Saya tidak akan berundur - Dr Tan Seng Giaw


“Saya tidak akan berundur,” kata Dr Tan Seng Giaw, 75, anggota Parlimen Kepong sejak 1982 apabila ditanya sama ada beliau akan terus mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tan, anggota DAP sejak 1979, berkata beliau tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya selama lapan penggal itu.

"Saya tidak akan berundur, Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat ketika berusia 75 tahun, tambahan pula Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang berusia 92 tahun masih lagi menjadi penasihat Pakatan Harapan,” kata pakar kulit itu kepada Bernama.

Dr Tan yang akan menyambut ulang tahun ke-76 pada 24 Mei ini berkata: "Ada pihak yang menyatakan usia saya sebegini sudah terlantar di hospital, patut berehat di rumah, tidak perlu lagi peduli sama hal-hal politik, cukuplah dengan lapan penggal, bersaralah, kata mereka kepada saya.

"Namun, pedulikanlah apa mereka cakap terhadap saya. Nak cakap saya tua ke, saya masih lagi kuat dan berupaya untuk membantu rakyat. Rakyat masih lagi mahu berjumpa saya untuk mendapatkan khidmat saya sebagai wakil rakyat dan mereka masih lagi percayakan saya," katanya menepis dakwaan yang beliau antara yang akan digugurkan oleh DAP bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Pengerusi DAP Selangor selama lima tahun pada 1982 hingga 1987 itu, bagaimanapun berkata: “ Terpulanglah kepada pimpinan parti (DAP), apakah mahu pilih saya bertanding lagi atau tidak.

"Saya masih bekerja seperti biasa dan masih berminat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepong,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang mula melibatkan diri dalam politik pada usia 34 tahun dengan menyertai Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas) pada 1976.

Beliau pertama kali bertanding pada pilihan raya umum (PRU) 1978 bagi kerusi Parlimen Kepong atas tiket Pekemas, namun kalah dalam pertandingan empat penjuru. Tan Tiong Hong daripada parti Gerakan menang pada PRU itu dengan majoriti 2,228 undi.

Dr Tan, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang pernah berkhidmat sebagai pakar perubatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 1971 hingga 1972, berkata pada PRU ke-13 yang lepas beliau mengalami keadaan yang sama.

Kononnya nama beliau akan digugurkan daripada bertanding, tetapi akhirnya beliau tetap diberi mandat oleh partinya untuk mempertahankan kerusi parlimen Kepong.

Dr Tan mempertahankan kerusi parlimennya dengan undi majoriti sebanyak 40,307, dengan mengalahkan dua pencabarnya, iaitu Chandrakumanan Arumugam daripada PPP dan calon bebas Yee Poh Ping.

"Kita tidak boleh mengagak apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, cumanya pada masa sekarang saya masih mampu lagi untuk meneruskan perjuangan saya di kawasan Parlimen Kepong," katanya.

Dr Tan berkata beliau sentiasa berpegang kepada prinsip 'berani kerana benar', dan "sebagai wakil rakyat ataupun pemimpin, apa jua kenyataan yang diutarakan perlu disokong dengan bukti dan bukan sekadar cakap sahaja.

"Saya sentiasa bercakap atas dasar kebenaran. Apa yang dilontarkan saya akan memastikan ia berfakta dan berbukti, bukannya menghentam dengan membuta tuli ataupun semata-mata bagi kepentingan diri," katanya.

Beliau berkata dengan prinsip-prinsip tersebutlah beliau sentiasa mendapat sokongan dan kepercayaan daripada pengundi di kawasannya.

- Bernama
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget