NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Faktor Kestabilan Politik Malaysia 2013-2018



oleh: Dr Mohd Zuhdi
6 April 2018 / 19 Rejab 1439


Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang yang telah berjaya mengemudi parti dengan membuat keputusan-keputusan yang bijaksana untuk menjamin kestabilan politik Malaysia, sekaligus mengekalkan negara dalam kesejahteraan dan keharmonian. Sepanjang pemerhatian PPP dalam tempoh penggal parlimen 2013 hingga 2018, PAS telah lulus dengan cemerlang memainkan peranan sebagai pencatur utama politik Malaysia.


Selepas sahaja PRU ke-13, PAS telah didesak untuk menyertai kerajaan perpaduan bersama BN yang diusahakan oleh Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim, atas nama Konsensus Nasional. Presiden PAS telah dikepung oleh bekas-bekas pimpinan PAS (yang sekarang menyertai PH) untuk menyetujui cadangan Anwar tersebut. Bagaimanapun Presiden PAS telah mendengar cadangan itu dengan berhati-hati, dan lebih cenderung supaya PR kekal sebagai pembangkang sebagaimana dimandatkan oleh rakyat.

[ads-post]


Ketika berlaku kemelut politik Selangor, kartel-kartel dalam PKR berusaha untuk menghumban Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan MB, meskipun beliaulah faktor kemenangan besar PR  Selangor sebelum ini. Presiden PAS dalam menghadapi kemelut ini telah bertegas untuk mengekalkan Khalid, atas asas beliau telah berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang, cekap dan telus. Pendirian beliau juga tegas menyebutkan, dalam kemelut ini kepentingan rakyat Selangor perlu diutamakan bukan kehendak parti.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan perang dengan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden PAS juga telah mengambil keputusan bijak dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kerakusan ahli politik. PAS telah diasak untuk bersetuju melakukan undi tidak percaya bagi menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah. Presiden PAS dilihat telah mengambil kira semua aspek terutama kebajikan rakyat yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi ketika itu, lalu menolak usul Mahathir tersebut.

Perkara yang sama dipertimbangkan PAS, apabila anak Dr Mahathir pula menghadapi undi tidak percaya yang digerakkan oleh ADUN-ADUN BN Negeri Kedah. PAS pada ketika itu telah membuat keputusan untuk tidak bersetuju dengan cara menurunkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, atas asas seseorang Ketua Kerajaan yang telah diberi mandat untuk memerintah perlu menghabiskan amanahnya. PAS juga berpendirian seseorang Ketua Kerajaan yang diberi mandat secara pilihanraya perlu ditukar secara pilihanraya juga.

Kemelut yang sama juga berlaku di Terengganu, apabila bekas Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said menggerakkan usaha menjatuhkan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Razif Abdul Rahman,. melalui undi tidak percaya di DUN. Pada ketika itu, sekiranya PAS bersetuju kerajaan pimpinan Razif akan tumbang. Bagaimanapun, Presiden PAS telah mengarahkan ADUN-ADUN PAS tidak menyokong jika usaha melakukan undi tak percaya itu diteruskan. Pendirian PAS itu telah menyebabkan Razif terus memerintah walaupun dengan majoriti sangat tipis.

Setelah negara kita melalui kesemua kemelut politik ini, dan sekarang tiba masa untuk mereka memberi mandat semula kepada mana-mana gabungan parti, rakyat negara ini pasti boleh melihat kematangan PAS dalam berpolitik. Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS telah menyelamatkan negara dari kemelut politik yang berpanjangan yang akan menggugat kestabilan politik dan seterusnya akan menyusahkan rakyat. PPP sekali lagi mengucapkan setinggi tahniah kepada Dato Seri Abdul Hadi yang menjadi faktor penting kestabilan tersebut.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki  ialah Pengarah PPP


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo