NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14, PAS Johor bakal bertanding 19 Parlimen, 40 DUN





JOHOR BAHRU: PAS Johor hari ini mengumumkan untuk bertanding di 19 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri Abdullah Husin berkata jumlah kerusi meningkat berbanding hanya lapan kerusi Parlimen dan 31 DUN pada PRU lepas.

"Ini merupakan jumlah (kerusi) tertinggi pernah ditandingi Pas Johor dalam sejarah PRU di negeri ini," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera (Gagasan) Johor peringkat negeri, yang dianggotai PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (Berjasa), di sini hari ini.

"Kesemua calon sudah dikenal pasti. Daripada 19 calon yang bertanding kerusi parlimen di negeri ini, empat daripadanya merupakan ulama, lima aktivis parti dan selebihnya adalah golongan profesional," kata beliau.

Selain itu, beliau berkata Pas turut menampilkan lima calon wanita dan satu daripadanya calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong parti tersebut.

Pada PRU lepas, Pas hanya memenangi empat kerusi DUN iaitu Puteri Wangsa, Parit Yaani, Maharani, dan Sungai Abong. Bagaimanapun, kerusi DUN yang dimenangi Pas tinggal tiga apabila Aminolhuda Hassan yang memenangi kerusi Parit Yaani, beralih menyertai Parti Amanah Negara.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo