PRU-14 dan perang media sosial


Oleh Zainuddin Isa (BH)

Beberapa rakan mula garu kepala apabila telefonnya 'tidak pernah tidur' daripada dihujani pesanan mesej dan notifikasi Whatsapp, WeChat, Twitter, Facebook, YouTube dan puluhan aplikasi media sosial lain di telefon bimbitnya.

Jika dia tidak menyentuh dua atau tiga minit, bertimbun-timbun- lah mesej atau notifikasi yang perlu dilayarinya sehinggakan ada daripadanya terpaksa dipadamkan begitu sahaja.

Biasalah satu dua minggu ini semakin dekat pilihan raya umum dan selagi belum ada tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya, semakin 'demam' pengguna telefon bimbit atau telefon pintar.

Justeru sehingga ada yang memberi jolokan nama Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini sebagai PRU media sosial, PRU Facebook Live, PRU YouTube dan macam-macam aplikasi digital lain.

Ia pernah terjadi di Amerika Syarikat pada pemilihan presiden 2004 yang mencatatkan status 'pilih raya internet' berikutan penggunaan e-mel yang tinggi oleh pemimpin politik dalam menghubungi sasaran pengundi.

Pilihan Raya Presiden AS 2008 pula menyaksikan aliran 'pilihan raya media sosial' berikutan penggunaan Twitter dan Facebook yang amat tinggi dalam kalangan pasukan sukarelawan Barack Obama.

Berdepan dengan longgokan maklumat atau penyampaian mesej yang mencurah-curah ini bukan perkara baharu pada era digital yang tidak mengenal seseorang itu tidur atau sebaliknya.

Malah, parti politik yang bertanding kian berlumba-lumba menyediakan dan memperteguhkan askar siber. Jentera parti memerlukan jaringan bank data atau 'big data' untuk mendekati pengundi, membuat analisis kekuatan, kelemahan dan kekurangan baik parti lawan mahupun dalaman mereka.

Mereka mengetahui pada era digital ini pengaruh media sosial amat signifikan sebagai jentera kempen ampuh untuk mendekati pengundi terutama golongan muda.

Siapa atau parti mana yang ketinggalan, kempennya pasti kurang menyengat. Bukan saja pengundi, malah pemimpin tertinggi parti, calon yang bertanding, pakar strategi, penganalisis dan pemerhati politik amat dahagakan maklumat dan rekod yang pantas untuk diolah.

Lebih-lebih lagi akses kepada internet dan telefon bimbit di negara ini semakin meluas dan tentunya media sosial amat mempengaruhi pandangan pengundi terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Kuasa dominan media sosial dalam memberi informasi terutama isu pergolakan, kepincangan dan perbahasan politik hingga ke akar umbi tidak dapat dikesampingkan lagi.

Sebenarnya di Malaysia, mereka yang aktif dalam politik mula menggunakan internet pada 1998 untuk mempengaruhi pandangan orang ramai, tetapi 10 tahun kemudian barulah rakyat menyedari impak internet dalam mempengaruhi undi.

Malah, hartawan media, Rupert Murdoch pernah mengandaikan menjelang 2050, media akan beralih sepenuhnya kepada dalam talian atau elektronik, dan media cetak atau media tradisional bakal menjadi sesuatu yang sudah berlalu.

Apa yang berlaku hari ini, keadaan itu dijangka berlaku lebih awal daripada 2050. Pada masa ini, politik dan kempen politik lebih bergantung kepada media dalam talian dan elektronik.

Apa tidaknya, laporan The Digital News Report 2017 mendapati rakyat Malaysia adalah pengguna WhatsApp paling ramai dengan mencatatkan 51 peratus.

Ini diikuti Facebook dan YouTube dengan masing-masing 58 peratus dan 26 peratus pengguna, manakala WeChat dan Instagram masing-masing mencatatkan 13 peratus. Bayangkan berapa besar pengaruh dan jaringan mereka di alam maya ini.

World Internet Stats pula merekod daripada 31 juta penduduk Malaysia, pengguna plaform Facebook sahaja mencecah hampir 20 juta orang.

Ini menunjukkan hampir dua pertiga daripada masyarakat kita lebih terdedah kepada penggunaan Facebook, terutama dalam menyalur dan berkongsi maklumat secara online, apatah lagi aliran ini akan melonjak berkali ganda lagi apabila musim PRU.

Apa yang lebih utama dalam menyusuri peristiwa penting pilihan raya ini, kita tidak boleh merosakkan integriti media dengan membiarkan berita palsu, fitnah dan tohmahan berleluasa kerana ini akan mewujudkan masalah defisit amanah yang serius.--BHarian

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Digital, Rencana dan Laporan Khas BH


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget