NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

#PRU14: PAS paling ramai Calon miliki PHD - Penganalisis



ANALISIS CALON MENTERI BESAR DAN KETUA MENTERI DARI SUDUT TAHAP PENDIDIKAN

Oleh: Muein Abadi



1. Selesai proses penamaan calon PRU-14, kejutan demi kejutan terus disajikan kepada para pengundi.  Terbaru, analisis calon Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) daripada ketiga-tiga blok parti dari sudut tahap pendidikan menunjukkan data perbandingan yang menarik dan penuh berwarna-warni.

2. Bagi menilai tahap pendidikan bakal calon MB dan KM, terdapat beberapa peringkat berbeza yang diiktiraf secara berbeza.  Tahap yang paling cemerlang dan tertinggi ialah ijazah Kedoktoran seperti Doktor Perubatan dan Doktor Falsafah (PhD), diikuti ijazah Sarjana (Master), dan ketiga ialah ijazah Sarjana Muda (Degree).  Peringkat yang seterusnya ialah Diploma.  Kesemua peringkat ini dikenali sebagai pendidikan tinggi.  Pendidikan peringkat Menengah pula ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Penilaian Tahap Tiga (PT3).

3. Analisis ini mengambilkira posisi seseorang pemimpin dalam blok parti masing-masing.  Secara tradisinya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri juga boleh dianggap sebagai calon MB bagi sesebuah negeri kecuali dalam kes Perlis.  Demikian juga dalam kes Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di mana Pengerusi PH Selangor dan Pulau Pinang juga adalah merupakan MB dan KM di kedua-dua negeri berkenaan.  Walau bagaimanapun, PH menyatakan bahawa posisi MB dan KM tidak semestinya akan disandang oleh Pengerusi PH negeri yang dilantik pada 2017. Maka penilaian ini boleh dianggap sebagai penilaian kepada pemimpin yang ‘berpotensi’ untuk menjadi MB dan KM bagi PH atas kapasiti mereka sebagai Pengerusi PH.

4. Keadaan ini berbeza dengan Parti Islam Se-Malaysia di mana terdapat negeri-negeri di mana Pesuruhjaya Negeri PAS ada yang tidak bertanding di kerusi DUN sebaliknya hanya di Parlimen, malah ada yang tidak bertanding sama sekali.  Maka penilaian ini dilakukan ke atas individu yang berpotensi diangkat menjadi MB berdasarkan matlamat penubuhan Kerajaan Teknokrat PAS, termasuklah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri.  

5. Di negeri Perlis, Barisan Nasional (BN) masih mengekalkan penyandang posisi MB sebelum ini iaitu Dato’ Seri Azlan Man yang berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Denver, Amerika Syarikat (AS).  Parti Islam Se-Malaysia pula mencabar dengan Cikgu Mohd Shukri Ramli, guru veteran berpengalaman lepasan Maktab Perguruan Rajang, Sarawak dalam bidang Bahasa Melayu.  Pakatan Harapan (PH) pula meletakkan Ameir Hassan yang merupakan seorang peguam veteran bekas pemimpin UMNO.

6. Di negeri Kedah, Pengerusi BN Kedah iaitu Dato’ Seri Ahmad Bashah masih dikekalkan di mana beliau berkelulusan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).  PH pula mempertaruhkan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang berkelulusan Sarjana Muda (Degree) Pengurusan Perniagaan dari Jepun dan Boston, AS.  PAS pula diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri iaitu Dr. Fakhruddin Fakhrurazi yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

7. Bagi negeri Perak, Dr. Zambry Kadir mengetuai tawaran BN di mana beliau adalah berkelulusan PhD Pemikiran Politik dari Temple University, Amerika Syarikat.  Pesuruhjaya PAS Perak iaitu Razman Zakaria pula berkelulusan Sarjana (Master) Pentadbiran Awam dari Universiti Malaya (UM).  Setakat ini tiada maklumat pendidikan tinggi ditemui bagi Pengerusi PH Perak Ahmad Faizal Azumu namun diketahui beliau bersekolah di sekolah ternama, SMK Anderson Ipoh.

8. Pulau Pinang pula menyaksikan persaingan rapat antara BN dan PH manakala PAS turut meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu.  Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dari keluarga peguam dan politik manakala penyandang KM dari PH iaitu Lim Guan Eng adalah lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Monash University, Australia.  PAS dilihat mempertaruhkan Muhammad Fauzi Yusoff yang menimba ilmu di Damsyik, Syria dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam untuk meraih sokongan di kerusi majoriti Melayu.

9. Di Terengganu, PAS dijangka meletakkan harapan untuk merealisasikan Kerajaan Teknokrat di bahu Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, iaituseorang teknokrat berkelulusan PhD Aeroangkasa dari United Kingdom.  Beliau mencabar Pengerusi BN Dato’ Seri Ahmad Razif yang berkelulusan Sarjana (Master) Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM).  PH pula meletakkan harapan kepada YM. Raja Kamarul Bahrin yang berkelulusan Seni Bina dari University of Melbourne, Australia.

10. Di Kelantan, penyandang MB Dato’ Seri Ahmad Yakob yang berkelulusan Sarjana Muda Syariah Al-Azhar, Mesir dari PAS bakal disaingi hebat dua tokoh pusat BN dan PH.  BN mempertaruhkan Dato’ Seri Mustapa Mohamed yang berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Boston, Amerika Syarikat.  Naib Presiden AMANAH iaitu Husam Musa pula berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya (UM).

11. Bagi negeri Pahang, penyandang MB Dato’ Seri Adnan Yaakob yang masih mengetuai BN negeri adalah berkelulusan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya (UM).  Tokoh veteran PH yang mempengerusikan PH Pahang ialah Fauzi Abdul Rahman yang berkelulusan Kejuruteraan Mineral, Imperial College, United Kingdom.  PAS pula mengetengahkan Andansura Rabu yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

12. Di negeri Sabah PH mempertaruhkan Christina Liew Chin Jin Hadhikusumo sebagai Pengerusi PH negeri. Beliau yang berkelulusan undang-undang bakal mencabar dominasi penyandang Ketua Menteri Dato’ Seri Musa Aman yang memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Edith Cowan University, Australia.  PAS yang cuba menjadi blok ketiga turut mempertaruhkan Hamid Ismail yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari UIA serta Diploma Pengajian Islam UMS.

13. Negeri Selangor yang turut menjadi tumpuan menyaksikan persaingan tiga tokoh dengan latar pendidikan yang berbeza pada tahap yang berbeza.  Penyandang Dato’ Seri Azmin Ali dari PH berkelulusan Sarjana Pendidikan Ekonomi dan Matematik dari Minnesota, Amerika Syarikat.  Pencabar dari BN ialah Tan Sri Noh Omar yang berpendidikan Undang-undang (L.LB) dari Thames Valley University.  PAS pula diketuai Dr. Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Doktor Perubatan lepasan Universiti Malaya (UM) yang dilihat berpotensi untuk menerajui Kerajaan Teknokrat Selangor.

14. Di Negeri Sembilan, Pengerusi BN Dato’ Seri Mohamad bin Hasan adalah lepasan Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM).  Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustaffa Daharun pula adalah lepasan Sarjana Muda Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).  Setakat ini tiada maklumat pendidikan tinggi ditemui bagi Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun namun diketahui beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Port Dickson.

15. Negeri Melaka menyaksikan pertembungan tiga pemimpin yang memiliki tahap pendidikan yang sama dengan dua antaranya adalah dari lulusan bidang yang sama.  Penyandang Ketua Menteri Dato’ Seri Idris Haron daripada BN adalah lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Texas, Amerika Syarikat.  Pengerusi PH Melaka Adly Zahari juga memiliki Sarjana Muda Kejruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).  Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek pula adalah lulusan Sarjana Muda Syariah Al-Azhar, Mesir.

16. Negeri Johor turut menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan bakal calon ketua kerajaan negeri yang berkelulusan dalam bidang yang berbeza.  Pengerusi BN negeri Dato’ Seri Khaled Nordin yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang Universiti Malaya (UM) berhadapan dengan mantan MB dan TPM yang kini Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yasin.  Tan Sri Muhyiddin berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM).  PAS turut mencabar kuat dengan calon yang selari dengan visi kerajaan Teknokrat ialah Dr. Mohd Mazri Yahya yang merupakan Doktor Pakar Pembedahan Am & Vaskular, Royal Perth Hospital Australia.

17. Keputusan akhir menyaksikan PAS menawarkan paling ramai calon Menteri Besar berkelulusan Doktor Perubatan dan Doktor Falsafah dengan empat orang iaitu Dr. Ahmad Yunus Hairi di Selangor, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu, Dr. Fakhruddin Fakhrurazi di Kedah, dan Dr.Mohd Mazri Yahya di Johor.  BN pula menawarkan seorang calon yang berkelulusan PhD iaitu Dr. Zambry Kadir di Perak. Sebaliknya tiada seorang pun bakal calon Menteri Besar dan Ketua Menteri PH berkelulusan Kedoktoran atau Doktor Falsafah (PhD).

PAS: 4 Kedoktoran, 2 Master (Sarjana), 6 Degree (Sarjana Muda)

BN: 1 Kedoktoran, 4 Master (Sarjana), 5 Degree (Sarjana Muda), 1 Diploma, 1 SPM

PH: 0 Kedoktoran, 1 Master (Sarjana), 9 Degree (Sarjana Muda), 2 Tiada Maklumat Pendidikan Tinggi Setakat ini (Bersekolah Menengah)

Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10211496258111612

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo