NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya yang terima sumbangan bina Pasti'



PARIT BUNTAR - Pengerusi Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen, Fakhrurrazi Khalid mendedahkan dirinya adalah individu menerima sumbangan cek kerajaan negeri bernilai RM25,000 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sebagaimana ditularkan media sosial sebelum ini.

Pendedahan itu dibuat bagi menafikan dakwaan calon Harapan Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kononnya duit itu disalurkan Abdul Puhat melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri(SSI) ke dalam akaun peribadinya sebagai tindakan membeli undi orang Pas.


Dakwaan itu dikemukakan Mujahid susulan nama Abdul Puhat ketika ini sedang diuar-uarkan sebagai bakal calon BN bagi Parlimen itu, manakala Fakhrurrazi dianggap sebagai salah seorang pemimpin Pas.

Fakhrurrazi berkata, isu pendedahan cek kerajaan negeri itu sebenarnya disalah tafsir Mujahid kerana duit itu diterima pihaknya adalah daripada kerajaan negeri, bukan Umno atau BN.

Menurutnya, Mujahid perlu memahami perbezaan di antara duit sumbangan kerajaan negeri dengan duit Umno memandangkan dalam gambar cek ditularkan sebelum ini, nama SSI jelas terpapar di dalamnya.

"Saya hairan bagaimana Mujahid boleh andaikan saya terima duit BN? Saya ada bukti surat permohonan rasmi yang menggunakan kepala surat Pasti sendiri, malah surat jawapan diterima daripada Abdul Puhat adalah berdasarkan urusan kerajaan negeri.

"Lagipun jika dia hendak tuduh Abdul Puhat beri sumbangan atas kapasiti sebagai bakal calon BN (Parlimen Parit Buntar), sehingga kini nama dia masih belum diumumkan,"katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di pejabat pengurusan Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen, di sini hari ini.

Fakhrurrazi berkata, ramai tidak mengetahui Abdul Puhat sudah mengenali dirinya sejak 38 tahun lalu, sewaktu pemimpin kerajaan negeri itu belum berkecimpung dalam dunia politik.

Menurutnya, Abdul Puhat mula dikenalinya sewaktu hadir memohon pekerjaan di Institut Iqbal, Bandar Baharu selepas dia tamat pengajian universiti sekitar tahun 1980an.

"Ketika itu saya bertugas sebagai pendaftar dan pengetua dan institut itu memang memerlukan tenaga pengajar.

"Jadi beliau (Abdul Puhat) diterima sebagai tenaga pengajar dan sanggup bekerja meskipun tidak diberi gaji dan sekadar diberikan saguhati semata-mata," katanya.

Fakhrurrazi turut mendedahkan dia masih berhubung dengan Abdul Puhat atas urusan kerja sewaktu pemimpin itu menyertai perkhidmatan awam kerajaan.

Hanya apabila Abdul Puhat dilantik sebagai pegawai daerah Kerian sekitar tahun 2000an, Fakhrurrazi memutuskan untuk tidak berjumpa kerana tidak mahu motif pertemuan dijadikan isu politik pihak tertentu.

"Dalam isu ini, saya bukan hendak mengambil kesempatan ke atas pengaruh Abdul Puhat, namun permohonan dana sumbangan dibuat demi kepentingan pendidikan Islam di sini.

"Lagipun Pasti diwujudkan bukan untuk kemudahan anak-anak ahli Pas sahaja, malah anak-anak ibubapa berlainan fahaman politik juga ramai menerima manfaat," katanya.

Mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri kerana cek kerajaan negeri ditulis atas nama peribadi, Fakhrurrazi menegaskan SSI terpaksa menggunakan akaun peribadinya bagi tujuan menyalur sumbangan dana atas masalah teknikal.

Menurutnya, sumbangan dana kerajaan negeri atas akaun Tabung Pembangunan Pasti tidak dapat direalisasikan memandangkan permohonan Jawatankuasa Pembangunan Pasti untuk menubuhkan akaun di sebuah bank tempatan tidak diluluskan.

"Memandangkan kami amat memerlukan segera dana kewangan bagi melancarkan pembangunan Pasti, maka SSI bersetuju menyalurkan dana ke dalam akaun peribadi saya, dengan syarat ianya dikepilkan berserta surat permohonan dana diluluskan.

"Lagipun, sementara menunggu permohonan baru penubuhan akaun khas kutipan dana pembangunan Pasti diluluskan, sehingga kini kami masih menggunakan akaun peribadi saya bersama sebuah lagi akaun bersama bagi tujuan mengumpul derma," katanya.

Fakhrurrazi turut mendedahkan dia tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam Pas kawasan Parit Buntar sejak tiga tahun lalu dan kini menumpukan sepenuh usaha dan masa bagi menjayakan pengurusan Pasti berkenaan.

Menurutnya, berkat usaha murni semua pihak terlibat, bangunan Pasti Pra Tahfiz Al-Mujahideen berjaya dibangunkan sebagai bangunan Pasti terbesar di Perak dengan nilai keseluruhan aset hampir RM1 juta.

"Saya sudah tidak terlibat dengan pentadbiran parti dan duit sumbangan Abdul Puhat melalui kerajaan negeri adalah semata-mata atas kepentingan pendidikan dan pembangunan Islam di Parit Buntar,

"Apa dibuat Abdul Puhat adalah menjurus kepada memperkasakan Islam, bukan alasan untuk UG (kerajaan perpaduan) dengan Umno, lagipun apa jawatan beliau dalam Umno?" katanya.

Fakhrurrazi turut mendedahkan isu pendedahan cek RM25,000 itu sebenarnya membawa hikmah apabila lebih ramai individu menyalurkan derma setelah bertanya terus isu itu kepadanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Pembangunan Pasti juga membuktikan ketelusan pengurusan dana sumbangan apabila berjaya mengumpulkan RM250,000 daripada kos keseluruhan pembinaan bangunan bernilai RM420,000.

"Lebih membanggakan, bangunan Pasti itu berjaya disiapkan dalam tempoh lima bulan sahaja selain mula beroperasi dengan jumlah permulaan 30 pelajar sejak awal tahun ini.

"Kita masih memerlukan tambahan sumbangan dana sebanyak RM170,000 dan berharap lebih ramai pihak prihatin dapat terus menderma demi kepentingan pendidikan Islam,"katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/saya-yang-terima-sumbangan-bina-pasti-1.825193

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo