NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU-14: BN Kedah senarai lebih 50 nama



ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah sudah menghantar lebih 50 nama yang disenarai pendek sebagai calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Besar merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata senarai calon itu diperoleh selepas melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Senarai calon yang dihantar melebihi 51 calon iaitu 36 untuk ADUN dan 15 untuk Parlimen. Semua calon ini melepasi saringan SPRM dan PDRM kerana kita mahu mereka bersih daripada sebarang jenayah.

"Dalam masa yang sama, nama calon itu juga adalah calon yang disukai dan disasarkan mampu memenangi dalam PRU tidak lama lagi seperti yang disarankan kepemimpinan Umno dan BN," katanya dipetik BH Online.

[ads-post]

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2018 di Dewan Sri Mentaloon di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan menerima dengan baik sesiapa sahaja dari senarai calon yang dipilih pucuk pimpinan.

Ini kerana katanya, semua calon yang dipilih nanti perlu memberi tumpuan yang paling maksimum bagi menghadapi PRU selain berdepan dengan parti pembangkang.

"Yang penting kita perlu utamakan untuk menang dalam PRU nanti supaya dapat memegang kembali kuasa bagi menerajui negeri Kedah.

"Setiap ahli dalam parti perlu menyokong calon yang dipilih pucuk pimpinan, lupakan dahulu mengenai pemilihan parti, yang ada sengketa dan berselisih faham lebih baik ketepikan demi kemenangan parti BN," katanya.

Terdahulu, Ahmad Bashah menyerahkan sumbangan peribadi kepada konvoi JPB 2018 yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Profesor Emeritus Tan Seri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo