NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan Harapan perlu singkir PPBM jika mahu didaftarkan

[ads-post]

Oleh Ahmad Suhael Adnan
KUALA LUMPUR: Masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disifatkan mula menjadi duri dalam daging kepada gabungan pembangkang.

Ia berikutan kegagalan parti itu mematuhi perlembagaannya, menyebabkan permohonan pembangkang mendaftarkan Pakatan Harapan, tidak diluluskan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata masalah PPBM yang berpunca akibat kegagalan mematuhi perlembagaan parti, kini mengheret gabungan pembangkang ke dalam krisis dan bakal menjejaskan prestasi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, katanya, pembangkang perlu menyingkirkan PPBM daripada gabungan mereka jika mahu melihat hasrat menjadikan Pakatan Harapan sebagai gabungan parti yang sah, menjadi realiti.

"Konflik dan masalah yang membelenggu PPBM menyebabkan parti itu menjadi duri dalam daging pada Pakatan Harapan.

"Duri itu perlu dicabut, atau ia akan memberi kesan yang panjang pada pembangkang.

"PPBM tidak ada pilihan selain perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum PRU, namun saya fikir masa tidak memihak pada mereka dan ini akan memberi implikasi besar kepada mereka dan pembangkang lain," katanya.

Beliau menganggap masa depan PPBM malap.

Beliau mengulas kegagalan PPBM mengadakan AGM selepas lebih setahun didaftarkan iaitu pada 8 September 2016, susulan gagal menyelesaikan masalah dalaman khususnya membabitkan penstrukturan cawangan dan bahagiannya.

Mengikut perlembagaan parti, selaras dengan Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, satu mesyuarat agung peringkat cawangan dan bahagian wajib diadakan selepas setahun PPBM ditubuhkan secara rasmi.

Masalah PPBM itu antara punca pendaftaran Pakatan Harapan sebagai satu gabungan tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Satu lagi punca ialah kegagalan DAP menghantar senarai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu selepas bermesyuarat baru-baru ini.

Jeniri berkata, masalah PPBM tidak seharusnya berlaku memandangkan parti itu dipimpin individu berpengalaman dalam politik, iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Ini menggambarkan kemampuan pemimpin. Bagaimana sebuah parti yang gagal menyelesaikan perkara asas ini, dapat diberikan harapan untuk menguruskan negara," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata kegagalan PPBM menyelesaikan penyusunan organisasi bahagian dan cawangan, berpunca daripada strategi penubuhan parti itu yang kini memakan diri.

"PPBM gunakan struktur seperti UMNO, tetapi ini strategi tidak tepat. Mereka gagal kerana faktor perpecahan dalam parti dan kurangnya sokongan akar umbi sehingga gagal laksanakan AGM.

"Mereka banyak bergantung pada ahli UMNO yang lompat parti. Mungkin mereka anggap pengaruh Dr Mahathir dan Muhyiddin boleh tarik ahli tetapi sebaliknya berlaku.

"Perpecahan dalam pula disebabkan ahli yang menyertai PPBM bukan kerana perjuangan parti, tetapi mahukan platform untuk bertanding sebagai calon, menyebabkan akar umbi berpecah dan bahagian bubar dan ahli keluar parti seperti di Perak," katanya.

Mohd Azizuddin berkata, mengikut amalan kebiasaan ROS, parti politik atau pertubuhan yang gagal mengadakan AGM dalam tempoh setahun akan dibubarkan, namun masa depan PPBM bergantung pada rayuan dan budi bicara menteri.

"Ketika ini sukar bagi Pakatan Harapan didaftarkan, melainkan PPBM dikeluarkan daripada komponennya. Mereka boleh jadi parti mesra Pakatan Harapan," katanya.

Selasa, 21 November 2017

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo