Sekiranya selesai, ini bermakna Azmin berjaya dengan calon kehendaknya dan sekiranya tidak – penerimaan pasti tidak menyeluruh dan presiden PKR mengambil langkah cepat mengumumkan calon supaya tidak dapat disangkal lagi.

Tidak kira apa hasilnya, pasti timbul rasa tidak puas hati di kalangan penyokong masing-masing.

Ada yang mengatakan kemelut pencalonan itu sebenarnya tidak wujud. Yang wujud adalah untuk Azmin menentukan tempat selamat bagi dirinya agar kemenangannya dapat menjamin kedudukannya sebagai menteri besar.

Ini termasuk kedua-dua tempat yang ditandingi Azmin, iaitu Parlimen Gombak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Sungguhpun diuar-uarkan Azmin masih mahu bertanding dan tidak akan lari dari tempat tersebut, namun hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah beliau pasti menghadapi kesukaran tanpa sokongan PAS dan penambahan pengundi di Gombak.

PAS sudah menjangkakan Azmin akan tewas di Gombak kerana penyokong PAS tidak lagi memihak kepada PKR dan Azmin.

PRU12 dan PRU13 menyaksikan sokongan PAS kepada Azmin, sungguhpun majoriti undi 2 PRU itu merosot.
Melihat kepada statistik PRU11, PAS mendapat 26,663 undi daripada 92,225 pengundi ketika itu – bayangkan sekiranya undi tersebut tidak lagi diperolehi Azmin.

Majoriti diraih Azmin di Gombak melebihi 6,000 undi pada PRU12 dan berkurangan kepada lebih 4,000 pada 2013.

Begitu juga di DUN Bukit Antarabangsa. Sekiranya sokongan PAS tidak lagi memihak kepadanya dengan pertambahan 4,900 pengundi, melihatkan majoriti diperolehi Azmin sebanyak 4,044 undi pada PRU13 – kedudukannya amat ampuh.

Adakah benar kemelut dalam pemilihan calon di Selangor disebabkan kedudukan Azmin semakin parah dan beliau mahukan tempat selamat untuk dirinya atau sudah wujud percaturan untuk menghalang beliau daripada memenangi kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Adakah politik dalam PKR bertambah teruk sehingga sanggup mengorbankan kerusi semata-mata mahu mencantas Azmin daripada menjadi menteri besar Selangor atau kemungkinan menghalang beliau daripada bertindak di peringat pusat juga.

Apapun, semuanya dalam selimut PKR. Semua belum tersebar luas dan belum ada apa-apa tanda Azmin benar-benar menerima keputusan calon yang mewakili PKR untuk PRU14. Tiada juga tanda-tanda pergeseran antara Rafizi Ramli dan Azmin pulih seketika semata-mata PRU14.

Bagaimanapun, mulai hari ini – media sosial dipenuhi serangan baru terhadap Rafizi yang dikatakan hanya mahu menyempurnakan agenda Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menguntungkan PKR.

Ini baru membicarakan Selangor, belum lagi negeri lain. Pergeseran juga dilaporkan berlaku membabitkan timbalan presiden PKR, Azmin yang mahu mengatur penyokong beliau sebagai calon.

Semakin teruk cara PKR berpolitik – semakin terserlah matlamat mereka yang hanya mahukan jawatan dan kuasa. Mereka dilihat lebih mengutamakan politik daripada perjuangan lebih besar untuk rakyat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo