NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

#RUU355 : Adakah sudah tamat riwayatnya?



Oleh: Syed Ahmad Fadhli
5 April 2018 

PADA tepat jam 1.00 petang tadi, Dewan Rakyat telah melabuhkan tirainya. Ini adalah mesyuarat terakhir sebelum Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang ke-14. 

2. Pasti ramai yang tertanya-tanya dengan nasib RUU 355. 

Mengapa ia kelihatan tergantung tanpa kata pemutus? 

Adakah ia sudah menemui titik noktah penghujung? 

Selepas selesai sesi soal jawab lisan pada jam 12.00 tengah hari tadi, YB Dato' Takiyuddin Hassan yang merupakan Ketua Whip Parlimen PAS bangun meminta penjelasan daripada Tan Sri Speaker berkenaan hal RUU 355. 

3. YB Kota Bharu mengimbau kembali tarikh bersejarah 06 April 2017 iaitu Dewan telah memberi keizinan kepada YB Marang membentangkan Rang Undang-Undang Ahli Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai RUU 355. 

RUU 355 sudah dibentang oleh YB Marang dan disokong oleh YB Kota Bharu, namun perbahasannya masih belum bermula sehingga sekarang. 

4. Antara 3 persoalan yang dibangkit oleh YB Kota Bharu ialah; 

a) Siapakah yang mempunyai kuasa memberi keizinan dan budibicara bagi memulakan perbahasan RUU 355? 

YB Kota Bharu berpandangan ia adalah kuasa Speaker sedangkan di luar Dewan sana ada pihak menyalahkan YB Marang kononnya tidak membenarkan perbahasan. 

b) Amalan di dewan Parlimen, selepas selesai kesemua urusan Kerajaan maka bolehlah usul lain pula dibenarkan untuk dikemukakan. 

YB Kota Bharu berpandangan RUU 355 ini sudah pun melalui separuh jalan, 'partly heard' maka ia sepatutnya diberi keutamaan sebagai menyambung usul yang sudah separuh jalan itu. 

c) Sekiranya hari ini Speaker memutuskan untuk tidak membenarkan perbahasan RUU 355, apatah lagi Menteri sudah mengemukakan usul bahawa Dewan hanya bersidang sehingga selesai usul Menteri Kewangan pada giliran no 1 kemudian Dewan akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang tidak ditetapkan. 

Adakah RUU 355 ini akan dibawa ke persidangan Parlimen yang baru selepas PRU 14 nanti? 

5. Berikut merupakan penjelasan Tan Sri Speaker: 

a) Tan Sri Pandikar menjelaskan apa jua keputusan yang beliau buat adalah terikat dengan Peraturan Mesyuarat. 

Antaranya ialah Peraturan Mesyuarat 12(1) dan 15(1):
"12. (1) Tiap-tiap persidangan Majlis hendaklah dimulakan pada pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan disambung semula dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang atau lebih awal lagi setelah selesai atau ditangguhkan urusan dalam Aturan Urusan Mesyuarat:
Dengan syarat bahawa sesuatu usul yang akan diputuskan tanpa pindaan atau bahasan boleh dikeluarkan oleh seorang Menteri pada bila-bila masa tanpa pemberitahuan untuk mengubah waktu persidangan Majlis." 

"15. (1) Pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan Kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain." 

Kerajaan yang berkuasa dan berhak untuk menentukan apa yang ia mahu buat apabila segala urusan Kerajaan sudah selesai. 

b) Ketika RUU 355 dinaikkan pada Sidang tahun 2017, ia adalah kehendak dan keizinan Kerajaan. 

Speaker pada ketika itu diberikan kuasa dan menerima surat daripada Kerajaan yang tidak mengekang beliau terhadap Peraturan Mesyuarat 15 (1). 

Beliau pertama kali dapat menggunakan kuasanya sendiri dan membuat keputusan tanpa sebarang kekangan. 

Beliau sendiri yang menetapkan usul tersebut akan dibahaskan pada sidang selepas pada itu. 

Namun, selepas pada itu beliau terikat kembali kepada Peraturan Mesyuarat 12(1) dan 15(1). 

c) Speaker menjelaskan bahawa RUU 355 ini sudah selesai dibentang dan disokong, yang belum selesai ialah perbahasan dan pengundian yang mungkin akan berlaku apabila tiba masanya pada suatu hari nanti. 

Beliau turut menyatakan bahawa YB Marang telah menunaikan tanggungjawab beliau dengan sebaik mungkin mengikut prosedur yang dibenarkan Dewan. 

6. Kesimpulannya, siapakah yang berkuasa untuk memastikan RUU 355 ini benar-benar dapat direalisasikan? 

Jawapannya ialah pihak Kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. 

Rakyat boleh menilai sendiri adakah Kerajaan Umno-BN pimpinan PM Najib bersedia untuk meluluskan RUU 355 ini? 

Adakah Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir bersedia menyokong RUU 355 ini? 

Hakikatnya, PAS melalui Gagasan Sejahtera komited dan beriltizam untuk melaksanakannya seandai diberikan kuasa tampuk pemerintahan sepertimana yang terkandung dalam Manifesto Gagasan Sejahtera. 

Teras Keenam:- 

"Pengharmonian Sistem Perundangan Dan Tadbir Urus Negara Selaras Dengan Kehendak Syariah"
"2. Meluluskan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 ke arah memartabatkan Syariah dan menaik taraf Mahkamah Syariah, yang diyakini dapat mengekang industri maksiat." 

Semestinya janji RUU 355 ini tidak pun terkandung dalam Manifesto BN mahupun PH. 

Pada akhirnya, rakyat yang berhak untuk memilih dan menentukan siapa yang akan memimpin Malaysia pada PRU14 nanti? 


Syed Ahmad Fadhli adalah Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo